Maklumat tidak lengkap punca JAIS sukar bertindakJAIS akan menyemak aduan yang diterima daripada pengadu dan akan memastikan tindakan diambil oleh Bahagaian Penguatkuasa dalam tempoh 48 jam.
[size=100%]KUALA LUMPUR, 3 Mac:Maklumat tidak lengkap serta kurang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pengadu menjadi punca mengapa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sukar untuk bertindak terhadap kes berkaitan maksiat.
Perkara itu dinyatakan oleh jurucakap Bahagian Penguatkuasa JAIS ketika dihubungi TRP pada Selasa.
Menurut jurucakap berkenaan, JAIS akan menyemak aduan yang diterima daripada pengadu dan akan memastikan tindakan diambil oleh Bahagaian Penguatkuasa dalam tempoh 48 jam.
“Aduan yang diterima menerusi talian hotline 1800-88-2424 akan direkodkan dan kita akan bertindak selepas mengenalpasti dan mendapat maklumat lengkap daripada orang yang membuat aduan.
“Maklumat daripada pengadu mestilah lengkap dan kita akan mengarahkan penguatkuasa untuk bertindak mengikut daerah dimana lokasi maksiat itu berlaku,” katanya.
Tambah jurucakap itu lagi, belum pernah ada satu aduan maksiat yang diterima oleh JAIS tidak direkodkan dan biasanya tindakan akan diambil segera bagi membanterasnya.
Jurucakap tersebut turut menafikan dakwaan seorang pengguna media sosial yang telah memuat naik status mendakwa JAIS tidak mengendahkan laporan maksiat yang dibuat di kawasan kediamannya di Flat Taman Dagang, Ampang.
Menurut pengadu, dia berang setelah melihat kegiatan maksiat semakin berleluasa menjelang pukul 1 pagi lalu membuat aduan kepada jabatan agama tersebut melalui talian hotline dan mesej di Facebook jabatan itu.
Bagaimanapun, dia mendakwa, maklum balas yang diterima daripada JAIS tidak relevan serta jawapan yang diberikan cukup melambangkan kualiti kerja yang rendah. Menjawab mengenai perkara itu, jurucakap berkenaan memberitahu, maklumat lengkap daripada pengadu adalah penting bagi mengelak berlakunya kesilapan ketika JAIS melakukan tangkapan ketika operasi.
“Pengadu tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka selepas membuat aduan kepada kami kerana segala maklumat yang diberi akan dirahsiakan,” ujarnya
Sumber:trp |