|
Perak gagal kekang Safa SC
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
![](http://img82.imageshack.us/img82/9789/2008afccupperakvssafafcaw3.jpg)
Pemain Perak, Hardy Jaafar (tengah) diasak oleh Kapten Kelab Safa SC, Amer Khan (dua dari kiri) dalam pertembungan pusingan suku akhir pertama Piala AFC 2008 di Stadium Perak semalam. Perak kalah 0-2. - Gambar HANAFI KHAMIS
IPOH - Kelab Safa SC dari Lebanon semakin hampir ke separuh akhir Piala AFC apabila berjaya menumpaskan Perak 2-0 dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Pasukan pelawat memperoleh dua gol melalui rembatan Rony Azar (m-38) dan pemain import dari Maghribi, Hamid Termina pada minit ke-55.
Pasukan tuan rumah terpaksa memulakan perlawanan dalam keadaan tempang dengan ketiadaan penjaring terbanyak, Carlos Caceres yang sudah pulang ke Chile.
Ketiadaan Caceres membuatkan Perak terpaksa bergantung harapan kepada Mohd. Khalid Jamlus dan Razali Umar Kandasamy bagi menerajui serangan.
Namun begitu hasrat Perak tidak kesampaian untuk melihat gandingan kedua-dua penyerang tersebut apabila Razali menghilang diri tanpa dikesan.
Khalid yang diturunkan berseorangan di barisan serangan hanya mampu beraksi selama sepuluh minit sahaja apabila digantikan oleh Danial Fadzly setelah penyerang itu tercedera.
Ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar bersama-sama Danial Fadzly terpaksa menerajui barisan serangan.
Safa SC yang menurunkan tiga pemain kebangsaan Lebanon memulakan perlawanan tersebut dalam keadaan berhati-hati.
Ketiga-tiga pemain berkenaan adalah Mohamad Korhani, Ramez Dayoub dan Amer Khan.
Perak terlepas peluang mengejutkan Safa SC apabila Mohd. Hardi Jaafar gagal merembat dengan baik walaupun berdepan dengan penjaga gol, Nazih Tay pada minit ke-23.
Penjaga gol Perak, Mohd. Nasril MaT Nourdin mempamerkan kecekapan dengan menangkis rembatan kencang Rony Azar pada minit ke-36.
Akhirnya, gawang Perak bocor melalui tendangan cantik oleh Rony Azar yang menyambut hantaran yang dilakukan oleh ketua pasukan, Amer Khan pada minit ke-38.
Safa SC yang menurunkan tiga pemain import, Pierre Millat dari Camerron, Hamid Termina dari Maghribi dan Mba Derick Ebi dari Nigeria berjaya mengekang rentak permainan Perak.
Pintu gol Perak bocor lagi pada minit ke-55 apabila tandukan cantik yang dilakukan oleh Hamid Termina gagal ditangkis oleh penjaga gol, Mohd Nasril.
Hasrat Perak merapatkan jurang perbezaan gol berkecai apabila rembatan cantik yang dilakukan oleh Mohd Hardi pada minit ke-65 sempat ditepis oleh penjaga gol, Nazih Tay.
Selepas itu, kedua-dua pasukan berusaha mendapat gol tetapi gagal melakukannya.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi untuk suku akhir kedua di Stadium City Lebanon pada 23 September ini.
- Utusan Malaysia -
|
|