CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: mrs_salvatore

Pengalaman Seorang Pegawai Penyelamat Hutan di USA (ceduk dari reddit)

  [Copy link]
Post time 17-6-2022 03:56 PM | Show all posts
bestnyaa. thank you TT!
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-6-2022 12:56 PM From the mobile phone | Show all posts
Penunggu Hotel

Seumur hidup aku, aku memang tak percaya dengan kewujudan paranomal sehinggalah aku mengalami sendiri kejadian tu semasa aku dan suamiku menginap di sebuah hotel lama di Santa Fe, New Mexico.  Nama hotel tu Hotel St Francis.



Di bilik yang kami duduk tu ada sebuah kerusi kayu antik.  Kerusi tu agak lebar sikit permukaannya jadi aku buat kerusi tu jadi tempat letak laptop aku.  Di belakang kerusi tu pun aku gantung jugak sehelai blaus aku.  Kerusi ni letaknya di sebelah dinding yang memisahkan katil dengan almari dan kerusi tu.  Lepas tu aku dan suami aku pun keluar pergi bersiar-siar di bandar tu.  Balik daripada bersiar-siar, kitorang pun masuk bilik.  Aku ternampak blaus yang aku gantung tadi dah ada di atas lantai. Eh heran jugak takkan angkara makcik cleaner sebab aku dan suami dah gantung kat pintu tanda ‘Do Not Disturb’, tapi aku husnozon mungkin angin yang tiup jatuhkan blaus tu kot.  Kitorang pun pesan makan malam dalam bilik dan terus pergi tidur.

Kebiasaannya aku dan suami aku sebelum tidur kami tutup lampu dan sembang-sembang kosong dalam gelap tu sampailah kami berdua terlena.  Mata kami dah nak terkatup-katup ni apabila PRAAANNNGGGG! Kami terdengar macam ada orang lempar sesuatu di sebalik dinding pemisah tu.  Kami berdua terus terbangun dan melompat turun dari katil pergi ke sebelah dinding tu.  Kitorang nampak beg laptop aku dah ada di seberang kerusi tu.  Seolah-olah macam ada orang angkat beg laptop tu pastu baling ke tepi.  Jarak balingan tu pun agak jauh jugak, dalam 10 ke 15 kaki camtulah.  Tak mungkin beg laptop tu boleh membalingkan dirinya sendiri sebab dalam bilik tu cuma ada aku dan laki aku je.  Laki aku sempat pulak cakap, ‘agaknya hotel ni pun ada hantu jugak.  Santa Fe ni kan bandar berhantu’.  Lagi takutlah aku, malam tu aku tak benarkan langsung laki aku tutup lampu, tidurlah kitorang bawah lampu terang-benderang macam tu.

Esok pagi tu kitorang pun check out dari hotel tu, macam biasa adik penyambut tetamu tu tanya ok tak menginap kat hotel ni? Laki aku pun dengan selamba tanya, dik hotel ni ada berhantu ke?  Adik penyambut tetamu tu cuma tergelak kecil, dia tanya kitorang balik pulak, ‘oh malam tadi encik berdua nampak ke hantu budak perempuan tu?”

Sejujurnya itulah kali pertama dan terakhir aku diganggu dan sejak tu jugak aku mula percaya dengan kewujudan paranormal…

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 20-6-2022 04:45 PM From the mobile phone | Show all posts
Waaahhhhh, best la semua cerita TT..
Mohon boleh update lagi ya.. Terima kasih TT..
Reply

Use magic Report

Post time 22-6-2022 12:36 PM | Show all posts
TQ tt.... best
Reply

Use magic Report

Post time 4-7-2022 08:08 AM From the mobile phone | Show all posts
Khatam dah sampai penunggu hotel..terima kasih tt. Semua citer best2
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-7-2022 04:26 PM From the mobile phone | Show all posts
Penunggu Hotel 2

Tahun 2016 aku dan teman wanitaku pergi melancong bersama berdua untuk pertama kalinya.  Kami menempah sebuah bilik hotel di sebuah hotel bersejarah di sebuah bandar lama, nama hotel tu Hotel Belmont tapi lokasinya biarlah aku rahsiakan.  Hotel ni rekabentuknya memang elegan macam rumah agam tahun 1850an.  Ruang tangga yang besar, ada bilik sambut tetamu dan perabot-perabot antik dari zaman tu.



Hari pertama sebelum kami check in masuk hotel, kami bersiar-siar dulu di bandar tu sampai kami kepenatan.  Kami check in dan terus masuk tidur tapi malangnya di malam pertama tu kami tak dapat nak tidur lena.  Walaupun kami sebenarnya letih sangat tapi aku dan teman wanita aku rasa seram sejuk macam ada ‘orang’ lain pulak tengah memerhatikan kami.

Beberapa jam kemudian, aku agak dalam pukul 3 pagi macam tu lah, kami dikejutkan dengan satu bunyi yang sangat kuat dari bilik tingkat atas kami.  Bunyinya macam ada orang tengah main tarik-tarik perabot.  Kami boleh dengar bunyi kaki perabot kayu tu bergeser dengan lantai bilik atas tu.  Bunyinya agak lama jugak, aku dan teman wanita aku berdua duduk atas katil tercengang-cengang.  Kami beranggapan mungkin pekerja hotel tu ada buat pengubahsuaian bilik atas tu tapi kenapa waktu macam ni?  

Hari kedua, kami keluar bersiar-siar lagi.  Seronok sangat melancong kami lupa terus kejadian malam tadi.  Seperti hari semalam jugak, kami balik hotel terus nak masuk tidur je.  Perasaan macam diperhatikan tu masih tak hilang tapi kali ni kami berdua buat bodoh je.  Pada waktu yang sama macam semalam aku dikejutkan lagi dengan bunyi seretan perabot di bilik atas tu tapi aku tak bangun pun aku teruskan baring tutup mata.  Aku dah terlena, kali ni sampai aku bermimpi. Dalam mimpi aku tu, aku cuba nak cari kunci bilik yang dah hilang.  Tapi masa tu aku berada dalam sebuah bilik yang gelap.  Aku terpaksa menggagau-gagau mencari kunci tu.  Aku raba dinding, lantai dan perabot dalam keadaan separa panik dan berdebar-debar sebab aku tak nampak apa.

Aku cuma bangun apabila teman wanitaku menjerit pada aku, ‘awak tengah buat apa tu??!!’.  Bangun-bangun je aku dah berada di tengah bilik tu memegang bagasi kami yang kami dah susun untuk check out esok, dengan kain baju kami habis berselerak di sekeliling aku.  Teman wanitaku dah ketakutan atas katil.  Aku pulak kebingungan tapi rasa panik semasa aku bermimpi tu masih belum hilang lagi.  Aku tanya teman wanita aku apa yang terjadi, teman wanita aku cakap aku tiba-tiba bangun, teman wanita aku ingatkan aku tidur berjalan tapi aku tiba-tiba mengamuk sambil sepah-sepahkan baju dalam bagasi tu.  Aku pun ceritalah pada dia pasal mimpi aku tadi.

Kami berdua betul-betul rasa tak selesa nak tidur kat hotel tu lagi, jadi kami berdua ambil keputusan nak keluar je dari hotel tu malam tu jugak.  Pukul 4 pagi aku tinggalkan kunci di meja penyambut tetamu dan kami berdua terus memandu balik ke rumah pagi tu jugak.

Esok paginya aku hubungi semula hotel tu, aku cuma nak maklumkan pada mereka yang malam tadi kami dah keluar dah dari bilik tu. Kerani yang melayan panggilan aku tu macam tak heran je kami tiba-tiba lari malam, jadi aku pun tanyalah kenapa hotel ni malam-malam buat kerja tukar perabot kat bilik atas tu? Kerani tu cakap, tingkat atas bilik kami tu mana ada bilik dah, yang ada cuma loteng tempat hotel tu simpan perabot-perabot gantian.  Tak mungkin ada orang kat loteng tu sebab loteng tu berkunci sepanjang masa kecuali kalau ada keperluan je.  Aku selamba tanya pada kerani tu, ‘dik hotel ni berhantu ke?’.  Kerani tu terdiam sekejap, pastu dengan suara tersekat-sekat dia mengaku, ‘kitorang pun banyak kali dah dapat aduan macam abang ni….’.  Aku pun faham-faham jelah, dan itulah kali terakhir aku dan teman wanita aku nak pegi ke hotel tu lagi.

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 4-7-2022 05:19 PM From the mobile phone | Show all posts
Pengasuh Misteri

Kejadian ni berlaku 4-5 tahun yang lalu.  Aku berasal dari Papua New Guinea (PNG) tapi kini tinggal di Australia.  Di PNG ni ada satu tempat yang terkenal di kalangan orang tempatan iaitu Pulau Samarai.  Penduduk Pulau Samarai ni dipercayai masih mengamalkan amalan ilmu ghaib turun-temurun, terutamanya di kalangan kaum wanitanya.  Nenek-nenek akan menurunkan ilmu mereka pada cucu-cucunya pulak.

Nak dijadikan cerita, makcik aku yang masih tinggal di PNG masa tu perlukan seorang pengasuh sepenuh masa untuk menjaga bayinya yang masih kecil.  Jadi salah seorang rakan sekerja dia ni perkenalkan la dia pada seorang remaja perempuan yang baru habis sekolah menengah untuk jadi pengasuh dan tinggal bersama-sama makcik aku dan keluarganya buat sementara waktu ini.  Tapi makcik aku memang tak tau yang gadis tu orang Pulau Samarai, kalau dia tau memang dia pun taknak amek gadis tu duduk bersama-sama dia.

Dah beberapa bulan gadis tu tinggal bersama makcik aku jadi pengasuh anak dia, gadis tu menjalankan tugasnya sebagai seorang pengasuh dengan baik.  Tapi, makcik aku perasan yang pengasuh tu suka kumpul cengkerang laut.  Cengkerang laut tu pulak jenis yang tak berapa cantik dan buruk-buruk di mata makcik aku, dan yang peliknya pengasuh tu kemana-mana mesti akan bawak cengkerang tu letak dalam beg dia.  Makcik aku bersangka baik mungkin ni hobi budak muda zaman sekarang kot.

Tak lama lepas tu, aku dan keluarga aku pun balik ke PNG untuk perjumpaan keluarga.  Kami tinggal di rumah pusaka keluarga kami beramai-ramai dan makcik aku pun bawaklah sekali pengasuh kami tu duduk situ.  Ada satu malam tu, aku tak tidur lagi sebab tengah layan online.  Bilik aku ni di tingkat bawah, dan bilik aku ni kedudukannya boleh nampak bahagian luar rumah dan depan bilik aku ni adalah laluan nak ke dapur.  Malam tu aku memang saja tak tutup pintu bilik, aku ternampak makcik aku tengah berjalan nak ke dapur. Aku pun tegurlah makcik aku tu, makcik aku cakap dia haus dia nak pegi dapur minum.  Aku pun okey je pastu aku sambunglah tengok handphone.

Aku terdengar makcik aku ni lepas minum tu dia bukak pintu dan berjalan ke luar.  Pastu aku dengar dia macam sembang-sembang dengan seseorang kat luar bilik aku tu.  Aku pun sajalah intai makcika aku tu sembang dengan sapa, oh rupanya dia tengah bersembang dengan pengasuh dia.  Aku tak dapat nak tangkap apa yang diorang bualkan, tapi aku nampak pengasuh tu tengah menghalakan sebatang jarinya ke atas langit.  Aku pun pandang atas dan aku nampak ada sekawanan gagak tengah terbang di langit tu pukul 4 pagi macam ni.  Aku ingat lagi malam tu malam bulan mengambang jadi aku memang nampak gagak-gagak tu tengah terbang mengelilingi bumbung rumah.  Pastu makcik aku pun masuk balik rumah tapi aku masih lagi mengintai pengasuh tu buat apa sorang-sorang kat luar rumah tu.

Bila makcik aku dah takde, aku nampak pengasuh tu menghulurkan tangannya ke atas langit ke arah kawanan gagak tu.  Kemudian aku nampak ada seekor gagak tu terbang turun dan terus mendarat ke tangan pengasuh tu.  Terlopong aku melihatnya.  Dalam hati aku rasa kagum bercampur takjub tengok pengasuh tu belai-belai kepala gagak tu macam gagak tu binatang peliharaan dia pulak.  Aku nampak pengasuh tu macam tengah bercakap sesuatu dengan gagak tu, pastu dia pun berjalan pergi dari situ masuk ke satu tempat yang gelap dengan gagak tu elok je hinggap di tangan dia.  Dalam fikiran aku tertanya jugak apa benda ni macam Harry Potter je pengasuh tu macam ada kuasa magik boleh bercakap dengan haiwan.  

Esok paginya masa sarapan, aku tarik makcik aku dan ajak dia bersembang pasal malam tadi.  Aku tanya dia cakap ape dengan pengasuh die malam tadi?  Makcik aku cakap, dia tegur pengasuh aku tu kenapa tak tidur lagi kan dah pukul 4 pagi tu?  Pengasuh tu jawab, dia tengah tunggu ayah dia, sambil tunjuk atas langit arah kawanan burung gagak tu.  Makcik aku dah rasa pelik dia pun terus masuk tidur jelah.  Makcik aku sangka baik mungkin dia maksudkan dia tengah tunggu bapak dia telefon kot.

Tapi pengasuh tu tak lama pun dengan makcik aku.  Tak sampai setahun makcik aku terpaksa lepaskan pengasuh tu sebab pengasuh tu cuba nak mengorat suami makcik aku tu.  Nasib baiklah jugak makcik aku tak kena sihir, sebab lepas pengasuh tu berhenti, barulah makcik aku tau yang pengasuh tu orang Pulau Samarai.  Bapak pengasuh tu pun sebenarnya dah lama dah meninggal dunia sebelum jadi pengasuh lagi jadi malam tu dia bercakap dengan apa?

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 5-7-2022 01:13 PM From the mobile phone | Show all posts
mrs_salvatore replied at 4-7-2022 06:19 PM
Pengasuh Misteri

Kejadian ni berlaku 4-5 tahun yang lalu.  Aku berasal dari Papua New Guinea (PNG)  ...

Okay yang ni seram hahaha
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 5-7-2022 02:39 PM From the mobile phone | Show all posts
mrs_salvatore replied at 4-7-2022 05:19 PM
Pengasuh Misteri

Kejadian ni berlaku 4-5 tahun yang lalu.  Aku berasal dari Papua New Guinea (PNG)  ...

dkt Malaysia byk kes maid sailang suami majikan...huhu....
mmg seram klau melibatkan burung gagak...gagak pn mkn sampah
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 5-7-2022 05:38 PM | Show all posts
Edited by mrs_salvatore at 5-7-2022 05:40 PM

Tangisan Tengah Malam

Dari usiaku 5 hingga ke 15 tahun, setiap kali musim panas aku pasti akan menghabiskan cutiku di rumah makcikku di Mexico.  Kat kawasan tanah makcik aku ni ada lagi satu rumah kecil yang didiami oleh keluarga lain, rumah tu cuma ada 2 bilik, dapur kecil dan kawasan ruang tamu je.  Semasa kejadian ni berlaku, masa tu aku dalam umur 11 atau 12 tahun masa tu, rumah tu diduduki oleh satu keluarga, ada ayah ibu dan 2 orang anak lelaki sebaya dengan aku.  Ikut sejarahnya, rumah tu dulu dibina atas tapak rumah lain yang hangus terbakar sebelum aku lahir lagi.

Rumah makcik aku ni tingkapnya cuma di sebelah ruang je.  Setiap bilik ada dalam 2-3 buah tingkap tinggi, dari tengah dinding terus ke siling.  Bilik aku tidur ni katilnya bersebelahan dengan tingkap tu.  Bila musim panas kami tidur malam dengan tingkap bahagian atas tu dibuka sikit supaya tak rasa kepam dan nak bagi angin masuk.  

Satu malam, semasa aku sedang tidur, aku dikejutkan dengan bunyi tangisan seorang wanita yang merayu-rayu mintak nak masuk rumah. Aku pun dah terbangun aku pun jenguklah ke tingkap, aku nampak rupanya yang tengah merayu tu adalah jiran sebelah rumah aku tu, si ibu yang berpakaian serba putih tengah berdiri di luar rumah.  Aku takdelah rasa pelik sangat, sebab setau aku si ayah tu kaki arak, kadang-kadang bila dia mabuk teruk aku pernah nampak dia marah-marah anak bininya.  Si ibu dan anak-anak pun pernah je tengah-tengah malam datang ke rumah makcik aku mintak perlindungan sebab si ayah mengamuk bila mabuk.  Jadi aku sangkakan agaknya si ayah tu buat hal lagi lah tu.

Si ibu terus menangis merayu di luar rumah tu, aku pun peratikan jelah. Dah lama dok perati tu baru aku perasan, rambut si ibu tu pun warna putih jugak.  Rambut si ibu panjang mengurai putih macam baju yang dipakai jugak.  Si ibu tu berdiri depan pintu rumah sebelah tapi eh kenapa baju dia mengurai-ngurai macam di tiup angin?  Tenung punya tenung baru aku perasan eh tu bukan si ibu jiran makcik aku tu.  Masa tu jarak aku dalam rumah dengan perempuan tu agak jauh jugak, dalam 50 ela, tapi perempuan tu seolah-olah tau aku tengah peratikan dia. Zuuppp!! Secepat kilat perempuan tu memalingkan wajahnya ke arah aku.  Sah! Tu bukan si ibu tapi perempuan mana ntah.  Yang sangat menyeramkan bagi aku adalah, perempuan tu bila nampak aku je, dia MELAYANG menuju ke arah aku.  Kakinya tak jejak tanah pun.



Aku pun cepat-cepatlah baring semula tutup mata buat-buat tidur.  Aku bukak mata sekejap aku nampak perempuan tu dah ada dalam bilik aku! Eh camne dia boleh tembus dinding bata ni? Aku pun tutup mata balik.  Aku rasa macam lama jugak aku pura-pura tidur tu, aku pun pi gatai bukak mata balik dan noh tudia... perempuan tu berdiri betul-betul menghadap aku bersebelahan aku pulak tu!  Tapi bola matanya serba hitam dan rambutnya mengerbang.  Perempuan tu nampak aku dah bangun ia pun menjerit, aku pun turut sama menjerit.  

Tau-tau je aku dikejutkan oleh sepupuku ajak makan sarapan.  Rupanya aku bermimpi ngeri je. Tapi mimpi malam tadi macam sangat real.  Aku pun ikutlah sepupu aku tu ke ruang makan.  Makcikku perasan muka aku macam tak bersemangat dan nampak pucat, dia pun tanya aku,  kenapa aku tak ceria pagi ni? Rindu pada mak ayah ke?  Padahal masa tu tak sampai seminggu di rumah makcik aku dan cuti musim panas pun masih panjang lagi.  Aku menggelengkan kepala.  "Betul ke awak tak rindu mak ayah? Malam tadi makcik dengar kamu menangis tau".  Aku cakaplah kat makcik aku, bukan aku yang nangis tu tapi jiran sebelah tu.  Makcik aku dan sepupu aku saling berpandangan sekejap, pastu makcik aku tanya aku, 'eh kamu pun nampak jugak ke perempuan tu?'

Rupa-rupanya, seluruh keluarga makcik aku yang duduk kat situ pun pernah nampak jugak perempuan tu.  Alkisahnya,  perempuan serba putih tu dulunya merupakan si ibu yang tinggal di rumah asal yang terbakar tu.  Macam keluarga sekarang, keluarga tu dulunya pun 4 orang, ada ibu ada ayah dan 2 orang anak lelaki baya-baya aku.  Dan si ayah tu pun kaki mabuk jugak.  Pada satu malam, si ibu dan ayah bergaduh teruk, si ibu ugut kalau si ayah tu pegi minum mabuk-mabuk lagi dia nak lari dari rumah tu bawak anak-anak sekali.  Si ayah tetap degil.  Si ibu pun dah kemas-kemas baju nak lari tapi dia berubah fikiran dan akhirnya dia tinggalkan anak-anak dia yang tengah tidur tu kat rumah nak cari si ayah.  Si ayah pulak, entah macam mana malam tu dia balik awal, tengok-tengok bini takde kat rumah.  Geram dan dipengaruhi alkohol punya pasal, si ayah pun bakarlah rumah tu.  Si ayah pengsan di bawah pokok.  Si ibu nampak rumahnya dijilat api, dia pun berlari balik.  Rupa-rupanya, anak-anak mereka tak sempat nak keluar rumah masa kebakaran tu, si ayah pun tak perasan yang anak-anaknya masih ada dalam rumah tu.  Si ibu cuba nak selamatkan anak-anak dia tapi malangnya tak berjaya.  Masa tu dikatakan yang jeritan dan tangisan si ibu tu kedengaran berbatu-batu jauhnya.  Jiran-jiran pun tak dapat nak tolong sebab api dah terlalu marak.  Esok paginya barulah padam tapi dah terlambat, anak-anaknya mati rentung dalam rumah tu. Si ibu terlampau sedih sampai dia sendiri jatuh dan meninggal dunia kat situ jugak.

Menurut kata makcik aku, dah 6 keluarga dah duduk kat rumah tu.  Kalau ikutkan sebelum ni pun ade je penampakan roh perempuan malang tu, tapi sejak keluarga baru ni masuk, makin kerap pulak dia muncul.  Agaknya keluarga baru ni tak tahan jugak kot, diorang pun pindah jugak masa musim panas tu.  Apepun, pada tahun-tahun mendatang sampai umur aku 15 tahun, aku tetap setia melawat makcik aku.  Tapi itulah kali pertama dan terakhir aku jumpa perempuan tu. Sampai sekarang aku tak dapat nak lupakan tangisan mendayu-dayu perempuan tu...

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-7-2022 04:57 PM | Show all posts
Raksasa di The Land Between The Lakes, Kentucky Bahagian 1
Aku nak kasi amaran sikit ye, cerita aku ni agak panjang ye, sebab cerita-cerita ni ada yang merupakan pengalaman aku dan ada jugak yang aku kumpul dari orang-orang lain jugak.  Tapi sebelum tu aku nak cerita sikit pasal latar belakang The Land Between The Lakes atau ringkasannya LBL.



Ada satu kawasan rekreasi yang terkenal di Barat Kentucky masuk ke Tennesse yang dipanggil LBL.  Kawasan rekreasi ni letaknya di pertengahan tasik Kentucky dan Barklay,  persisiran tasiknya sepanjang 300 batu, diliputi 170,000 ekar hutan dan 200 batu jauhnya laluan untuk merentas hutan.  Kawasan ni boleh dikatakan kawasan utama pelancongan dengan jumlah keuntungan setinggi USD 600juta setakat ni.  Sebelum tahun 1959, iaitu sebelum Empangan Kentucky dan Empangan Barklay dibina, sebelum wujudnya LBL ni (LBL ni cuma diisytiharkan pada 1963 oleh President John F Kennedy) dan sebelum Tennessee Valley Authority atau TVA ambil alih tempat ni, tempat ni namanya 'Between The Rivers'.  TVA ni macam jabatan kerajaan yang bertanggungjawab untuk mulakan kerja-kerja awalan untuk pembinaan empangan tu, kerja-kerja diorang termasuklah buat pengambilan tanah, pastu musnahkan bangunan-bangunan yang termasuk dalam laluan kerja tu, dikatakan masa tu hampir 700 buah keluarga dihalau keluar dari tempat tu untuk buat empangan ni.

Orang-orang tempatan zaman tu ada tapak perkuburan khas untuk keluarga diorang sendiri, ikut rekod ada 228 tapak perkuburan keluarga kat situ, bertebaran di dalam hutan tu sekarang.  Tapak perkuburan tu milik keluarga peneroka yang membina rumah mereka dalam kawasan hutan tu.  Ada antara kubur tu yang bertarikh awal 1700an lagi, termasuklah kubur peneroka kulit putih, veteran tentera dari perang-perang zaman dulu termasuklah Perang Revolusi, dan juga kubur-kubur hamba kulit hitam dan imigran dari China yang bekerja di relau besi masa tu.  Zaman dulu jugak kadar kematian bayi sangat tinggi dan ramai keluarga akan menguburkan mayat bayi mereka betul-betul tepi rumah mereka supaya ibu-ibu kalau jenguk tingkap je boleh nampak kubur anak mereka.  Tu tak termasuk lagi kubur-kubur Orang Asli Amerika yang bertabur dan tiada nisan bertarikh, tapi kubur-kubur mereka ni paling lama bertapak kat situ.  Sampai sekarang kalau yang bernasib baik adalah pelancong terjumpa kubur-kubur lama ni.

Balik ke tahun 1950an, LBL ni adalah kawasan luar bandar yang mana ladang-ladangnya agak jauh antara satu sama lain, pastu takde pekan kecuali satu pekan ni yang terletak di hujung utara Grand Rivers.  Di pekan nilah orang-orang tua yang dulunya memang tinggal kat LBL tu berkumpul dan berkongsi cerita angker dan misteri LBL tu.  Pada tahun 1980an, pertama kali aku jejak kaki ke LBL, aku selalu perasan ada orang-orang tua suka duduk di luar kedai IGA, aku sajalah join diorang menyembang, dan dioranglah yang suka bercerita kat aku pasal cerita misteri kat LBL.  

Macam-macam cerita yang aku dengar dari diorang, antaranya pasal sumpahan Orang Asli Amerika, cahaya misteri di kawasan kubur di waktu malam, ahli sihir perempuan tua yang duduk jauh dalam hutan, tapi dalam banyak-banyak cerita tu ada satu yang menarik minat aku, iaitu pasal kewujudan serigala jadian yang suka menyerang lembu dan ternakan kat situ.  Tak kiralah siang atau malam.  Serigala Jadian tu digambarkan setinggi hampir 7 kaki, berbulu tebal satu badan dengan bau badannya macam bau bangkai yang dah terkepung berhari-hari.  Ramai yang jumpa tapak kaki manusia tapi berkuku panjang dan runcing macam serigala.  Kepalanya sebijik macam serigala, ada muncung panjang dan matanya merah menyala.  Tangannya panjang dan jarinya runcing, kukunya pun tajam macam kuku serigalalah.  Kalau malam-malam dengar bunyi lolongan serigala, orang kampung macam dah paham-paham sendirilah, diorang akan cepat-cepat kunci sangkar dan ikat binatang ternakan masing-masing, kadang-kadang ada yang terdesak siap bawak masuk lagi binatang ternakan dalam rumah.  

Cerita ni diperturunkan dari generasi ke generasi seterusnya sejak beratus tahun yang lalu.  Sampai dah masuk abad ke-20 pun masih ada cerita pasal orang kampung terserempak dengan serigala jadian tu.  Ada sorang ni dia tengah menguruskan kuda dia apabila dia ternampak ada kelibat orang lompat bangsal kuda.  Dia pun pergilah sergah, rupa-rupanya yang dia sergah tu serigala jadian.  Dia punya takut terketar-ketar tu sampai terkencing dalam seluar pastu terus jatuh pengsan.  Nasib baiklah dia tak diapa-apakan.  Banyak sangat dah kes anjing peliharaan mati tapi bangkainya dikoyak-koyak, ayam, khinzir dan lembu hilang, bunyi tapak kaki berlegar-legar di beranda rumah.

Masa tu aku cuma dengar suka-suka je cerita orang-orang tua tu, aku anggap tu suma sembang kosong je sampailah benda tu terjadi sendiri pada aku...

Bersambung




Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-7-2022 05:46 PM | Show all posts
Raksasa di The Land Between The Lakes, Kentucky Bahagian 2


Pada musim panas tahun 1988, satu petang di bulan Julai, masa tu aku bercuti di rumah makcik aku di Grand Rivers, Kentucky.  Grand Rivers ni lokasinya di kawasan pintu masuk LBL.  Rumah makcik aku ni agak jauh ke dalam, nak masuk tu kena lalu jalan hutan berbukit pastu rumah makcik aku di hujung jalan tu.  Di keliling rumah tu pulak ada beratus ekar hutan dan berada di bawah bukit. Maksudnye kalau korang nak datang sini, kena naik bukit, turun bukit tu jumpalah rumah makcik aku ni.  



Selain daripada jalan masuk tu, ada beberapa laluan jalan kaki dalam hutan yang akan membawa korang ke beberapa tempat menarik, ada yang menuju ke trek keretapi lama yang dah tak digunakan, ke sebuah kilang potong kayu yang dah ditinggalkan, pastu ada jugak beberapa laluan yang akan membawa korang terus ke persisiran Tasik Kentucky.  Sepupu aku, Joe, dia ada dirt bike, kalau kat malaysia motor yang orang pakai nak motorcross tu la, jadi si Joe ni hobi dia suka naik motorcross ikut laluan jalan kaki tu.  Masa tu Joe baru berumur 15 tahun, aku pulak 13 tahun.  Boleh dikatakan setiap hari si Joe ni akan menjelajah hutan sorang-sorang naik motor, jadi tinggallah aku berdua kat rumah tu dengan adik Joe yang bernama Ronda yang baru berumur 10 tahun masa tu.  Aku ingat lagi, pada hari tu aku dan Ronda tengah lepak-lepak kat buaian beranda kami sementara tunggu Joe balik dari main motor.  Masa tu pakcik aku kerja, makcik aku pulak pegi pekan beli barang kat kedai.

Bersebelahan dengan jalan masuk ke rumah ni ada satu sangkar anjing yang besar untuk anjing Basset Hounds yang comel milik makcik aku.  Anjing jenis ni memang sejenis tenang dan chill je.  Aku dan Ronda tengah menikmati pemandangan senja yang indah dan tenang tu apabila sayup-sayup kami dengar bunyi motor Joe.  Aku dan Ronda pun takdelah rasa apa sangat masa tu, Joe dan balik la tu.  Tapi bunyi motor Joe masa tu memang laju.  Kalau naik motor kan kalau nak naik bukit tu kene perlahankan sikit motor dan tukar gear rendah kan, tapi ni tak. Aku perasan sepanjang jalan tu Joe pulas minyak habis.  Aku dan Ronda sampai berdiri tengok jalan masuk tu tengok Joe.

Kami berdua mula ditiup rasa risau sebab kalau Joe tak perlahankan motor dia, maunye die bergolek-golek nak turun bukit nanti. Kitorang nampak Joe dah sampai ke puncak bukit depan rumah kami ni, tapi takde tanda-tanda dia nak memperlahankan motor dia.  Aku dan Ronda siap lari ke tepi sebab takut Joe ni terlanggar beranda ni pulak.  Joe turun bukit dengan sangat laju, tapi dia sempat membrek beberapa kaki daripada beranda ni.  Akibatnya Joe hilang kawalan dan motor Joe menggelongsor dan Joe tergolek dog depan kami.  Aku dan Ronda terlopong tengok Joe, tapi Joe seolah-olah tak mempedulikan kesakitan dia sebaliknya dia bingkas berdiri sambil menjerit pada kami, 'benda tu tarik kaki aku! Tengok ni wei!'.  Kitorang nampak seluar jeans Levi's Joe ada kesan koyak di sebelah paha kanan dia.  Jeans kan tebal, apa benda yang tarik Joe sampai koyak jeans dia dan meninggalkan sedikit kesan luka di paha dia.  Kesan koyakan tu macam cakaran beruang, bukannya terkoyak sebab tersangkut kayu ataupun duri tajam.  

'Benda tu berjalan 2 kaki!', Joe menjerit lagi. Aku sebenarnya agak-agak terpinga-pinga jugak, ape benda yang Joe merepek ni? Tapi dari hembusan nafas dia yang tak teratur, badan dia yang basah kuyup sebab peluh dan lelehan air mata di muka dia, aku agak dia diserang oleh seekor haiwan yang menakutkan.  "Benda tu..... benda tu.... ikut aku dalam hutan tu....dari kilang kayu lama tu......badannya berbulu.....muncung dia panjang...tapi benda tu berjalan pakai 2 kaki....benda tu lari pakai 2 kaki....", Joe cuba bercerita dengan kami dengan nafas tersekat-sekat.  Aku boleh nampak dada dia bergegar sebab jantungnya berdebar-debar.

Kami terdengar bunyi lolongan haiwan.  Tapi bukan dari sangkar anjing tu, tapi dari dalam hutan.  Anjing-anjing yang tadi tengah relaks dalam sangkar tu tiba-tiba berdiri depan pintu sangkar sambil menghidu-hidu udara.  Lolongan tu kembali lagi tapi kali ni bunyinya macam dekat je.  Bunyinya macam datang dari sebalik bukit nak masuk ke jalan utama ni.  Aku masih terpinga-pinga, Joe pulak makin kuat menangis dan dia cepat-cepat tolak kami ke arah pintu masuk rumah.  Joe paksa kami cepat-cepat bukak pintu.  

Masa tulah, kami terpandang belakang dan benda tu muncul di puncak bukit tu.  Dari situ tu aku nampak benda tu memang tinggi, tapi bulunya hitam pekat.  Aku terlopong seketika.  Aku sangkakan benda tu gorilla sampailah aku perasan benda tu ada muncung!  Benda tu menghidu udara, agaknya dia terbau darah Joe kot, dan benda tu melepaskan satu lolongan yang perlahan seolah-olah dia berpuashati dapat kejar Joe.  Kebetulan jugak, benda tu berada betul-betul di bawah lampu solar yang automatik akan terpasang bila sampai waktunya, perlahan-lahan di senja yang remang tu untuk pertama kali dalam hidup aku menyaksikan kewujudan serigala jadian yang selama ni aku dengar dalam cerita orang tua tu je.  Dan benda tu tengah merenung kami bertiga yang tengah kelam kabut nak bukak pintu tu.  Matanya, matanya macam dua soket arang yang berkilat.

Kitorang pun terus lari masuk dalam rumah.  Rumah tu ada 2 pintu, satu pintu jaring nyamuk dan satu lagi pintu utama.  Pintu jaring nyamuk tu sampai rosak sebab kami.  Kami terus hempas pintu, kunci siap-siap, pastu kami halang pintu dengan perabot mana yang ada.  Kami cari pisau di dapur buat senjata lepas tu kami bertiga cadang nak menyorok dalam bilik tidur utama.  Dalam rumah tu ada lagi seekor anjing Basset Hound bernama Stubby, Stubby terjaga dari tidur bila kami kecoh-kecoh tu, mulanya Stubby pegi ke pintu utama, dia menghidu-hidu sesuatu pastu Stubby berundur macam ketakutan.  Masa tulah kami sedar benda tu dah ada depan pintu.  Kami pun tak tunggu dah kami pun berlarilah masuk ke bilik makcik aku termasuklah Stubby sekali.  Stubby pulak yang sampai dulu dalam bilik tu dan dia terus menyorok dalam katil.  Kami pun ikutlah Stubby menyorok sekali bawah katil tu bawak pisau sekali.

Kami dengar anjing-anjing kat luar tu menyalak macam anjing gila,  pastu kami dengar bunyi barang dilempar di beranda, pastu dinding diketuk, dan praaanngg! bunyi gelas pecah.  Kitorang bertiga dan ketakutan, kitorang tau tu bunyi tingkap pecah, kitorang dah takut gila sebab tau benda tu nak masuk jugak dalam rumah ni.  Dalam hati aku dah terfikir ah matilah aku matilah aku!

Pon! Pon!  Bunyi hon kereta Cadillac makcik aku.  Tanda makcik aku dah balik dari kedai.  Makcik aku kebiasaannya bila dia balik dari kedai memang dia akan bunyikan hon nak suruh kami standby siap-siap kat beranda tolong dia keluarkan barang.  Tapi kami buat tak tau je.  Kami duduk senyap-senyap bawah katil tu. Jangankan nak bercakap, nak bernafas pun kami takut benda tu dengar.  Makcik aku dah menjerit-jerit kat luar tu.  Kami dengar je makcik aku bukak pintu pakai kunci dan sumpah seranah sebab kene tolak perabot depan pintu tu.  Makcik aku berlegar-legar cari kami dalam rumah tu sampailah dia masuk ke bilik dia dan nampak kami bawah katil.

"Korang buat apa ni?".  Barulah Joe bukak mulut cerita apa yang terjadi.  "Betul mak. Kalau mak tak percaya ada tingkap pecah. Bukan kami yang pecahkan tingkap tu".  Pada mulanya aku sangkakan makcik aku mesti ingat kitorang ni buat cerita je, tapi makcik aku tetap tenang, takde mengamuk pun.  Sebaliknya dia suruh kami bersihkan tingkap tu dan tunggu pakcik aku balik.

Bersambung

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 7-7-2022 03:05 PM From the mobile phone | Show all posts
mrs_salvatore replied at 6-7-2022 05:46 PM
Pada musim panas tahun 1988, satu petang di bulan Julai, masa tu aku bercuti di rumah makcik aku d ...

Waduh baru mau nak rasa feeling seramnya
Reply

Use magic Report

Post time 7-7-2022 03:20 PM From the mobile phone | Show all posts
Dah lama tak masuk bod ni. Aduhhh patut baca thread ni masa TT baru bukak... banyaknya nak catch up...
Reply

Use magic Report

Post time 7-7-2022 04:27 PM | Show all posts
mrs_salvatore replied at 5-7-2022 05:38 PM
Tangisan Tengah Malam

Dari usiaku 5 hingga ke 15 tahun, setiap kali musim panas aku pasti akan meng ...

Kisah ni membuatkan aku teringat cerita La Llorona or The Weeping Woman..kisah ni mmg folklore yg amat famous kat Mexico sana..aku penah tgh movie ni kat wayang..seremmmmmm

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 8-7-2022 01:38 PM From the mobile phone | Show all posts
mrs_salvatore replied at 6-7-2022 05:46 PM
Pada musim panas tahun 1988, satu petang di bulan Julai, masa tu aku bercuti di rumah makcik aku d ...

i teka anjing yg sllu disebut anunarki tu kot....
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 11-7-2022 05:14 PM From the mobile phone | Show all posts
Raksasa di The Land Between The Lakes, Kentucky Bahagian Akhir

Kemudian makcik aku amek peralatan menukang, sedikit papan dan plastik besar, dan makcik aku arahkan kami tutup tingkap kaca yang dah pecah tu.  Makcik aku macam tenang je, kami bertiga pun rasa pelik kenapa makcik aku takde nak mengamuk tengok rumah dah pecah macam ni.

Malam tu pakcik aku balik dari tempat kerja dia.  Makcik aku pun ceritalah pada suami dia tu sebijik macam yang Joe cerita tu. Esok paginya semasa bersarapan, pakcik aku dengan tegas memberi amaran kepada kami bertiga, ‘mulai hari ni, jangan masuk dalam hutan tu lagi’.  Kami pun angguk setuju jelah. Setelah apa yang kami saksikan semalam, memang tak mungkinlah aku nak jejak kaki masuk hutan tu lagi.

Lepas tu, pakcik aku pun ceritalah yang sebenarnya pagi semalam tu, sebelum pergi kerja pakcik aku sempatlah masuk dalam hutan tu sekejap amek angin. Pakcik aku terjumpa beberapa lubang kecil yang dalamnya tertanam tulang-tulang haiwan dan sedikit sisa bangkai yang tak sempat mereput lagi.  Dan lubang-lubang tu menghala ke kilang kayu lama tu.  Pakcik aku dah pelik bercampur risau, angkara sapa pulak ni.  Dari tinjauan pakcik aku, di balik bukit di sekeliling tempat tu macam ada gua yang pintu masuknya agak kecil tapi muat-muat untuk seorang manusia menyelinap masuk.  Pastu barulah pakcik aku teringat satu cerita ni.

Bertahun-tahun dulu,  di sebelah Grand Rivers ni dulu merupakan tapak perkhemahan pengakap.  Kem tu memang besar sebab mengumpulkan pasukan pengakap dari pelbagai tempat.  Tapi kem tu berpindah ke tempat lain sebab ada laporan penampakan makhluk yang tidak dapat dikenalpasti tapi mirip serigala di pinggir sungai berdekatan dengan kem tu.  Pakcik aku sendiri dan anak sulungnya pun pernah jugak nampak makhluk tu di satu malam.  Pakcik aku syak mungkin makhluk tu dah berpindah ke sini pulak tapi tak sangka la pulak Joe yang hampir jadi mangsanya.  Apepun beberapa minggu lepas tu, bila cuti musim panas dah tamat aku pun baliklah ke rumah.

Beberapa tahun kemudian, di lewat tahun 1990an pula, ayah aku dan abangnya datang ke LBL dari Missouri nak melawat makcik aku, iaitu adik perempuan diorang.  Diorang berdua ni tertarik nak masuk ke hutan depan rumah makcik aku ni.  Mereka membawa sekali 2 pucuk pistol dan 2 pucuk senapang masuk ke hutan selama beberapa jam.  Diorang berdua ni adalah lelaki paling berani yang aku pernah kenal, dua-dua bekas tentera yang pernah beraksi dalam peperangan sebenar.  Tapi mereka berdua balik ke rumah dengan muka pucat dan badan menggeletar.



Ayah aku cerita, diorang berdua berjalan sampai nampak kilang lama tu. Dan seperti apa yang pakcik aku nampak, ayah aku pun jumpa jugak lubang-lubang yang tertanam dengan tulang haiwan tu.  Ayah aku dan abang dia mula dilanda rasa tak sedap hati, macam mereka tengah diperhatikan tapi tak nampak musuh di mana.  Kawasan tu pun jadi senyap sunyi je, takde bunyi burung, bunyi tupai, bunyi serangga padahal kat kawasan tu ada kolam kecil yang selalunya merupakan habitat untuk haiwan kecil.  Ayah aku dan abang dia dalam keadaan berjaga-jaga dengan senapang tersedia apabila mereka ternampak kelibat bentuk tubuh manusia tengah mengintai mereka dari sebuah gua yang macam buatan manusia.  Mereka berdua tak berani nak tembak ‘orang’ tu, sebaliknya mereka terus berundur dan lari balik ke rumah.  

Pendapat ayah aku sebagai seorang veteran, ayah aku boleh rasakan ‘orang’ tu bukan manusia, kalau manusia dia berani je nak lawan, tapi tu sebenarnya sesuatu yang bukan dari dunia manusia dan bukan lawan dia.  Sejak tu, takde sape pun berani dah masuk ke hutan tu lagi-lagi sampai ke kilang kayu lama tu.

Mungkin korang rasa ah cerita ni cuma kisah dongeng yang diperturunkan dari nenek moyang je, tapi cerita ni memang betul-betul terjadi pada aku dan keluarga aku.  Kalau korang tak nak percaya terpulanglah, tapi bagi aku sendiri, tak mungkin aku dapat hilangkan memori bertemu raksasa di Land Between The Lakes ni sampai bila-bila….

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-7-2022 10:26 PM From the mobile phone | Show all posts
Diselamatkan Oleh Malaikat Pelindung?

Peristiwa ni terjadi tak silap aku tahun 2014 atau 2015 macam tulah.  Masa ni aku dan teman wanitaku melancong ke Los Angeles dan kami menyewa sebuah bilik hotel yang agak murah jugaklah di Hotel Stay On Main.  Sumpah masa kejadian ni kami pun tak tahu yang hotel kami ni sebenarnya sebahagian daripada Hotel Cecil yang penuh misteri tu.



Pada hari tu, aku dan teman wanitaku sedang berjalan menuju ke sebuah bangunan lain tempat kami letak kereta sewa kami. Kami cadang nak pergi ke Disneyland hari tu.  Teman wanitaku perasan kalau ikut peta ada satu jalan pintas nak ke bangunan parking tu tapi kena lalu satu lorong kecil ni.  Naluriku sebenarnya enggan nak ikut jalan pintas tu, aku cuba pujuk teman wanitaku takpelah jalan jauh sikit sebab hari pun nyaman je, tapi biasalah perempuan kan selalu nak menang jadi aku pun terpaksalah ikut jalan tu.

Sebaik sahaja kitorang masuk ke lorong kecil tu, aku dah perasan ada seorang lelaki memakai jaket berhud yang awalnya tengah lepak depan lorong tu pun ikut kami masuk sekali.  Ah sudah, sekarang cuma kami bertiga je dalam lorong sempit tu.  Aku cakap kat teman wanitaku, ‘sayang jangan panik ye.  Ada lelaki tengah ikut kita”.  Aku suruh teman wanitaku pergi lari cari pertolongan dulu sementara aku halang lelaki tu dari cuba mengapa-apakan kami.  Tapi sebelum tu kami percepatkan langkah dulu untuk jauhkan lagi jarak kami dengan lelaki tu, tapi rupa-rupanya lorong tu sebenarnya jalan mati.  Dah takde jalan keluar kecuali kena patah balik keluar ikut lorong masuk tadi.

Kami berdua pun terpaksalah berpusing belakang dan bersemuka dengan lelaki penjahat tu.  Aku nampak lelaki tu dah tutup muka dengan hud dia dengan kedua-dua tangannya berada dalam poketnya.  Aku dah sedia dah angkat penumbuk nak pertahankan diri aku dan teman wanitaku.  Aku ingat lagi di lorong mati tu ada tong sampah besar dan aku dah bersedia nak lawan dengan lelaki tu depan tong sampah tu.

Aku bersumpah atas nama Tuhan, entah dari mana datangnya muncul 2 orang lelaki berpakaian macam ahli perniagaan siap dengan beg bimbit berjalan melepasi aku, siap ucap selamat pagi lagi kepada kami bertiga.  Kedua-dua mereka memakai cermin mata hitam, lelaki kulit putih setinggi 6 kaki dan berjalan dengan lajunya melepasi kami berdua.  Lelaki penjahat tu pun terkejut dengan kemunculan tiba-tiba tu,, belum sempat aku bertindak apa-apa dia dah lari pecut balik meninggalkan kami.

Aku dan teman wanitaku ikut je belakang 2 lelaki misteri tu keluar dari lorong tu.  Lelaki penjahat tu dah tak tau dah ke mana, dan yang peliknya elok je kami sampai ke jalan utama yang sibuk dengan orang tu 2 lelaki misteri tu pun dah hilang entah ke mana. Puas kami cari tapi tak jumpa, tapi kami berdua bersyukur sangat-sangat dah sebab terlepas dari malapetaka yang tidak disangka.

Sekarang ni aku dan teman wanitaku dah kawen, dia pun dah jadi isteri aku.  Setiap kali isteri aku paksa aku ikut cakap dia, aku akan ungkit pasal peristiwa ni nak kasi dia sedar diri sikit hahaha.

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-7-2022 11:09 PM From the mobile phone | Show all posts
Aku Bekas Banduan Juvana

Dulu semasa aku remaja bawah umur, aku pernah terlibat dengan kes jenayah dan akhirnya aku dijatuhkan hukuman 6 bulan dalam penjara juvana, tapi aku cuma masuk 4 bulan dan dibebaskan awal sebab berkelakuan baik.  Apapun itu bukan kali pertama aku masuk penjara juvana tapi itulah paling lama aku duduk dalam penjara juvana.  Kejadian ni terjadi di Flagstaff Arizona.

Dalam penjara yang aku duduk ni memang macam-macam cerita angker disebarkan oleh tahanan-tahanan lain, kekadang pegawai koreksional kat sini pun mencelah jugak cerita pasal pengalaman diorang.  Bagi aku pulak setakat masuk telinga kiri keluar telinga kanan jelah sebab bagi aku mungkin diorang ni dah bosan kot terkepung je dalam penjara ni tak tau nak buat apa, mulalah imaginasi masing-masing jadi terlampau aktif.

Kecuali peristiwa ni sebab bukan sorang dua je yang dengar, tapi satu wing tu jugak mengalaminya.  Malam tu macam biasa semua tahanan juvana nak masuk tidur jadi kami semua pun masuklah ke sel masing-masing dan lampu pun ditutup.  Kadang-kadang walaupun dah masuk waktu tidur ni ada je tahanan lain yang masih berjaga dok sembang-sembang dengan jiran sebelah, ada yang saja cari pasal dengan pegawai dan tahanan lain dok jerit-jerit mengejek panggil ha mai datang sini aku tampiaq muka hang.  Jadi korang bayangkan jelah suasana wing kami tu macam mana memang hingaq la masing-masing, budak lelaki jahat macam kami ni mana biasa tidur awal.  Tapi malam tu lain macam sikit.

Kami semua dengar suara macam orang melolong kesakitan, tapi tak tau dari sel mana.  Orang tu merintih dan mengaduh macam sakit sangat, aku sendiri dengar pun memang tak selesa.  “Oi diamlah babi dah malam ni”, “aku nak tidurlah sial”, kedengaran beberapa tahanan lain menjerit pada orang tu tanda tak puas hati.  Ada yang ugut nak belasah budak tu kalau tak berhenti mengaduh tapi orang tu macam tak hirau je dengan ugutan dan kemarahan kami.

Dari lolongan kesakitan bertukar jadi mengerang kesakitan.  Majoriti kami ni memang duduk di kejiranan yang bermasalah dan kerap je berhadapan dengan orang yang dah nak mati, jadi kami semua cam orang tu mengerang sebab dah nazak nak hembuskan nafas terakhir.  Tapi suara dia sangat mengerikan sampai meremang bulu roma aku.  Nafasnya putus-putus dan bila nak tarik nafas hembus nafas tu macam terseksa sangat.  Kali ni masing-masing terdiam termasuklah tahanan yang berani sangat tadi.  Aku dapat rasakan suasana masa tu seram-seram sejuk.  

Akhirnya pegawai koreksional muncul, dia bukak semua lampu yang ada dalam wing tu.  Pegawai tu menjerit tanya siapa tu dari sel mana? Nak pergi hospital ke? Pertanyaan dia tak berjawab sebaliknya orang tu terus mengerang kesakitan.  Akhirnya pegawai buat keputusan kontroversi, dia arahkan pusat kawalan bukak semua pintu sel kami dan arahkan kami keluar berdiri di depan pintu sel masing-masing.  Semua orang tak banyak cakap ikut je arahan pegawai tu kecuali sebuah sel di tingkat nombor dua.  



Ada 4 orang pegawai masa tu, dua orang pegawai pun pergi ke sel tu nak periksa keadaan tahanan dalam tu,  dua lagi tunggu di pintu masuk ke wing tu. Pegawai yang pergi ke sel tu menghubungi pegawai yang lagi dua orang tu melalui radio, aku nampak muka pegawai tu dah pucat lesi.  Pastu dia arahkan kami semua berbaris menuju ke pintu masuk tu tapi kena bawak bantal dan selimut sendiri.  Walaupun kami semua dah berkumpul depan pintu tu suara mengerang kesakitan tu tak putus-putus lagi.  Pegawai yang pantau kami tu suruh kami masing-masing berdoa mintak dilindungi.  Kami semua berpegangan tangan termasuklah budak-budak yang sebelum ni tak sebulu dan kami ramai-ramai melafazkan doa masing-masing.  Pegawai tu cakap, sel kat tingkat dua tu kosong takde orang pun, jadi apa benda yang melolong malam-malam tu? Huhuhu

Malam tu jugak kami semua dipindahkan ke bahagian lain. Budak-budak kat wing baru tu pun tanya kami apa yang terjadi ni tak pernah-pernah jadi macam ni, dan kami semua menceritakan benda yang sama. Oh ye, tak lama lepas tu, ada pegawai koreksional terlepas cakap dan cerita kat kitorang apa yang terjadi selepas malam tu.  Dia cakap, melalui kamera keselamatan, bila masuk tengah malam je diorang akan nampak lembaga berjubah hitam merayau-rayau dari satu sel kosong ke sel kosong lain.  Mana datangnya tak taulah sebab kat kompleks penjara tu tak pernah ada rekod kematian.  Sebab tu pihak pengurusan putuskan nak tutup terus je wing tu.  Tapi tak lama lepas tu,  wing lama kami tu diubahsuai jadi bilik rekreasi untuk tahanan-tahanan yang berkelakuan baik tapi takde sape dibenarkan tidur dalam wing tu.  


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 12-7-2022 08:42 AM | Show all posts
mrs_salvatore replied at 11-7-2022 11:09 PM
Aku Bekas Banduan Juvana

Dulu semasa aku remaja bawah umur, aku pernah terlibat dengan kes jenayah  ...


tQ citer baru.. as always setia menunggu....
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-12-2024 01:50 AM GMT+8 , Processed in 0.417681 second(s), 40 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list