|
Pemain baru perlu masa - Dalglish
LIVERPOOL - Kenny Dalglish mengakui pemain baru pasukannya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan kelab itu setelah pengurus Liverpool itu berbelanja besar pada musim panas ini.
Empat daripada lima pemain baru Dalglish diturunkan dalam kesebelasan utama Liverpool yang menyaksikan Reds seri 1-1 di gelanggang sendiri dengan Sunderland pada perlawanan pembukaan musim baru Liga Perdana.
Dalglish telah membelanjakan lebih 50 juta pound (RM244 juta) dalam usahanya memantapkan kembali Liverpool yang memburu kedudukan empat terbaik musim baru ini.
Juara Eropah lima kali itu yang menamatkan saingan pada tangga keenam musim lepas, membelanjakan lebih 100 juta pound (RM488 juta) sejak awal tahun ini.
Dalglish percaya Stewart Downing, Charlie Adam, Jose Enrique dan Jordan Henderson memerlukan masa untuk serasi beraksi bersama.
"Ia satu pengalaman yang besar apabila tampil dan bermain buat pertama kali di Anfield, terutama untuk Jose yang baru sahaja menandatangani kontrak bersama kami semalam (Jumaat).
"Kami tidak merancang untuk menurunkannya, tetapi Fabio Aurelio cedera, ketika bermain minggu lepas, jadi kami tidak mempunyai pilihan menyenaraikan dia.
"Memang sukar jika anda terpaksa menyesuaikan diri dalam perlawanan kompetitif yang pertama, apatah lagi apabila anda perlu beraksi hanya selepas 24 jam anda menyertai pasukan ini.
"Pemain baru telah membuktikan sesuatu yang anda akan ingat mereka dalam perlawanan ini dan kami gembira dengan kehadiran mereka," kata Dalglish.
Dalglish lebih selesa untuk memuji aksi mengkagumkan Sunderland pada separuh masa kedua berbanding memberi tumpuan kepada pasukannya, selepas jaringan gol pembukaan Luis Suarez dinafikan oleh Sebastian Larsson.
"Sepanjang perlawanan, walaupun Pepe Reina hanya menyelamatkan beberapa percubaan menerusi tandukan, namun, kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan, keputusan seri saya rasa memadai.
"Kami mungkin memiliki lebih banyak peluang dan tuah tidak menyebelahi kami apabila gol Andy Carroll yang sepatutnya menjadikan kedudukan 2-0 tidak dikira, tetapi mereka telah berusaha keras dan menyukarkan kami. Untuk itu, mereka berhak mengutip satu mata," tambah pengurus Liverpool.
Liverpool mungkin mampu melakar kemenangan jika penalti yang diambil Suarez tidak tersasar selepas Kieran Richardson mengkasari penyerang Uruguay itu.
Bekas pemain Manchester United dan England, Richardson terlepas daripada hukuman buang padang.
"Anda sudah tentu tidak mahu melihat ada pemain yang diarah keluar padang. Saya tidak tahu apakah undang-undang yang tercatat dalam buku, tetapi anda tidak melihat sebarang peluang yang jelas berbanding Suarez yang berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol," tambah Dalglish. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|