Mohammad Aliff Rayyan Mohammad Amin. - Foto ihsan Mohammad Amin Idris
BALIK PULAU: Istimewanya Mohammad Aliff Rayyan Mohammad Amin, 6, yang mesra disapa Aliff ialah dia boleh memahami empat bahasa walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU) kategori autisme tahap ringan.
Bermula dengan bahasa Melayu dan Inggeris, Aliff kemudian dapat pendedahan asas Mandarin, dan terbaharu, bapanya, Mohammad Amin Idris, 32, menyedari kebolehan Aliff menulis dan menyebut 33 abjad dalam bahasa Russia selain mengingati nama model kereta negara berkenaan.
Mohammad Amin yang bekerja sebagai juruteknik terkejut melihat perkembangan Aliff kerana tidak pernah mengajar atau memberi pendedahan secara formal kepada anak sulungnya itu.
"Saya dan isteri berkomunikasi dengan Aliff dalam bahasa Melayu dan kadangkala Inggeris, tapi permulaannya dahulu, Aliff guna bahasa Inggeris sebelum tukar kepada Melayu. Dia tahu asas Mandarin selepas dihantar ke sebuah tadika waktu umurnya empat tahun.
"Aliff sempat belajar di situ selama tiga bulan saja kerana tidak boleh ke sekolah selepas itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
"Tahun lalu, dia masuk semula ke sekolah tadika swasta dan belajar macam biasa. Cuma baru-baru ini, Aliff tunjuk kebolehan baharunya, sebut serta tulis perkataan dalam bahasa Russia," katanya ketika dihubungi.
Kata Mohammad Amin, Aliff turut memintanya menulis huruf dan pada awalnya, dia tidak tahu itu adalah abjad dalam bahasa Russia.
"Selepas buat semakan dengan tonton video di Youtube, baru saya tahu itu abjad Russia. Sebelum ini, saya pernah dengar Aliff sebut, ingatkan dia pelat dan cakap merapu, rupanya itu bahasa Russia.
"Saya rasa dia belajar daripada tonton video di Youtube kerana memang ada beri dia guna peranti elektronik tetapi dengan pemantauan.
"Setakat ini, saya nampak Aliff obses sangat dengan kereta kerana boleh hafal model kenderaan dalam dan luar negara," katanya.
Berkongsi perihal Aliff, Mohammad Amin berkata, dia menyedari simptom awal dihadapi anaknya itu seperti lambat bercakap ketika usianya 18 bulan.
"Waktu itu, saya hantar Aliff ke rumah pengasuh dan bila panggil namanya, dia tak menyahut, jadi saya mula berasa ada tak kena kerana sebelum itu, ada seorang jururuwat beritahu kemungkinan Aliff lambat bertutur atau hidap autisme.
"Saya pun mula cari maklumat dan kemudian baru tahu apa itu autisme dan waktu Aliff berumur 19 bulan, saya bersama isteri sepakat jumpa pakar.
"Bertitik tolak daripada situ, saya ikut saranan bawa Aliff jalani terapi pertuturan dan cara kerja dengan konsisten sehingga kini. Alhamdulillah, saya dan isteri mula nampak hasilnya," katanya.
Mohammad Amin berkata, sejak awal lagi, dia sudah tanamkan dalam diri untuk menerima hakikat yang Aliff adalah anak syurga.
"Jadi, kepada ibu bapa yang senasib, jangan malu kerana anak autisme ini ada keistimewaan tersendiri. Memang pernah ada orang persoalkan kenapa saya bawa Aliff keluar namun kita semua berkongsi di dunia yang sama.
"Anak autisme pun berhak bahagia dan sebagai bapa, saya akan terus cuba jaga amanah Allah ini dengan sebaiknya," katanya.
|