Zon Ekonomi Khas JS-SEZ rancak industri pelancongan
Onn Hafiz melepaskan peserta larian pada program Larian MAH Johor Chapter 2024 di Gateway Garden, Bandar Medini, Iskandar Puteri. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!
I SKANDAR PUTERI – Pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City bakal merancakkan industri pelancongan di negeri ini selaras dengan agenda Tahun Melawat Johor 2026. Justeru, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan pemain industri untuk mempersiapkan diri bagi menyambut jutaan pelancong ke negeri ini. Beliau berkata, sehubungan itu, pemain industri pelancongan perlu mengambil langkah proaktif dengan menaik taraf kemudahan dan fasiliti serta melatih tenaga kerja bagi memenuhi jangkaan peningkatan permintaan. “Kita sedang membuat persiapan untuk Tahun Melawat Johor 2026 dan saya berharap pemain industri bersedia untuk menawarkan perkhidmatan terbaik mereka dalam bidang perhotelan. “Umum mengetahui, sektor pelancongan adalah antara yang paling teruk terjejas semasa pandemik Covid-19 apabila ramai yang hilang pekerjaan dan beberapa hotel ditutup. “Bagaimanapun, industri ini kembali membangun dan menjadi antara industri yang paling pesat berkembang di Johor, dan pelancaran SFZ dan JS-SEZ akan mengukuhkan lagi sektor ini,” katanya berucap pada program Larian Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Johor Chapter 2024 di Gateway Garden, Bandar Medini, di sini malam tadi.
Sementara itu, Naib Presiden MAH, Lim Choong Sean memuji kepimpinan Onn Hafiz kerana memacu industri ke hadapan dengan mempromosikan tawaran pelancongan Johor. “Kejayaan industri pelancongan Johor adalah bukti dedikasi beliau. Larian ini bukan sahaja menggalakkan kesejahteraan mental dan fizikal tetapi juga mengukuhkan ikatan antara pemain industri di Johor,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/10/10/zon-ekonomi-khas-js-sez-rancak-industri-pelancongan/
|