Sungai Skudai terus dicemari sampah
[size=14.399999618530273px]
[size=14.399999618530273px]Tinjauan di Sungai Skudai, Johor. - Foto NSTP/Iskandar Ishak
[size=14.399999618530273px]
JOHOR BAHRU: Timbunan sampah yang terdampar di tebing Sungai Skudai, di sini, bukan sahaja mencemarkan sumber bekalan air negeri malah mengundang pemandangan menjijikkan. Tinjauan di Sungai Skudai berhampiran Taman Perling, di sini, mendapati beberapa longgokan sampah tersangkut di pokok sekitar tebing sungai seolah-olah ia dijadikan tong sampah terbuka. Sampah yang dibuang ke sungai itu termasuk tong sampah beroda, pembungkus makanan, kotak, botol arak serta pelbagai jenis plastik, yang bertebaran di tebing sungai berkenaan. Walaupun pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri untuk menangani isu pencemaran sungai di Johor, sikap masyarakat yang masih terus menjadikan sungai dan saliran sebagai 'tong sampah' menyebabkan isu berkenaan tidak berkesudahan. Pesara swasta, Ahmad Idris, 63, berkata keadaan Sungai Skudai yang dicemari sampah sarap sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu kerana ia terletak di tengah kawasan penempatan padat. Katanya, apabila hujan lebat atau air sungai surut, longgokan sampah besar boleh dilihat jelas mengalir mengikut arus selain timbunan sampah yang tersangkut di pokok dan tebing sungai.
"Sungai Skudai sudah dicemari sampah bukan baru-baru ini tetapi sudah berpuluh tahun. Penduduk di sini sudah lali melihat sampah sarap memenuhi sungai. "Cuba tengok di tebing di celah-celah pokok pun sudah nampak longgokan sampah sarap tersangkut. Apabila hujan lebat atau air sungai surut, lebih banyak sampah sarap jelas kelihatan mengalir mengikut arus. "Bagaimanapun, saya dan penduduk kampung berhampiran sungai ini masih setia memancing dan mengail di sini, kerana pelbagai hidupan sungai boleh didapati, namun ia tidak sebanyak dulu," katanya ketika ditemui. Sungai Skudai adalah antara sembilan sungai di Johor yang disenaraikan dalam kategori sungai tercemar negara 2023 dan dikategorikan berada dalam pengkelasan kualiti air sungai (IKA) kelas tiga dan empat, oleh Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA). Jun lalu, media melaporkan kira-kira 300 tan sampah sarap dikutip di Sungai Skudai dan Sungai Tebrau, di sini, setiap bulan, sejak tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, dilaporkan berkata jumlah itu sangat besar kerana ia hanya membabitkan dua sungai di bandar raya ini dan Johor Bahru. Sehubungan itu, Kerajaan Johor melancarkan program Johor Bersih@Sungai, yang akan diperkenalkan di 10 daerah negeri ini bagi menangani isu pencemaran sungai, mulai tahun ini. Pada 2022, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan kecewa susulan tahap kebersihan Sungai Skudai yang disifatkan sangat mendukacitakan dan dipenuhi pelbagai longgokan sampah sarap dan sisa buangan. Onn Hafiz dilaporkan terkejut apabila menemukan banyak bangkai haiwan dan sampah plastik ketika mengadakan Program Pembersihan Sungai Skudai sempena Johor Bersih di Sungai Skudai, Taman Impian Emas, ketika itu. Susulan itu, kerajaan negeri dilaporkan mencari ikhtiar bagi melaksanakan inisiatif yang dirancang menerusi Program Johor Bersih agar objektifnya tercapai, sekali gus menjadikan Sungai Skudai sebagai sungai contoh di negeri ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1323314/sungai-skudai-terus-dicemari-sampah
|