|
kena tipu projek IT....
Rugi RM100,000
Oleh MOHD NASIF BADRUDDIN
[email protected]
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki mendakwa kerugian hampir RM100,000 apabila wang yang dilaburnya untuk mendapatkan aplikasi perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat (IT) daripada sebuah syarikat gagal diterimanya.
Khairul Nizam Ishak, 31, berkata awal tahun lalu kira-kira 30 individu menyertai projek diperkenalkan sebuah syarikat pembekal aplikasi perkhidmatan (ASP) yang menyediakan perkhidmatan suara inovatif, muat turun data, akses Internet jalur lebar pantas dan teknologi maklumat.
Katanya, mereka membuat pelaburan RM65,000 iaitu RM5,000 untuk yuran keahlian, RM10,000 untuk peralatan dan RM50,000 untuk aplikasi program, manakala kos pengubahsuaian pejabat mengikut keperluan masing-masing.
“Malangnya, sehingga sekarang saya belum menerima peralatan dan perisian program seperti dijanjikan, sedangkan wang pelaburan sudah dibayar.
“Lebih memburukkan keadaan, saya juga membuat pengubahsuaian kedai berjumlah RM40,000 untuk menggunakan aplikasi berkenaan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Khairul Nizam berkata, dia menghubungi syarikat berkenaan yang berpejabat di Kelana Jaya, Selangor, namun diberitahu syarikat berkenaan ditutup dan pihak pengurusannya menghilangkan diri.
Katanya, beberapa individu yang melabur dalam projek berkenaan menerima peralatan seperti komputer, tetapi perisian aplikasi program tidak disediakan.
“Lebih teruk, ada pelabur yang menghantar surat membatalkan perjanjian dan meminta dipulangkan semula wang, diberi cek tendang.
“Oleh itu kami bersepakat membuat laporan polis menuntut syarikat berkenaan memberi penjelasan sama ada projek dijanjikan masih berjalan atau tidak.
“Jika tidak berjalan, kami menuntut wang dilaburkan itu dikembalikan semula,” katanya mewakili sekumpulan individu dari Terengganu, Kelantan dan Perak yang melabur dalam projek berkenaan.
Khairul Nizam mendakwa, dia kini disenaraihitam oleh pihak berkuasa dan menanggung kerugian, sedangkan sebelum ini dia sanggup berhenti kerja sebagai juruteknik kilang semata-mata ingin menyertai projek itu. |
|