|
Memilih antara kawan dan sahabat
14 September 2016 6:12 PM
0 0 Google +0
SAUDARA PENGARANG,
ISTILAH kawan dan sahabat adalah dua perkataan yang berbeza dari segi pengertiannya.
Istilah sahabat boleh diertikan sebagai seseorang yang memiliki rasa tanggungjawab terhadap diri kita dan sering memberi manfaat serta kebaikan walaupun tidak memiliki hubungan darah.
Kawan pula bermaksud seseorang yang boleh berkongsi lebih dari satu perkara seperti minat, hobi, perasaan dan mengenali beberapa fakta peribadi berkenaan diri kita malah boleh berkongsi kesedihan dan kegembiraan tetapi sekiranya tidak sependapat, hubungan mungkin boleh terputus.
Ibu bapa sering mengingatkan kepada anak-anak mereka supaya berhati-hati dalam memilih kawan di tempat belajar ataupun di tempat kerja kerana kawan mahupun sahabat boleh mendorong kita ke arah kebaikan mahupun kejahatan.
Mencari kawan baharu sangat mudah dan senang tetapi mencari sahabat sejati yang sedia berkongsi suka dan duka dalam kehidupan seharian sangat susah.
Lebih-lebih lagi ketika kita dalam kesempitan wang dan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada orang lain, itulah masanya kita dapat membezakan antara kawan dan sahabat.
Faktor seperti masalah kewangan, tidak setia, terpengaruh dengan kawan baharu, hilang kepercayaan serta tiada sifat keterbukaan sering menjadi punca keruntuhan persahabatan.
Nilai sahabat yang baik ibarat berlian yang terbenam di dasar lumpur, walaupun diselaputi kotoran tetapi sinarnya tetap terserlah.
Oleh itu, beringatlah memiliki seorang sahabat sejati lebih berharga berbanding seribu kawan yang mementingkan diri sendiri.
AMAR ADLIE REMBAUWI
Nilai, Negeri Sembilan
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana ... thash.69gJ9p3t.dpuf |
|