MELAKA – Seorang lelaki yang bekerja sebagai badut menjual belon didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, bulan lalu.
Tertuduh berusia 38 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun tanpa kerelaan mangsa di sebuah rumah di Kampung Tehel dalam daerah Jasin kira-kira pukul 6 pagi pada 25 November 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan dilakukan adalah serius, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jumlah RM10,000 dengan dua penjamin dikenakan.
Beliau juga memohon agar syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi serta melapor diri sebulan sekali kepada pegawai penyiasat dikenakan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai pengutip besi dan badut menjual belon.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 14 Januari depan bagi sebutan semula kes serta melantik peguam. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/12/10/badut-belon-didakwa-rogol-remaja-14-tahun/