Keunggulan ajaran al-Quran perlu kekal pemberi petunjuk, panduan kepada pemimpin - TPM
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar (kiri) beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada perasmian Simposium al-Quran Dunia 2024 di WTC Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keunggulan ajaran al-Quran perlu kekal sebagai pemberi petunjuk dan panduan kepada pemimpin bagi mencipta rangka kerja komprehensif dalam tadbir urus, tingkah laku peribadi dan keharmonian sosial. Timbalan Perdana Menteri berkata al-Quran membawa beberapa elemen penting yang membentuk kepimpinan berwibawa melalui tingkah laku beretika, berintegriti, jujur dan telus dalam tadbir urus yang akan memupuk kepercayaan di kalangan rakyat selain mengukuhkan asas institusi. "al-Quran juga mengutamakan keadilan dan sebagai pemimpin, kita diamanahkan dengan tugas untuk memastikan keadilan dan kesaksamaan untuk semua anggota masyarakat, tanpa mengira latar belakang atau status. "Malah Al-Quran juga menekankan rasa belas kasihan terhadap sesama manusia seperti mana Nabi Muhammad SAW yang sentiasa menunjukkan kebaikan dan empati kepada semua.
Dengan mengintegrasikan ajaran al-Quran ke dalam amalan pengurusan, seorang pemimpin mewujudkan persekitaran yang beretika serta membuat keputusan yang inklusif, berinovasi, dan membabitkan komuniti," katanya ketika merasmikan Simposium al-Quran Dunia 2024 sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-64 1446H/2024M, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini. Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar; Hakim MTHQA, Fadhilatu Asy-Syaikh Dr Samih Ahmed Khald Athamneh dan Ketu Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee. Fadillah berkata al-Quran menyediakan menyediakan rangka kerja yang holistik bagi tujuan kepimpinan, pengurusan diri, dan hala tuju masyarakat. Malah dengan mematuhi prinsip etika, tingkah laku, keadilan, belas kasihan, dan kecemerlangan berterusan, beliau berkata negara mampu membina masyarakat yang sejahtera dan harmoni sekali gus setiap rakyat berpeluang untuk maju. "Oleh itu, marilah kita berikrar untuk menyepadukan ajaran al-Quran ini ke dalam amalan tadbir urus dan dasar selain kehidupan peribadi sendiri kerana al-Quran amat menggalakkan kita untuk berusaha cemerlang dalam semua perkara," katanya. Mengenai Simposium al-Quran Dunia 2024, Fadillah berkata, ia bukan sekadar himpunan minda tetapi komitmen untuk memahami dan mengaplikasikan setiap ajaran al-Quran dalam kehidupan. "Ia adalah satu peluang untuk kita memberi dedikasi kepada prinsip-prinsip keamanan, keadilan dan belas ihsan yang sememangnya tertanam pada Islam," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309089/keunggulan-ajaran-al-quran-perlu-kekal-pemberi-petunjuk-panduan
|