|
Hari ini 51 tahun yang lalu, OPEC mula menyekat bekalan minyak kepada AS & negara yang membantu Israel dalam Perang Yom Kippur.
OPEC (Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum) ditubuhkan oleh Arab Saudi, Iran, Kuwait & Venezuela pada 1960 dengan objektif mengkoordinasi & menyatukan polisi minyak serta memastikan kestabilan pasaran bahan mentah itu.
Pada Oktober 1973, menteri-menteri OPEC bersidang di Vienna ketika Mesir & Syria menyerang negara haram Israel pada hari perayaan Yom Kippur. Israel kemudian membalas serangan dengan bantuan ketenteraan daripada AS juga Belanda & Denmark.
Apabila perang tak menyebelahi Mesir & Syria, OPEC menggunakan harga minyak sebagai senjata untuk melemahkan rejim Zionis & sekutunya. Israel enggan mengundurkan tenteranya, lantas bekalan minyak disekat & harga minyak meningkat sebanyak 70 peratus.
Pada persidangan OPEC di Tehran Disember itu, harga minyak dinaikkan lagi 130 peratus. Embargo penuh dikenakan kepada AS, Belanda, Denmark juga United Kingdom, Kanada, Jepun & kemudian Portugal, Rhodesia & Afrika Selatan turut dikenakan sekatan.
Harga minyak meningkat 4 kali ganda iaitu hingga hampir 300 peratus, dari USD3 setong kepada hampir USD12 setong seluruh dunia. Ia menyebabkan krisis tenaga dahsyat di AS & Eropah apabila berlaku kekurangan bekalan minyak yang serius.
Setengah tahun kemudian, pada Mac 1974, sekatan ke atas AS ditamatkan apabila Setiausaha Negara AS Henry Kissinger menjadi pengantara memperoleh persetujuan dalam rundingan pengunduran tentera antara Syria dengan Israel.
Walau bagaimanapun, harga minyak kekal tinggi berbanding sebelumnya. OPEC memotong pengeluaran minyak beberapa kali lagi dalam dekad 70-an & menjelang 1980, harga minyak mentah adalah 10 kali lebih tinggi berbanding pada 1973.
Episod sekatan minyak tersebut dipanggil sebagai ‘krisis/kejutan minyak pertama’, yang kemudian terjadi lagi krisis pada 1979 yang dipanggil ‘kejutan minyak kedua’.
Sumber: History
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|