Masa makin suntuk untuk lanjutkan rundingan edaran gas dengan PETRONAS - Julaihi
KUCHING: Menteri Utiliti dan Tekelomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi, menyifatkan rundingan antara kerajaan Sarawak dengan PETRONAS berhubung isu pengedaran gas kini sudah memasuki 'masa kecederaan'. Julaihi berkata, beliau sudah menasihatkan PETRONAS untuk membuat keputusan segera kerana masa yang cukup lama sudah diberikan untuk mematuhi semua keperluan mengikut Ordinan Pengagihan Gas, 2016 (DGO). Bagaimanapun, PETRONAS masih belum membuat sebarang keputusan meskipun tempoh lanjutan sudah diberikan sehingga Oktober lalu.
"Saya boleh katakan sekarang kami sudah berada dalam masa kecederaan."Namun kerajaan Sarawak, melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) masih dalam perbincangan teknikal dengan PETRONAS untuk memastikan pematuhan semua keperluan di bawah DGO 2016," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lidam Assan (GPS-Katibas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
ulaihi berkata beliau menerima surat daripada PETRONAS pada 1 November dan PETROS pada 6 November lalu. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kandungan dua surat berkenaan. Mengulas lanjut, Julaihi berkata PETROS sudah dilantik sebagai agregator gas tunggal di bawah DGO dan ia tidak boleh dirunding sekali gus bermakna tiada agregator gas lain wujud di Sarawak. Beliau berkata sebagai agregator gas tunggal, PETROS bertanggungjawab melaksanakan semua aktiviti yang berkaitan dengan perolehan, pembekalan, pengedaran, dan penjualan gas asli di Sarawak. Mengikut DGO 2016, yang dipinda pada 2023, PETROS juga bertanggungjawab terhadap perancangan, pembangunan, operasi, dan penyelenggaraan alam semula jadi sistem rangkaian pengagihan gas di Sarawak.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1323318/masa-makin-suntuk-untuk-lanjutkan-rundingan-edaran-gas-dengan
|