|
latest info
Hadiah wang tunai lebih lumayan
KEJOHANAN Ragbi Undangan 10 Sepasukan HSBC-COBRA XXXIX telah menarik penyertaan 12 pasukan antarabangsa.
Kejohanan yang akan berlangsung dari 1 hingga 2 November depan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu turut menampilkan tiga pasukan tempatan.
Presiden COBRA, Datuk Krishnan Tan berkata, juara bertahan, Canterbury Rugby Union dari New Zealand akan kembali mempertahankan gelaran mereka.
"Kejohanan tahun ini menawarkan hadiah yang lebih tinggi, AS$25,000 kepada juara manakala tempat kedua AS$15,000," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan penajaan kejohanan itu oleh penaja utama, HSBC Bank Berhad kepada COBRA di kelab COBRA semalam.
Sementara itu, jurulatih pasukan COBRA, Boon Hoon Chee berkata, pemainnya lebih mantap berbanding barisan sebelum ini.
"Seramai lima pemain tempatan dan sembilan pemain undangan dari Fiji, New Zealand dan Afrika Selatan akan dipilih untuk mewakili kelab COBRA," katanya.
Hoon Chee berkata, sembilan pemain undangan yang terpilih untuk mewakili pasukannya ialah Eben Joubert dan Faan Bassin dari Afrika Selatan, Paul Grant dan Doug Tjientjens (New Zealand) serta Isoa Turvva, Kini Rosolosolo, Jove Dalituicavne, Vonaini Korolano dan Velano Toroingrces (Fiji).
"Lima lagi pemain yang terdiri daripada pemain tempatan akan dipilih kemudian dan sehingga kini kita telah menyenaraikan sembilan pemain tempatan yang berbakat," katanya.
Hoon Chee menambah, dengan gandingan mantap sesia ada, tidak mustahil buat pasukannya merampas gelaran juara tahun ini.
Hoon Chee berkata, jurulatih, Duncan Robertson dari New Zealand akan mengambil alih tugasnya bagi memantapkan pasukan menghadapi kejohanan itu.
Malaysia sebagai tuan rumah akan diwakili tiga pasukan iaitu Sandakan Eagles, NS Wanderers dan Kelab Ragbi COBRA.
Penonton akan dikenakan bayaran masuk RM10 seorang untuk East Wing dan RM20 seorang bagi West Wing. |
|