Ainations 'pulun' undi habis-habisan
Hati Aina tersentuh dengan kasih sayang yang ditunjukkan Ainations terhadapnya. - Foto Ihsan Ainations
KUALA LUMPUR: Setiap kali Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) menjelma, antara paling tak menang tangan tentunya kelab peminat artis. Ini kerana pada saat seperti inilah kesetiaan dan sokongan yang dilaungkan selama ini dapat dibuktikan menerusi undian. Menjadi antara kelab peminat yang dilihat begitu komited dalam menyokong kerjaya artis pujaan, Ainations iaitu peminat tegar kepada penyanyi Aina Abdul juga tidak ketinggalan untuk mengundi bagi memastikan penyanyi bervokal ampuh itu menang bergaya pada malam kemuncak ABPBH Ke-36 yang bakal berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Oktober ini. Presiden Ainations, Aizuddin Aqwa berkata, mereka sangat agresif dalam soal mengundi kerana mempunyai misi sangat besar untuk ABPBH 36.
"Komitmen Ainations lebih berlipat ganda kerana sasaran kami bukan sahaja mahu Aina pertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular, tetapi impikan menang Bintang Paling Popular. "Bagi kami, berbanding calon lain, Aina memang layak berdasarkan segala usaha yang sudah dilakukannya seperti mengadakan konsert dan pelbagai pengiktirafan lain diterima. "Setiap hari kami akan mengingatkan sesama sendiri supaya mengundi Aina. Antara strategi kami adalah mengadakan 'voting party' iaitu kami berkumpul dalam aplikasi Google Meet. "Boleh dikatakan setiap malam kami berkumpul untuk mengundi. Kadang-kadang Aina akan sertai pertemuan ini untuk memberikan semangat," katanya kepada BH Online. Mengakui terinspirasi dengan keperibadian penyanyi lagu Terus Hidup itu, Aizuddin yang juga pelajar di sebuah universiti awam itu berkata, Aina sering memberikan kata-kata semangat dan banyak menunjukkan contoh positif kepada peminat. "Bila nak buat sesuatu, Aina akan buat bersungguh-sungguh. Sebagai pelajar, secara tidak langsung saya terikut-ikut caranya dengan belajar bersungguh-sungguh. "Selalunya, Aina akan pesan supaya kami terus memberi sokongan terhadapnya. Kalau ada apa-apa isu kontroversi, Aina selalu ingatkan supaya berdiam diri dan tidak membalas sebarang komen negatif dalam media sosial. "Kalau Aina boleh buat begitu, kami sebagai peminat kenalah ikut apa yang dipesan," ujar Aizuddin.
Sementara itu, mengulas kesungguhan peminat yang tidak jemu-jemu mengundi demi memastikan kejayaan berada dalam genggamannya, pemenang trofi Penyanyi Wanita Popular, ABPBH 35 itu mengakui, hatinya tersentuh dengan kasih sayang yang ditunjukkan Ainations terhadapnya. "Alhamdulillah, mereka lebih bersemangat dan sambutan diberikan sangat luar biasa. Saya memang tak sangka mereka sangat gigih. "Saya melihat sendiri kesungguhan mereka mengundi saya setiap malam, ada juga yang mengundi sambil bekerja dan sedang belajar. Dalam kelas pun masih ada mengundi, jadi saya terharu dengan kesungguhan mereka. "Saya tak tahu apa yang saya lakukan hingga layak mendapat peminat yang sangat setia. Terima kasih Ainations kerana menjadi tulang belakang saya. "Tanpa Ainations, saya tak mungkin berada pada tahap hari ini," luah pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani ini. Aina menambah, dia akan terima dengan hati terbuka apa sahaja keputusan yang diumumkan pada malam kemuncak ABPBH 36. "Tujuan saya bekerja kerana semangat peminat. Terima kasih kerana berhempas-pulas mengundi saya. "Apa sahaja keputusan saya terima dengan hati terbuka. Jika ada rezeki, insya-Allah kami raikan bersama. Jika tiada rezeki menang pun tidak mengapa. "Ia tetap tidak akan menjejaskan kasih sayang antara kami. Kasih sayang masih lagi sama dan kami juga masih boleh meraikan kemenangan bersama," ungkap Aina. Ditanya siapakah Ainations pada pandangan matanya, pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 itu menyifatkan mereka seperti vitamin yang diperlukan dalam kehidupan seharian. "Kadang-kadang saya melalui situasi penat bekerja dan berdepan komen negatif. Bila perasaan sedih muncul, saya mula berfikir soal Ainations dan membayangkan satu persatu wajah mereka yang sangat tegar, setia dan bersemangat bersama saya. "Itulah Ainations di mata saya. Mereka adalah penguat saya. Saya selalu cakap dengan mereka undilah semampu yang boleh. "Saya tidak pernah memaksa mereka mengundi lebih daripada apa yang boleh diberikan. Bagi saya, bukan mudah untuk menakluk hati dan mendapat sokongan luar biasa seperti yang mereka tunjukkan. "Saya harap dalam tempoh jangka panjang, mereka masih terus bersama saya. Saya berjanji akan beri yang terbaik dalam setiap lagu yang dihasilkan," kata Aina. Terdahulu, kemunculan pertama Aina di pentas ABPBH pada edisi ke-32 apabila mara dalam kelompok Top 5 menerusi kategori Artis Baharu Wanita Popular. Untuk ABPBH 36, selain kategori Penyanyi Wanita Popular, Aina turut tercalon dalam kategori Lagu Paling Boom Popular menerus lagu Jangan Mati Rasa Itu. Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia. ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/10/1308952/ainations-pulun-undi-habis-habisan
|