Post Last Edit by Nadia90 at 27-1-2012 16:22
1996-2000 Tahun Gemilang Siti Nurhaliza
Anugerah Juara Lagu 1996
Tahun 1996 akan terus diingati sebagai tahun kelahiran penyanyi Siti Nurhaliza di pesada muzik tempatan. Populariti Siti ketika itu memuncak dengan lagunya Jerat Percintaan. Penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis itu berjaya menyertai AJL walaupun sedang bergelut dengan peperiksaan SPM dan hampir menarik diri. Tampil sebagai underdog, Siti menyerlah dengan busana berkonsepkan baju pengantin lengkap bermahkota kecil di kepalanya. Pengaruh dua artis wanita iaitu Ziana Zain dan Fauziah Latif ketika itu sangat besar namun berjaya dirobohkan oleh penyanyi molek itu.
Selepas berjaya menghidupkan suasana pada Juara Lagu pada tahun 1993 dan 1995, Fauziah Ahmad Daud sekali lagi diberi peluang mengacarakan acara tumpuan ramai ini. Kali ini anak kepada Primadona Filem Melayu, Saadiah ini bergandingan dengan Salleh Yaakob yang pernah popular dengan lagu ’Pisang Panas’.
Mengambil tempat di PWTC, Kuala Lumpur, Juara Lagu 1996 menyaksikan juara baru tercipta. Inilah permulaan kepada kejayaan demi kejayaan yang dicipta oleh penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza. Single pertamanya, Jerat Percintaan dari album sulungnya menjadi juara keseluruhan di samping merangkul dua lagi kemenangan untuk Persembahan Terbaik dan Kategori Balada.
Sebenarnya, ramai yang sudah menjangka kemenangan penyanyi berbakat besar ini walaupun ketika itu beliau baru berusia 17 tahun. Siti berjaya menewaskan penyanyi penyanyi popular ketika itu Ziana Zain dan Fauziah Latif. Cerita di sebalik tabir, Siti dikatakan hampir menarik diri kerana sedang berhadapan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
N.D Lala sekali lagu muncul sebagai juara untuk kategori Irama Malaysia dengan lagu Syair Cak Pong. Begitu juga dengan Kumpulan Kool, lagu dendangan mereka Bebas diumumkan sebagai pemenang kategori Pop Rock.
Anuar Zain muncul kali pertama di pentas juara lagu pada tahun ini. Tetapi bukan sebagai penyanyi, sebaliknya sebagai pelakon untuk persembahan Siti Nurhaliza. Anuar Zain ketika itu berdiri di belakang kerusi dengan tangannya diikat.
Man Bai vokalis kumpulan Gersang tampil secara solo dengan lagu Sebenarnya. Bukan sesuatu yang menghairankan kerana ada juga vokalis kumpulan lain yang tampil solo selepas itu. Begitu juga kepada kumpulan yang mempertaruhkan vokalis lain untuk tahun-tahun yang akan datang.
Lagu-lagu yang bertanding di Juara Lagu 1996 ialah:-
Kategori Balada Kemelut Di Muara Kasih : Ziana Zain Jerat Percintaan : Siti Nurhaliza Gerimis Mengundang : Kumpulan Slam Romantis : Kumpulan Spring
Kategori Pop Rock Bebas : Kumpulan Kool Sahabat : Fauziah Latiff Sebenarnya : Man Bai Janji Seorang Kekasih : Adilla
Kategori Irama Malaysia Ah! Rindu Lagi : Amelina Bulan Cinta : EvaSyair Cak Pong : N.D. Lala Demam Cinta : Azura
Anugerah Juara Lagu 1997 Masuk ke tahun 1997, citarasa penggemar muzik tempatan dilihat mula berubah. Ini terbukti apabila lagu-lagu Balada tidak lagi memonopoli pertandingan ini. Siti Nurhaliza gagal mempertahankan kemenangannya walaupun lagu Aku Cinta Padamu menjadi siulan ramai. Bagaimanapun, Siti memenangi kategori Balada dan persembahan terbaik pada malam itu.
Selepas 11 tahun berturut-turut lagu bergenre Balada menjadi juara, akhirnya pada tahun 1997 lagu Ghazal Untuk Rabiah dinobatkan sebagai juara. Lagu nyanyian M. Nasir dan Jamal Abdillah ini tergolong sebagai lagu Etnik Kreatif yang termasuk dalam kategori Irama Malaysia. Bermula dari situ, lagu-lagu Etnik Kreatif mula bersinar.
Lagu ciptaan Helen Yap dan Darwis mengunguli kategori Pop Rock menerusi lagu Itik Gembo-gembo. Ini merupakan langkah pertama dan terakhir A To Z di pentas berprestij ini. Selepas itu, populariti kumpulan ini semakin menurun dan akhirnya berpecah.
Selain itu, Juara Lagu 1997 juga menyaksikan kepulangan Wings ke pentas ini selepas tujuh tahun tidak turut serta. Ketika itu Wings muncul tanpa kehadiran Awie. Sebaliknya kumpulan ini beraksi dengan vokalis baru, Mus (bekas penyanyi Kumpulan May) dengan mempertaruhkan lagu Biru Mata Hitamku dalam kategori Pop Rock.
Set pentas untuk kali ini amat menarik iaitu mempunyai tangga ke atas yang bukan setakat hiasan tetapi boleh digunakan penyanyi untuk 'turun naik' ke pentas. Selepas pengumuman keputusan, penyanyi Jamal Abdillah telah memimpin tangan penyanyi Siti Nurhaliza untuk menuruni tangga tersebut sehingga menerima sorakan penonton.
Senarai penuh lagu yang bertanding pada tahun ini ialah :-
Kategori Balada Aku Cinta Padamu : Siti Nurhaliza (Ly / Baiduri) Naluri : Nora (Johan Nawawi) Seroja : Kumpulan Search (M.Nasir / S.Amin Shahab) Senja Nan Merah : Awie & Ziana Zain (Darwis (M. Nasir) / Seth (Loloq))
Kategori Irama Malaysia Ghazal Untuk Rabiah : Jamal Abdillah & M.Nasir (Chenderawasih / Jamal Abdillah / M.Nasir) Awallah Dondang : Noraniza Idris (Hairul Anuar / Anak Sarawak) Kalau Mencari Teman : Ziana Zain (Razman / Habsah Hassan) Hela Bubu Hela : Kumpulan A to Z (Kiya / Saba)
Kategori Pop Rock Itik Gembo-gembo : Kumpulan A to Z (Halen Yap / Darwis / Lan) Apa Ku Rasa : Shima (Fauzi Marzuki / Darwis) Biru Mata Hitamku : Kumpulan Wings (Andi Rahman /Loloq (Rosli Khamis)) Cemburu : Kumpulan Kool (Zuraini)
Tahun 1997 dikatakan tahun bermulanya pengaruh Irama Malaysia. Persembahan Awallah Dondang nyanyian Noraniza Idris dipersembahkan dalam satu persembahan yang cukup gah lengkap penari zapin, pemukul gendang dan rebana dan menjadi satu cerita indah yang telah dilakukan oleh Noraniza. Walaupun gagal memenangi Persembahan Terbaik, kekecewaan Noraniza terubat di tahun-tahun yang akan datang.
Anugerah Juara Lagu 1998
Ketika ini populariti Siti Nurhaliza memang berada di puncak. Boleh dikatakan semua lagu yang dinyanyikan olehnya mendapat sambutan yang luar biasa. Siti berjaya mencetuskan fenomena baru dalam industri muzik negara. Populariti yang diraih penyanyi bersuara emas ini turut mempengaruhi penganjuran AJL.
Tahun ini Siti layak bertanding untuk ketiga-tiga kategori. Cindai untuk kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif, Bisikan Asmara untuk kategori Pop Rock dan Wajah Kekasih untuk kategori Balada.
Dengan penyertaan berganda ini, Siti akhir mengukir satu lagi kejayaan manis apabila lagu ciptaan Pak Ngah dan tulisan Hairul Anuar Harun, Cindai dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas diumumkan sebagai pemenang kategori.
Kategori Balada dimenangi oleh Ziana Zain menerusi lagu Puncak Kasih. Manakala kategori Pop Rock pula menjadi milik Joget Angan Tak Sudah yang dinyanyikan oleh Jay Jay. Noraniza Idris yang tampil dengan persembahan yang membabitkan ramai penari untuk lagu Dikir Puteri dipilih sebagai persembahan terbaik pada malam itu.
Pihak TV3 membuat keputusan mengadakan AJL 1998 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam untuk menjimatkan kos kerana ketika itu negara sedang dilanda kegawatan ekonomi. Pertandingan ini telah diadakan pada waktu petang.
Tahun itu juga menyaksikan kegawatan ekonomi sehingga menyebabkan tenaga produksi AJL tiada pilihan lain dengan menawarkan barangan elektrik sebagai hadiah buat para pemenang bagi menggantikan wang tunai.
Namun kemeriahan AJL tetap dirasakan. Persembahan Siti Nurhaliza untuk lagu Cindai bersama penari zapin kanak-kanak cukup menghiburkan dan dilengkapi persembahan hebat Noraniza Idris untuk lagu Dikir Puteri.
Tahun itu merupakan tahun produktif Pak Ngah atau pun Suhaimi Mohd Zain. Dua artis wanita ternama, Siti dan Noraniza merupakan antara pencipta yang lagu-lagunya dinyanyikan oleh dua penyanyi itu. Kualiti lagu Irama Malaysia pada ketika itu berada di kemuncaknya, namun ia tidak berkekalan lama apabila kategori Irama Malaysia/Etnik Kreatif terpaksa ditiadakan kerana kekurangan lagu.
Shamsul Ghau Ghau dan Anne Hamid telah mengacarakan AJL kali ini.
Kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif "Zapin Yang Tinggal" (Ramlah Ram/Herman Tino/Herman Tino) "Dikir Puteri" (Noraniza Idris/Pak Ngah/Hairul Anuar Harun) "Firasat" (To'ki/To'ki/To'ki) "Cindai" (Siti Nurhaliza/Pak Ngah/Hairul Anuar Harun)
|