PETALING JAYA – Tiada kelibat pelakon Rozita Che Wan mahupun suaminya, Zain Zaidin ketika rumahnya diserbu pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) pagi ini.
Bagaimanapun, sumber mendakwa, Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta itu sudah membawa beberapa barangan keluar dari kediaman mewah di Kota Damansara dengan lori semalam.
Ketika serbuan dijalankan hanya ada kelibat ibunya, Zabedah Saad yang melayani pegawai mahkamah, pihak polis, peguam dan beberapa wakil pegawai Mara.
Kira-kira beberapa minit diserbu, kelibat anak sulungnya, Ammar Effendy tampil bagi mewakili ibunya.
Usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan respons Ammar gagal apabila dia enggan memberikan sebarang jawapan berkaitan serbuan.
Anak sulung Che Ta iaitu Ammar Affendy (berbaju putih) mewakili ibunya Che Ta namun enggan memberikan sebarang komen lanjut berhubung writ penyitaan dan penjualan. – SADDAM YUSOF
Difahamkan, dia juga enggan memberikan kerjasama pada awal tetapi terpaksa reda kerana pihak peguam menyerahkan writ penyitaan dan penjualan.
Hampir dua jam serbuan, pihak peguam yang enggan dikenali memaklumkan mereka dapat menyita beberapa barangan dalam rumah yang bernilai kurang daripada RM100,000.
“Nilai anggaran barangan disita tidak sampai RM100,000 dan kebanyakannya hanya barang dalam rumah.
“Kami akan tunggu hari lelongan dalam masa terdekat.
“Apa-apa pun kami kena tunggu anak guam untuk proses selanjutnya,” katanya kepada Kosmo! Online selepas serbuan dilakukan.
Pagi tadi, serbuan dilakukan oleh pihak Mara ke kediaman pelakon drama Kiah Pekasam di Kota Damansara setelah pelakon tersebut tidak membayar hutang pinjaman dari agensi itu berjumlah hampir RM1 juta.
Pihak peguam menyerahkan writ terbabit hari ini berikutan tiada maklum balas serta kerjasama dari selebriti itu sebelum ini. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/12/10/che-ta-dikatakan-pindah-keluar-barang-guna-lori-semalam/