Selepas 15 tahun menyepikan diri daripada industri seni kerana mahu memberikan tumpuan kepada keluarga, cinta Amelina pada nyanyian tidak pernah luntur. Apatah lagi, penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu dangdut ini masih memiliki ramai peminat. Tekad mahu memberikan hadiah terbaik buat peminatnya yang setia memberi sokongan dari dulu hingga kini, Amelina gigih mengatur strategi. Bahkan dia teruja menantikan single terbarunya, Cinta Harus Seksi dilancarkan.
Amelina berkata, sebaik dia membuat keputusan untuk kembali aktif awal tahun ini banyak maklum balas positif diterima. Begitupun, memandangkan banyak perkara yang perlu dilaksanakan dalam merangka kembali kerjaya seni, pihak syarikat rakaman dan pengurusannya Wake The Baby terpaksa mengambil sedikit masa untuk menghasilkan lagu baru buatnya.
“Saya tahu ramai peminat yang menunggu lagu baru. Berita baik untuk peminat tersayang, kini single terbaru, Cinta Harus Seksi sudah siap dirakam dan hanya menunggu masa untuk diperdengarkan. “Saya mengharapkan lagu ini akan dapat diperdengarkan kepada peminat di corong radio lebih menyeluruh tidak lama lagi. Ditambah, selepas Aidilfitri adalah masa sesuai untuk melancarkannya memandangkan saya bakal sibuk dengan pelbagai aktiviti seni bagi mempromosikan Cinta Harus Seksi,” katanya. Mengulas mengenai tekanan diterima daripada peminat, Amelina berkata ia sekadar luahan rindu mereka yang sudah lama menantikan lagu baru nyanyiannya. Tambahan pula dia berbelas tahun menyepikan diri.
“Saya tidak sedikit pun menganggap apa yang diluahkan peminat, terutama yang selalu membangkitkan isu kenapa lagu baru saya tidak diedarkan sebagai satu tekanan. Saya melihat situasi itu dari sudut positif, pada saya mereka sekadar bertanya dan mahu tahu akan perkembangan terbaru. “Macam saya kata, single baru Cinta Harus Seksi sudah siap dirakam. Cuma, belum tahu bila akan dilancarkan. Saya pun ada memujuk peminat dan memberitahu mereka perkara sebenar supaya dapat menunggu dengan sabar. “Apapun, saya bukan sengaja ingin membiarkan peminat terus tertunggu-tunggu. Dalam perkara ini, saya menganggap proses menunggu itu juga sebahagian daripada strategi pemasaran dibuat Wake The Baby. “Ini kerana apabila menunggu lama ia akan menimbulkan lebih rasa keterujaan peminat. Apa pun, saya tetap yakin peminat akan terus setia menantikan kemunculan single baru saya di pasaran,” katanya.
Berbicara lanjut mengenai kelompok peminatnya, ibu tunggal kelahiran Negeri Sembilan ini berkata, kalau dulu mereka (peminat) mungkin masih kanak-kanak dan belum tamat sekolah, namun sekarang keadaan sudah berbeza. Menurut Amelina, kebanyakan peminatnya itu mungkin sudah berusia dan matang. Jadi, sebagai penghibur yang kini meniti semula puncak populariti dunia seni, dia harus bijak melayani kerenah peminat. Ditanya mengenai tawaran menyanyi, Amelina berkata dia bersyukur memandangkan sebaik melangkah kaki semula dalam industri muzik rezekinya tidak pernah putus. Begitupun ada faktor lain turut menyumbang kepada kelangsungan kerjaya seninya seperti tidak bersikap terlalu memilih dan meminta bayaran tinggi. “Sekarang ini saya hanya perlu berusaha gigih dan pandai ambil hati promoter mahupun penganjur persembahan. Maksudnya, soal bayaran saya tidak boleh terlalu berkira kerana langkah karier seni yang kembali saya ceburi ini baru hendak bermula. “Bayaran untuk saya mengadakan persembahan ditetapkan pada kadar berpatutan. Apa yang saya fikirkan sekarang adalah kerjasama dijalin kembali dengan pihak penganjur mahupun promoter akan berterusan. Itu yang lebih penting dan utama,” katanya. Menyentuh berkenaan syarat tertentu yang dikenakan sekiranya mahu menjalin kerjasama dengannya, Amelina berkata perkara seperti itu tidak pernah wujud. Cuma, sebagai penyanyi Amelina menegaskan, dia harus sentiasa peka dengan kehendak tawaran persembahan diterimanya. Amelina yang meraikan Aidilfitri dengan penuh kemeriahan bersama ibu tersayang, adik-beradik, sanak saudara dan anak di Nilai, Negeri Sembilan berkata, banyak nostalgia lalu menggamit ingatan dan emosinya sepanjang menyambut Syawal tahun ini. Mengakui dia paling berasa rugi dan kekurangan kerana ketiadaan arwah bapa sewaktu berkumpul bersama keluarga, ia hakikat yang perlu diterima Amelina kerana masa berlalu tidak boleh diundur semula. “Penerimaan baik ibu dan adik-beradik yang masih sayangkan saya membuatkan sambutan Aidilfitri bersama anak tahun ini lebih bermakna. Ia sudah membuatkan saya sangat bersyukur dengan peluang diberikan. “Kalau dulu, saya memilih untuk menyepi dan meninggalkan keluarga sendiri kerana mahu memberi tumpuan membesarkan anak, sekarang saya lebih menghargai apabila dapat bersatu semula dengan mereka dan peminat,” katanya. Menyifatkan dirinya ibu bertuah kerana dikurniakan zuriat yang memahami dan suka bersederhana, Amelina berkata dia sangat beruntung anaknya bukan jenis meminta-minta, tidak memilih dan bersikap cerewet.
|