Dr Malar anggap pelantikan sebagai ikon bahasa satu penghormatan
Dr Malar Santhi antara pempengaruh media sosial yang dilantik sebagai ikon bahasa DBP. FOTO Arkib NSTP.
KUALA LUMPUR: Dr Malar Santhi Santherasegapan menyifatkan pelantikannya sebagai seorang daripada tiga ikon bahasa dalam kalangan pempengaruh media sosial oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah satu penghormatan. Bagaimanapun beliau yang juga aktivis mengakui pelantikan itu hadir bersama tanggungjawab yang besar. Dr Malar yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia, Cheras itu berkata, sebagai seorang doktor yang aktif di media sosial, beliau sedar bahasa digunakan boleh mempengaruhi cara orang ramai berkomunikasi dan memahami sesuatu maklumat. Menurutnya, ini termasuk memastikan maklumat kesihatan disampaikan dengan jelas dan tepat, mudah difahami, seronok didengari.
"Di samping itu, saya masih perlu memperkasakan bahasa kebangsaan kita, Bahasa Malaysia tercinta. Peranan sebagai ikon bahasa ini membuka peluang untuk saya menyumbang dalam mendidik masyarakat pentingnya penggunaan bahasa yang baik dalam komunikasi seharian. "Saya harap usaha ini akan membantu memperkasa bahasa Melayu serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan bahasa yang betul dalam menyampaikan maklumat," katanya. Dr Malar berkata, beliau amat bersyukur dan berbesar hati apabila DBP memberi kepercayaan dengan melantiknya sebagai Ikon Bahasa 2024 bersama dua lagi pempengaruh hebat. "Saya juga sedar bahawa anugerah yang sama ini dimenangi oleh saudara Fedtri Yahya pada 2023, jadi saya rasa agak kerdil untuk menerima anugerah berprestij tinggi ini. "Sekali lagi, terima kasih kepada DBP atas kepercayaan ini dan terima kasih kepada semua pengikut Celoteh Dr Malar dan kepada semua pihak yang terus menyokong perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan," katanya. Semalam DBP melantik tiga ikon bahasa dalam kalangan pempengaruh media sosial, bagi membantu agensi itu memberikan asas penggunaan bahasa yang baik kepada orang awam. Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari, dilaporkan berkata pempengaruh itu antaranya adalah Dr Malar. "Pelantikan ikon ini menunjukkan DBP mahu selari dengan perkembangan semasa, kerana bahasa tidak boleh disebar dengan cara yang lama. "Kita kena bergerak dengan cara yang baharu tetapi kita harus membimbing, melatih mereka (orang awam) dan Insya-Allah. "Kalau ada keperluan kita juga akan mengadakan sesi pertemuan khusus dengan rakan-rakan media untuk memberi asas-asas penggunaan bahasa yang baik dan betul kerana media sangat berpengaruh dalam menentukan arah tuju sesuatu perkembangan bahasa," katanya pada Malam Media DBP Bersama Media 2024 di Wisma DBP, di sini, malam tadi. Menurut Hazami dengan perkembangan media sosial yang kini menjadi pilihan untuk orang ramai berkomunikasi, DBP terus komited untuk memanfaatkan saluran itu secara lebih aktif bagi menampilkan contoh penggunaan bahasa yang baik serta kandungan berkualiti.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1323393/dr-malar-anggap-pelantikan-sebagai-ikon-bahasa-satu-penghormatan
|