Handphone
Maafla ye..
Kali ni aku nak kongsi kisah yang berlaku dalam beberapa tahun lepas.
Yang pastinya kisah kali ni bukan berlaku di Sarawak..
Setiap kali Hari Raya Puasa, kami akan pulang menziarahi kedua-dua belah keluarga mak dan ayah mertua.
Pada hari Raya kedua tahun tersebut, kebetulan keluarga sepupu ayah mertua mengadakan hari keluarga yang biasa dilakukan setiap 2 tahun sekali. Mereka yang terdiri daripada 7 orang adik beradik telah bersepakat untuk mengadakan acara bagi menghimpunkan seluruh ahli keluarga 7 beradik tersebut.
Untuk menambahkan kemeriahan acara tersebut, semua saudara mara dijemput hadir.
Dan kebetulan pada hari tersebut aku dan suami sedang beraya di rumah pusaka ayah mertua. Kami menaiki 1 kereta ditemani oleh 3 orang adik ipar lelakiku. Anak-anakku ketika itu berumur 2 & 6 tahun.
Kami tiba selepas Zohor dirumah pusaka keluarga ayah mertua.
Pakcik yang merupakan adik ayah mertua ku mengajak kami untuk menghadiri acara yang dilakukan oleh sepupunya.
Sementalah, rumah sepupu ayah mertua tu hanya disebelah jer. Sebenarnya ayah mereka tu adik beradik.
Jadi tak hairanlah jika tanah mereka sebelah menyebelah.
Sepupu ayah mertua tu membuat keputusan agar didirikan rumah mereka adik beradik di atas tanah pusaka tersebut.
Ditengah-tengah tanah tersebut dibiarkan lapang sebagai tempat parking kereta dan juga untuk upacara keluarga termasuklah hari keluarga tersebut. Sebelum senja, kami mengambil kesempatan untuk memanjat rambutan dan duku yang terdapat di tanah kepunyaan ayah mertua.
Lumayan juga hasilnya. Maka penuhlah bonet kereta dengan 3 bakul rambutan dan duku.
Jadi, selepas Isyak, acara pun bermula. Setiap keluarga diwajibkan untuk menyediakan satu menu khas di setiap gerai yang didirikan di kawasan lapang yang disediakan. Ada pelbagai jenis masakan seperti laksa johor, western food, kuih muih, pelbagai bubur, ABC, dan minuman. Dan disatu sudut disediakan sudut karaoke.
Tahu-tahu sajalah kalau berkumpul semua sanak saudara, bermacam-macam cerita yang dikongsi. Dari hal keluarga sehinggalah ke hal negara… hahaha.. Disebabkan terlalu asyik berborak, tanpa kami sedar, waktu telah beranjak ke lewat malam. Kami pula tadi masing-masing tidak membawa sebarang bekalan baju kecuali anak-anak aku.
Jadi kami mengambil keputusan untuk pulang saja ke Kuala Lumpur. Alah, klu dari Muar tu, bukan jauh mana pun ikut highway. Lagipun, ada 4 orang lelaki dewasa dalam kereta tu. Tak ada apa yang perlu ditakutkan.
Tetapi sebelum sampai ke plus highway, kami terpaksa melalui jalan lama. Dan ada di antara kawasan tersebut kedengaran agak keras. Maaflah…aku tak arif dengan laluan tersebut.
Apa yang pasti, selepas susur keluar ke plus highway sebelum R&R Ayer Keroh, sepanjang laluan tu agak gelap. Tiba-tiba kereta terasa bergoyang-goyamg. Suami aku mengurangkan kelajuan kereta.
“Ah, sudah…tayar pancit’ katanya.
Nasib baik masa tu dah nampak papan tanda R&R Ayer Keroh. Suamiku membelokkan kereta dan masuk ke dalam R&R tetapi terus ke depan berhampiran stesen minyak dibawah tiang lampu dibahagian hujung R&R tersebut.
Sebaik turun dari kereta, sahlah tayar belakang sebelah kanan telah kempis. Maka kerja-kerja menukar tayar pun dilakukan oleh suami dan adik ipar.
Sementara itu, aku dan anak-anak duduk sambil menikmati rambutan dan duku..ada selera lagi tu..huhuhu
Setelah siap menukar tayar, suamiku menghidupkan enjin kereta..tetapi enjin kereta gagal dihidupkan. Apa pula masalah kereta ni? Sehari sebelum raya tu kami dah servis kereta tu. Mustahil pula kereta tu nak meragam. Dah la suami aku tu memang jenis yang ambil berat tentang kereta kesayangan dia. Dia membuka bonet kereta..aku yang duduk dibahagian penumpang hadapan, turun sama melihat keadaan kereta tersebut.
Entah kenapa aku terfikir untuk mengambil gambar..ceh, kekonon nak update kat facebook la… Setelah mencuba beberapa kali menghidupkan enjin dan tak tahu punca masalah kereta tersebut, kami membuat keputusan untuk menghubungi bantuan peronda lebuh raya.
Sementara menunggu ketibaan peronda lebuh raya, kami duduk bersembang sambil menikmati rambutan dan duku.
Eh,eh,…terbuka pula cerita pasal kereta yang bergoyang tu…mengikut cerita salah seorang adik iparku, dia terasa seolah-olah ada benda yang terjatuh di atas bumbung sebelum kereta bergoyang yang membuatkan dia terjaga. Rupa-rupanya, penumpang belakang semua dah membuta!
Haishhh…tak leh harap..hehehe
Lepas tu, suami aku pun mengatakan bahawa memang laluan tu agak keras sebenarnya. Tapi memandangkan kami ditemani oleh adik-adik lelakinya, maka dia mengambil keputusan untuk melalui jalan tersebut.
Sedang kami berborak, pasukan peronda lebuh raya pun sampai yang terdiri daripada 2 orang.
“Assalamualaikum…encik ada call pasukan peronda ke?” tanya salah seorang daripada mereka.
“ye, saya” jawab suamiku.
“Apa masalah nya cik?” tanyanya lagi.
“Kereta tak dapat nak hidup. Dah check dah bateri semua, nampak macam ok.” Kata suamiku.
“Tak per…kami check dulu…kalau perlu nanti kita jumping” katanya.
Masa ni aku tengah ambik gambar dari sisi belah kanan di pintu tempat duduk pemandu. Sementara suamiku dan pegawai peronda tu sedang membelek-belek enjin kereta.
“Cuba hidupkan lagi enjin kereta,” katanya.
Suamiku menghidupkan enjin kereta.
Ajaibnya! Dengan sekali pusing jer, enjin terus hidup.
Sekali lagi enjin kereta dimatikan dan dihidupkan semula. Tiada masalah!
Setelah yakin yang enjin kereta kami dah kembali berfungsi, kami ditinggalkan oleh pasukan peronda tersebut dengan ucapan terima kasih dan sedikit buah rambutan & duku untuk mereka.
Setelah memulakan perjalanan, aku terniat untuk melihat semula gambar-gambar sepanjang kami berhenti di R&R tersebut serta gambar-gambar kereta yang telah aku ambil.
Pada mulanya, tiada apa yang pelik pada gambar-gambar tersebut sehinggalah aku melihat gambar-gambar ketika suamiku dan pegawai peronda tersebut memeriksa enjin kereta tersebut.
Dalam gambar-gambar tersebut jelas kelihatan cahaya berwarna biru yang seolah-olah keluar dari bahagian enjin dan naik ke atas. Aku tidak berpuas hati. Aku teliti semula gambar-gambar tersebut.
Aku pasti semasa aku mengambil gambar tersebut, tiada satu pun kenderaan yang melalui kawasan tersebut sehingga terpantulnya cahaya biru yang jelas kelihatan didalam gambar tersebut. Dan yang pasti, selepas cahaya tersebut kelihatan keluar dari enjin kereta dan naik ke atas, ketika itulah enjin kereta dapat dihidupkan semula.
Sebaik sampai dirumah, aku menunjukkan gambar-gambar tersebut kepada suami, dia juga berasa pelik.
Dan yang lebih peliknya….. tiba-tiba handphone aku termati dengan sendiri dan tidak dapat dibuka semula selama beberapa jam.
Aku terpaksa membawa handphone tersebut ke kedai untuk diperiksa.
Tanpa berbuat apa-apa dikedai, handphone tersebut hidup dengan sendirinya.
Tetapi semua gambar-gambar yang diambil di R&R telah hilang. Walaupun aku cuba membuat ‘back up’ tetapi gagal untuk mencari semula gambar-gambar tersebut.
Kereta kami pula, selamat sampai ke rumah dan tidak meragam sehingga servis yang seterusnya.
Sehingga kini, jika kami melalui R&R tersebut, pasti teringat akan kisah gambar misteri tersebut.
Apakah cahaya yang berwarna biru tersebut? Adakah ianya sesuatu entiti? Kemanakah hilangnya gambar-gambar yang misteri tersebut? |