Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
[email protected]
PROSIDING mahkamah membabitkan kes bapa memukul anak di Mahkamah Majistret Temerloh, hari ini, sayu apabila warga Indonesia itu selaku Orang Kena Saman (OKS) memohon rayuan pengurangan jaminannya dalam keadaan sebak.
Muhammad Yusuf, 47, sebelum itu membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Ti Pei Si atas tuduhan mencederakan anaknya, Arisya Dania, 9, minggu lalu.
Dalam rayuannya, Muhammad Yusuf memberitahu mahkamah dia memohon untuk dijamin dan meminta jumlah jaminan itu dikurangkan kerana perlu menjaga tiga anak termasuk mangsa.
Katanya, dia menjaga tiga anaknya dengan baik apabila memperoleh hak jagaan selepas bercerai dengan isterinya sejak 2015.
“Sepanjang saya menjaga anak tidak pernah berlaku masalah, saya memohon untuk dijamin kerana perlu menjaga mereka.
“Saya memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana saya bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan tidak menentu,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Yusuf didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 November lalu pada jam 4 petang di rumah mereka di Taman Setia Jasa.
Dia didakwa mengikut Seksyen Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif yang menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin rakyat tempatan berserta syarat OKS menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa.
Mahkamah membenarkan OKS dijamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia dan membenarkan syarat dimohon pihak pendakwaan selain memerintahkan OKS melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Ti menetapkan tarikh 24 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Pada 22 November lalu, media melaporkan seorang lelaki memukul anak bongsunya kerana berang selepas makanan yang dibekalkan kepada mangsa untuk majlis perpisahan di sekolah tidak terusik.
Kejadian itu menyebabkan mangsa lebam di paha kiri dan bengkak di kepala.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019
@ 4:27