Mak kucing lagi kemanusiaan...huhu..
Kucing gonggong anak ke hospital
Seekor kucing di Turki menyentuh perasaan netizen selepas video haiwan itu menggonggong anaknya ke hospital seolah-olah ingin meminta pertolongan, menjadi tular di media sosial.
Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah hospital di daerah Karabaglar, Izmir apabila haiwan comel terbabit membawa anaknya yang terkena jangkitan mata.
Menerusi video terbabit, beberapa orang kelihatan terpinga-pinga dengan gelagat kucing itu dan memberinya laluan masuk ke hospital.
Kakitangan hospital terbabit sebelum ini pernah memberikan makanan serta minuman kepada kucing berkenaan.
Beberapa doktor dan jururawat kemudiannya membantu haiwan itu melakukan pemeriksaan dan mendapati anaknya mengalami jangkitan mata sebelum mendapatkan bantuan klinik verterinar untuk memberi rawatan lanjut.
Menerusi rakaman itu juga, kelihatan kakitangan hospital menunjukkan dua anak kucing comel yang diletakkan dalam sebuah kotak manakala seorang jururawat memberi ubat mata untuk merawatnya.
“Kami memberi makan dan minum kepada ibu kucing yang tinggal di jalanan ini dan tidak tahu pula ia melahirkan anak.
“Ketika kami mula menerima kehadiran pesakit waktu pagi, kucing itu tiba-tiba muncul dengan anaknya. Ia seperti meminta pertolongan menyebabkan kami terkejut.
“Kami dapati anak kucing itu tidak dapat membuka mata kerana mengalami jangkitan mata. Kejadian ini dirujuk dengan doktor verterinar yang menasihatkan kami memberi ubat sebelum anak kucing itu membuka matanya,” kata salah seorang kakitangan hospital.
Menurutnya, ia adalah kali pertama kejadian seumpama itu berlaku dan ia amat menyentuh hati.
“Kami kemudiannya menghantar kucing itu bersama anaknya ke Uzundere untuk jagaan lanjut. Ini kali pertama berlaku dan ia menyentuh perasaan terutama apabila melihat anak kucing itu mula sembuh,” katanya.
|