|
Bukan Senang Nak Dapat 'Greenlight' - Awie Dapat Izin Isteri Untuk 'Bersama' Err
Bagi meraikan ulangtahun ke-25 perjalanan seninya sebagai artis solo, penyanyi rock lagenda, Datuk Awie bakal mempersembahkan sebuah konsert istimewa bertemakan cinta berjudul KONSERT AWIE ROMANTIKA.
Kali ini KONSERT AWIE ROMANTIKA bakal menyajikan kelainan apabila buat pertama kalinya selepas hampir 25 tahun, Awie tampil dengan konsert solo bersama artis undangan istimewa iaitu Erra Fazira.
Minta izin isteri untuk 'lamar' Erra
Terdahulu, penyanyi rock lagenda, Datuk Awie mendedahkan dia telah berfikir semasak-masaknya sebelum memberitahu kepada isterinya, Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin mengenai hasratnya bergandingan dengan Erra Fazira.
Tambahan lagi, Erra merupakan wanita yang pernah bertakhta di hatinya 20 tahun lalu dan kisah cinta mereka disebut-sebut di serata Malaysia.
“Saya mengaku tak mudah untuk saya memberitahu kepada isteri mengenai hasrat saya ‘melamar’ Erra kerana saya tahu saya perlu menjaga hati banyak pihak.
“Bukan isteri sahaja, tetapi anak-anak termasuk seluruh ahli keluarga sebelah isteri dan seumpamanya.
“Tambahan lagi, saya dan Erra pernah bertunang. Ya, walaupun huhungan itu sudah lama berakhir saya faham hati wanita, sedikit sebanyak pasti terdetik rasa cemburu.
“Mujur saya ada pengalaman macam mana nak handle situation macam ni sebelum ini, dan saya bersyukur kerana isteri sangat memahami dan memberi sepenuh sokongan dan kepercayaan kepada saya,” katanya memetik laporan dari Gempak.
Erra pula berkata, dia mengambil sedikit masa sebelum bersetuju menyertai konsert tersebut kerana memikirkan tentang beberapa faktor.
“Saya tak bagi kata putus, tetapi ambil masa dan kami mengadakan pertemuan serta perbincangan terlebih dahulu.
“Selepas Awie jelaskan perjalanan konsert itu dengan lebih jelas, baru saya bersetuju. Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada isteri Awie kerana memberi keizinan kepada kami untuk bergandingan,” katanya.
Bercakap mengenai Konsert Awie Romantika, Awie berkata konsert tersebut akan mengimbau perjalanan kisah cintanya bersama Erra sehingga mereka berpisah.
“Saya harap selepas ini tidak ada lagi orang bertanya kepada saya atau Erra mengenai hubungan yang dah lama tak ada tu.
“Kami pun dah ada keluarga dan hidup masing-masing,” katanya kepada Gempak.
Awie dan Erra ditemui ketika majlis sidang media memperkenalkan Erra sebagai artis jemputan konsert berkenaan di Zebra Studio, Palace of The Golden Horses, petang Rabu.
Imbas kembali memori 25 tahun lepas
Kredit Foto - Google : Filem Sembilu Tahun 1998
Konsert bertema romantika yang dibawakan secara muzikal/teatrikal ini, sedikit sebanyak bakal membawa penonton mengimbau kembali zaman mereka masih muda, zaman ketika mereka baru mengenal erti cinta, ketika mereka baru merasa sakitnya patah hati, kisah cinta sebelum dan selepas ikatan perkahwinan.
Lagu-lagu berhantu Awie seperti Tragedi Oktober, Ukiran Jiwa, Di Bayang Awan, Ratuku, Di Penjara Janji, Alif Ba Ta Duniaku dan banyak lagi yang pastinya akan membawa peminat mengimbau kembali tahun-tahun mereka bersama Awie.
Pastinya konsert ini menjanjikan suatu pengalaman yang berbeza.
Konsert Romantika Awie yang bakal berlangsung pada 15 Februari tahun depan di Stadium Melawati, Shah Alam. Tiket boleh didapati menerusi www.myticket.asia atau hubungi talian (03-86050195). - CARI |
|