Untuk info, jenazah pelajar yang terkorban, Almarhumah Saudari Sumaiyah Binti Romli telah tiba malam Isnin jam 10.35 malam di Lapangan Terbang Pulau Pinang dan jenazah terus dikebumikan pada malam tadi juga di Tanah Perkuburan Masjid Al Bukhary, Alor Star.

MO,GEORGE TOWN,25/6/2013 - Jenazah Sumaiyah Romli, pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan di Jordan Jumaat lepas, tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas pukul 10.35 malam Isnin.
Sepasukan anggota polis mengiringi jenazah ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah pada 10.55 malam.
Bapanya, Romli Hasan, 53, berkata jenazah Sumaiyah, 21, yang disempurnakan di Jordan, akan disembahyangkan sekali lagi sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Al-Bukhary malam Isnin juga.
“Kita telah jalankan persediaan untuk arwah dan kami harap semuanya berjalan lancar,” katanya kepada pemberita.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan kompleks kargo dengan kehadiran lebih 40 anggota keluarga Allayarham yang menanti ketibaan jenazah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.15 malam.
Romli berkata jenazah Sumaiyah, pelajar tahun satu bidang astronomi fizik University College London (UCL) dibawa pulang ke tanah air dengan pesawat Royal Jordanian dan tiba di KLIA pada 7.25 petang.
Sumaiyah maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki bersama empat pelajar Malaysia lain terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung antara Petra dan Aqabah, kira-kira 320 kilometer dari Aman, Jordan. - BERNAMA
Credit to : BERNAMA
Last edited by FanTasyCreaTioN on 25-6-2013 06:25 PM
|