|
Ainul Mardhiah stabil selepas pembedahan
Oleh Nor Hatina Shuib
[email protected]
KUALA LUMPUR: Bayi sembilan bulan yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin kini berada dalam keadaan stabil, tetapi masih direhatkan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya di sebuah hospital, di London, Isnin lalu.
Bapanya, Ahmad Safiuddin ketika dihubungi BH, berkata Ainul Mardhiah memerlukan rehat yang sepenuhnya kerana luka pembedahan masih baru.
“Saya difahamkan pihak hospital akan terus memantau keadaan Ainul Mardhiah buat masa ini dan akan memakan masa yang agak panjang.
“Jadi, saya masih tidak tahu sampai bila Ainul Mardhiah dirawat kerana doktor beritahu mereka perlu pastikan dia benar-benar pulih sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi BH Online menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi.
Ahmad Safiuddin dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi, masing-masing berusia 24 tahun akan terus berada di London bagi menemani anak mereka menjalani beberapa rawatan susulan mengikut saranan pakar bedah.
Ainul Mardhiah memerlukan rehat yang sepenuhnya kerana luka pembedahan masih baharu. - Ihsan FB Ahmad Safiuddin Ahmad Razak
Menceritakan pengalaman berada di sana, Ahmad Safiuddin berkata, beliau dan isterinya dibenarkan menjaga serta menjenguk anaknya di PICU memandangkan jarak hospital dan tempat penginapannya cuma tiga minit saja.
“Walaupun kami jauh daripada keluarga doa mereka dan saudara mara sentiasa dekat dengan kami . Setakat ini, tiada ahli keluarga yang akan datang menjenguk dan kami faham masing-masing ada komitmen dan tanggungjawab. Cukup sekadar doa dan keprihatinan kepada kami di sini.
“Saya dan isteri tidak pernah penat menjaga anak kami kerana sudah terbiasa dengan keadaan ini, malah lebih bersemangat apabila melihat perkembangan kesihatannya yang semakin positif.
“Malah pihak hospital juga menjaga Ainul Mardhiah dan kami dengan baik sepanjang berada di sini ” katanya.
Beliau belum dimaklumkan mengenai rawatan selanjutnya untuk puteri kesayangannya.
“Doktor pakar ada menjelaskan, Ainul Mardhiah perlu pulih sepenuhnya daripada kesan pembedahan sebelum menerima sebarang rawatan lanjut. Terima kasih rakyat Malaysia.
Antara pasukan yang menguruskan Ainul Mardhiah di London. - Ihsan FB Ahmad Safiuddin Ahmad Razak
“Saya dan isteri sangat gembira dan terharu dengan usaha murni seluruh rakyat Malaysia untuk melihat Ainul Mardhiah sihat kembali.
“Tanpa doa dan bantuan rakyat Malaysia dan izin Allah, Ainul Mardhiah mungkin tidak akan sampai ke London dan menerima rawatan. Semoga Allah membalas ganjaran setimpal atas sifat baik budi rakyat Malaysia,” katanya. |
|