|
Dengarnya... Tudung entah ke mana apabila ke luar negara
Oleh Normah Becok
WALAUPUN Cik Normah berpangkalan di Kuala Lumpur, jangan ingat Cik Normah tak ada sumber gosip dari luar negara. Sumber Cik Normah ada di mana-mana saja, jadi berhati-hatilah ya... Hehehe jangan pula ingat Cik Normah nak menggertak ya? Cik Normah saja nak bikin panas.
Baru-baru ini teman Cik Normah yang sederhana saja orangnya memberitahu, dia terserempak dengan seorang selebriti di lapangan terbang. Teman Cik Normah ni nak ke India, tapi dia tak tahu pula si selebriti itu nak ke mana. Tetapi selepas beberapa hari ke sana atas urusan kerja, dia pulang dan membuka laman sosial.
Tup.. tup.. dalam laman sosialnya itu dia bertemu dengan seorang rakannya yang berada di sebuah negara mat salih yang tak perlu Cik Normah beritahu di mana. Kata kawannya, dia terjumpa dengan seseorang yang amat dikenalinya. Mula-mula dia ingatkan tersilap orang, puas juga dia menoleh berkali-kali takut tersilap orang. Selepas diamati, memang sah dia mengenali wajah selebriti itu.
Cuma yang dia pelik di negara kita bukan main bertudung litup lagi, tapi di sana tudung yang menghiasi kepalanya hilang entah ke mana. Terkejut juga Cik Normah mendengar cerita itu, tak sangka pula sikapnya begitu sebab jika di sini perangainya pijak semut pun tak mati tetapi di sana wah bukan main ligat lagi.
Kata teman Cik Normah tu, kepalanya hanya bogel saja. Menyampah sungguh Cik Normah dengan orang yang tak ikhlas. Kalau setakat pakai tudung untuk mengaburi mata orang lain lebih baik tak payah pakai langsung! Buat apalah pakai tudung hanya sebab nak puaskan hati, bukankah lebih baik jika dia pakai kerana ikhlas.
Bosan sungguh Cik Normah dengan orang yang suka berpura-pura macam artis itu. Lain kali jangan ingat bila berada di negara orang tiada mata yang akan nampak. Tengok biarpun beribu batu, kalau benda tak baik, sekejap saja Tuhan nak tunjuk! |
|