|
Agenda sisih Mawi?
Rap
TAHUN ini kali ketujuh radio Era menganjurkan Anugerah Era 2007 (AE07), khusus memberi peluang kepada pendengarnya memilih lagu, penyanyi dan pelakon pilihan mereka. Namun, bahang kehangatan majlis yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Sabtu ini seperti tidak terasa.
TAHUN ini kali ketujuh radio Era menganjurkan Anugerah Era 2007 (AE07), khusus memberi peluang kepada pendengarnya memilih lagu, penyanyi dan pelakon pilihan mereka. Namun, bahang kehangatan majlis yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Sabtu ini seperti tidak terasa.
Konsert pra-Anugerah Era yang diadakan di Hard Rock Cafe pada 21 dan 22 Ogos lalu pula dikatakan kurang mendapat sambutan daripada artis yang dicalonkan merebut 12 anugerah dipertandingkan. Sedangkan tujuan penganjur mengadakan konsert untuk disiarkan di Astro Ria pada 25 Ogos dan 1 September lalu untuk menghangatkan lagi majlis kemuncaknya.
Apa yang kedengaran, beberapa cerita mengenai rasa tidak puas hati mereka yang bertanding. Paling dibangkitkan mengenai ketiadaan Mawi bertanding untuk kategori utama, Vokal Lelaki Pilihan yang pernah dimenanginya tahun lalu.
Ada yang mengatakan ia sebagai satu kontroversi yang cuba diwujudkan penganjur. Ketiadaan Mawi untuk kategori utrama itu mengundang rasa tidak puas hati di kalangan peminat 'Raja SMS' itu walaupun Mawi dicalonkan untuk empat kategori.
Sekalipun 'kekeruhan' yang berlaku pernah dijelaskan sebelum ini, ia masih belum berakhir. Apakah kontroversi yang berlaku menjejaskan persiapan penganjur? Ikuti temu bual wartawan Harian Metro, NORHAYATI NORDIN dengan Pengurus Rancangan Radio Era, Rostam Said.
SOALAN (S): Setakat ini bagaimana persiapan malam kemuncak AE07 Sabtu ini?
JAWAPAN (J): Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Setakat ini, kita dalam proses menyiapkan pentas dengan prop sesuai. Insya-Allah, semuanya boleh siap menjelang sesi latihan penuh Jumaat ini. Syukur, kita tidak menghadapi sebarang masalah. Apa pun, kita sedaya-upaya membuatnya sebaik mungkin mengikut apa yang dirancang mengikut temanya. Tunggulah, Sabtu ini.
S: Mengapa tahun ini lokasi AE07 diadakan di Genting Highlands berbanding di Stadium Putra, Bukit Jalil sebelum ini?
J: Sebenarnya, tiada apa-apa sebab, hanya sekadar berubah angin. Jika diikutkan, sudah tiga tahun Anugerah Era dibuat di Bukit Jalil. Jadi, apa salahnya untuk AE07 kali ini di Genting Highlands semula. Sekurang-kurangnya ia mengimbau kenangan penganjuran AE yang pertama dan ketiga pada 2000 hingga 2003 yang dianjurkan di Genting Highlands. Seingat saya, ia tetap meriah dan menghiburkan.
S: Apakah kelainan AE07 kali ini?
J: Tidak dinafikan setiap tahun kita memang buat kelainan. Biasanya kita cuba tengok pada temanya. Macam tahun lalu, tema yang kita pilih kulit dan denim tapi kali ini ditukar kepada Trend & Tradisi. Ia menggabungkan unsur tradisional dan moden.
Selain itu, persembahan artis juga tidak terkecuali. Pada AE07 ini, kita menjemput artis popular tanah air dan bintang baru dari Akademi Fantasia (AF) menghiburkan penonton. Antaranya Dayang Nurfaizah, Hattan, Anuar Zain, Misha Omar, Andy Flop Poppy, Ella, Man Kidal, Kristal, Jinbara dan kumpulan dari Indonesia, Kerispatih.
Bintang AF pula, kita undang dari musim pertama hingga kelima seperti Vince, Bob, Farah, Idayu, Diddy, Mila dan Aizat. Apa yang kita mahu, penonton terhibur.
S: Mawi tidak disenaraikan untuk Vokal Lelaki Pilihan sedangkan dia difikirkan layak. Bagaimana boleh berlaku?
J: Semua keputusan dibuat berdasarkan undian peminat dan pendengar Era. Terus-terang, selaku penganjur kita sedikitpun tidak ambil bahagian dalam proses pengundian. Semua undian peminat dikira juruaudit. Kita di Era hanya pengantara yang memutarkan single artis di radio untuk peminat memilihnya. Justeru, segalanya ditentukan peminat.
S: Apa komen anda mengenai wujud rasa tidak puas hati di kalangan peminat Mawi apabila hanya empat kategori dicalonkan?
J: Saya memang sedar perkara itu tetapi tidak boleh buat apa. Segalanya sudah ditentukan peminat yang mengundi. Apa pun, Mawi dipilih bertanding dalam kategori Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan, Lagu Pop Pilihan, Lagu Nasyid Pilihan dan Video Muzik Pilihan.
S: Ada menganggap kategori Mawi biasa saja dan 'tidak kuat' untuk penyanyi popular sepertinya.
J: Semua kategori sama saja, tiada yang kuat atau tidak kuat. Seperti yang saya katakan, ini pilihan ramai.
S: Apakah penganjur cuba menarik perhatian ramai dengan mewujudkan kontroversi ini?
J: Tidak sesekali. Kita tidak pernah mewujudkan kontroversi untuk menarik perhatian. Apa yang berlaku ini bukan kontroversi. Ia berdasarkan undian daripada peminat dan pendengar Era.
S: Apakah penganjur ada menerima sebarang luahan rasa tidak puas hati daripada peminat Mawi?
J: Ada, kita pernah terima e-mel dan surat daripada peminat Mawi. Namun, kita anggap ia perkara biasa. Kita faham perasaan mereka (peminat). Sesiapa saja berhak meluahkan rasa tidak puas hati apabila artis pujaan mereka tidak berpeluang ke peringkat akhir. Bagaimanapun, sudah terlambat. Keputusan pemenang akan diumumkan beberapa hari saja lagi. Saya sendiri pun hingga saat ini tidak mengetahui siapa calon yang akan menang.
S: Tidakkah anda fikir, keadaan ini akan menggugat kedatangan penonton ke Genting Highlands nanti?
J: Saya tidak rasa begitu. Peminat Mawi akan datang juga ke Genting Highlands untuk menyokongnya. Biarpun tidak dicalonkan dalam Vokal Lelaki Pilihan tetapi dia (Mawi) masih ada empat kategori lain.
S: Adakah Era akan mengundang bekas penyampai seperti Khairil Rashid dan Nila Kurnia untuk menyampaikan anugerah pada malam itu?
J: Rasanya kita tidak akan buat begitu. Majlis akan dikendalikan penyampai Era yang ada ketika ini, Kieran, Zizi, AC Mizal, Yasmin Hani, Jimmy Shanley, Reza Mohammad, Nana dan Aznil. Kita juga mengundang beberapa nama besar dalam industri antaranya Datuk Rahim Razali, Datuk Siti Nurhaliza, Fatimah Abu Bakar, Afdlin Shauki, Sarimah Ibrahim dan Yassin untuk sama-sama menyampaikan anugerah.
S: Selain AE07, khabarnya formula Era mengetengahkan beberapa selebriti popular sebagai penyampai 'kurang kena'. Mereka dikatakan kaku ketika berinteraksi dengan pendengar. Apa komen anda?
J: Pada saya, ia biasa. Benda baru selalunya lambat untuk diterima pendengar. Tapi saya percaya lama-kelamaan ia boleh diterima. Lagipun, biarlah penyampai baru Era ini belajar dulu.
Saya pun pernah dikritik seperti mereka masa mula-mula bersama Era dulu. Tapi kini, Alhamdulillah saya diterima. Justeru, janganlah mencela mereka sebelum masanya. Berikan peluang.
S: Bagaimana penerimaan pendengar setia Era dengan perubahan itu?
J: Baik. Sambutan masih menggalakkan. Biarpun Hani, AC Mizal dan Jimmy baru tiga bulan beraksi di radio, mereka sentiasa memperbaiki kekurangan masing-masing. Insya-Allah, mereka boleh melakukannya. |
|