Kenyataan doula Hayati Muzaffar atau lebih dikenali sebagai Kak Yat yang mendakwa menerima latihan untuk menyelia kelahiran dari seorang doktor di Indonesia telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pengamal perubatan di negara jiran tersebut.
mStar Online melaporkan, Presiden Persatuan Toksikologi Indonesia, Dr Tri Maharani menafikan sekeras-kerasnya dan menyatakan,
“Wah menakutkan sekali. Saya kira itu tidak benar. Saya pasti tidak ada seorang pun pakar kecemasan yang akan melakukannya.
“Saya sangat terkejut apabila ada pakar kecemasan dikaitkan dengan amalan itu. Tentu sahaja kami tidak setuju."
Dr Tri Maharani (kanan) Kredit foto: mStar Online
Malahan menurutnya Kerajaan Indonesia sendiri tidak mengiktiraf peranan doula di negara itu.
“Di sini tidak boleh guna doula. Kalau pun ada di desa terpencil yang tiada doktor atau bidan. Itu pun kerana terpaksa.
“Namun masyarakat Indonesia ada program Klinik Ibu dan Anak (KIA) dan semua ibu harus berdaftar dengan puskesmas (klinik kesihatan) atau hospital mini di setiap daerah."
Tambahnya mereka tidak akan sesekali menggunakan khidmat doula dalam proses menyambut kelahiran bayi.
“Ya pasti tidak ada. Ini kerana program KIA sangat ketat. Kalau ada kematian ibu melahirkan maka doktor dan bidan akan dihadapkan ke jawatankuasa perubatan.
“Malah doktor dan bidan juga boleh dipenjarakan kalau bersalah. Jadi kami sangat takut. Angka kematian ibu hamil dan melahirkan tinggi, jadi strategi ini dilaksanakan sejak 30 tahun lalu."
Justeru itu Dr Tri menggesa Kak Yat agar membuat permohonan maaf kepada pakar perubatan kecemasan di Indonesia.
“Dia harus minta maaf. Kenyataan dia membuatkan kami semua malu. Pakar kecemasan di seluruh Indonesia tidak ramai, hanya ada 58 orang kesemuanya.
“Jadi saya kenal dan tahu semua. Tapi kalau (individu) mengaku pakar atau pakar kecemasan palsu mungkin ada. Jika Doktor Perubatan Am (GP) atau doktor mengaku pakar kecemasan itu soal lain. Saya yakin bukan pakar kecemasan.”
Sebelumnya Kak Yat pernah mengeluarkan kenyataan dalam perogram Analisis menyatakan,
“Pertama kali masa saya dilatih menjadi doula pada 2012 dibawah pimpinan seorang doktor bekerja di Jakarta sebagai doktor pakar kecemasan.
“Dia ada studio yoga. Jadi dia ajar di dalam studio yoga untuk jadi penyokong emosi.”
Bagaimanapun Dr Tri menyangkal dakwaan berkenaan.
“Seramai 58 pakar kecemasan Indonesia tidak ada praktik di rumah dan buka studio yoga. Saya pasti itu bukan pakar kecemasan. Mungkin doktor biasa atau GP atau doktor palsu.
“Jadi saya memerlukan nama doktor yang dimaksudkan untuk saya buat laporan kepada Kementerian Kesihatan dan Persatuan Doktor Indonesia." -CARI |