Peralihan monsun: Harga sayuran meningkat hingga 20 peratus, bekalan mula terjejas
Tinjauan di bahagian sayur-sayuran di Pasar Awam Taman Perling, Johor berikutan harga sayur meningkat antara 10 hingga 20 peratus sejak minggu lalu, susulan fasa peralihan monsun. - Foto ISKANDAR ISHAK
JOHOR BAHRU: Harga sayur meningkat antara 10 hingga 20 peratus sejak minggu lalu, susulan fasa peralihan monsun yang mengakibatkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan seluruh negara. Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata keadaan cuaca buruk menyebabkan bekalan sayur berkurangan sehingga 15 peratus, berikutan pengeluaran hasil di ladang terjejas termasuk faktor banjir. Katanya, kenaikan harga sayur berikutan bekalan yang terjejas dijangka berterusan sehingga musim Monsun Timur Laut (MTL), bulan hadapan. "Penanam sayur menjangkakan keadaan cuaca buruk akan bermula bulan depan, namun hujan lebat dan banjir sudah melanda beberapa kawasan di Johor, Perak dan Kedah sejak minggu lalu.
"Ia menyebabkan bekalan beberapa jenis sayur kini mula terjejas dan berkurangan berikutan hasil pengeluaran yang rosak akibat hujan terlalu lebat malah diburukkan pula ladang sayur seperti di Simpang Renggam, Kluang yang dinaiki air. "Keadaan ini menyebabkan harga sayur alami kenaikan antara 10 hingga 20 peratus di pasaran tempatan malah bekalan sayurn segar ke Singapura juga terjejas sehingga 10 peratus ketika ini. "Antara sayuran yang merekodkan kenaikan harga termasuk kacang panjang dan sayur berdaun seperti sawi dan bayam," katanya ketika dihubungi hari ini. Dalam pada itu, peniaga sayur di Tampoi, Wan Baharuddin Ahmad, berkata kenaikan harga bahan makanan itu berlaku sejak seminggu lalu. "Antara harga sayuran yang meningkat dengan ketara termasuk kacang panjang dan sayuran berdaun. Harga runcit kacang panjang naik RM3 kepada RM9 sekilogram berbanding hanya RM6, minggu lalu. "Begitu juga harga sayuran berdaun terutama sawi dan bayam yang naik kepada RM7 sekilogram, kenaikan sebanyak RM3.50 sekilogram, berbanding minggu lalu. "Pemborong juga ada memaklumkan bekalan sayuran kini mula terjejas berikutan musim hujan lebat dan banjir, menyebabkan pengeluaran hasil di ladang terjejas dan rosak," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309023/peralihan-monsun-harga-sayuran-meningkat-hingga-20-peratus-bekalan
|