Lapisan dinding mudah terbakar punca kebakaran bangunan KWSP
KUALA LUMPUR 13 Feb. - Penggunaan lapisan luar bangunan yang mudah terbakar menjadi punca kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Jalan Gasing, dekat sini hari ini.
Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Soiman Jahid berkata, kebakaran bermula pukul 11 pagi ketika kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan di luar tingkat satu bangunan.
“Ada kerja-kerja yang menggunakan api dilakukan yang telah memulakan percikan api lantas membakar luar dinding bangunan.
“Ditambah dengan faktor cuaca yang panas dan berangin membuatkan api bertambah marak dengan cepat,” katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas kerja pemadaman selesai dilakukan.
Tambah Soiman lagi, lima peratus bangunan luar KWSP dari tingkat satu hingga enam terbakar dan tidak melibatkan bahagian dalam bangunan.
“Semua pekerja dan pelanggan selamat dan tiada yang terperangkap. Cuma asap sahaja yang masuk ke dalam bangunan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE
|