Enggan letak harapan, KJ serahkan kemenangan kepada pengundi ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin teruja kali pertama membolosi pencalonan bagi kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36. Khairy atau mesra disapa KJ berkata, dia tidak akan mampu berada pada tahap sekarang tanpa sokongan rakan penyampai di segmen kendaliannya, Bekpes Hot, iaitu Johan, AG Azmeer dan Fara Fauzana. "Memang teruja, ini adalah sebahagian daripada kru atau pasukan Bekpes Hot. Tak mungkin saya sampai ke tahap ini tanpa sokongan rakan-rakan terutama Johan, AG dan Fara. "Saya merayu kepada pendengar Hot FM supaya mengundi kami. Segala keputusan saya hanya serahkan kepada pengundi.
"Saya tidaklah ada sebarang keyakinan tinggi, cuma akan terus merayu undi hingga saat terakhir," katanya ditemui BH Online ketika kempen KJ sempena ABPBH 36 di Warung Pak Tam, Keramat, di sini, hari ini.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, dia tidak keseorangan kerana ada pasukan Bekpes Hot yang teguh berdiri di belakang dalam berdepan cabaran menggenggam trofi ABPBH 36. "Dalam pertandingan ABPBH 36 ini, tiada istilah 'saya'. Apa yang ada hanyalah 'kami'. Saya tak keseorangan, tetapi bersama rakan penyampai Bekpes Hot, Johan, AG dan Fara. "Mungkin baru setahun saya sebagai penyampai radio, tapi akan berpuluh tahun bersama mereka," kata KJ yang secara rasmi memulakan tugas di Hot FM pada Februari tahun lalu.
Bagaimanapun, KJ mengaku, dia agak bimbang terlalu 'agresif' ketika berkempen kerana pengalaman tewas semasa bertanding dalam gelanggang politik masih menghantui dirinya. "Ini perkara baharu buat saya. Sebenarnya, saya tak nak membesarkan ABPBH sebab saya kalah ketika kali terakhir bertanding dalam politik. Saya masih ada lagi trauma kekalahan berkenaan. "Kalau menang, menanglah. Saya tak mahu fikir menang atau kalah, saya hanya berseronok sahaja," katanya. Menerusi kategori Penyampai Radio Popular, ABPBH 36, KJ berdepan saingan penyampai lebih senior seperti Faizal Ismail, Sharifah Shahirah, Radin dan DJ Sonic serta rakan setugasnya, Johan, AG dan Fara. Turut memberi cabaran pastinya DJ Lin yang meraih trofi Penyampai Radio Popular pada ABPBH 29 dan tiga edisi berturut-turut pada edisi ke-32, 33 dan 34. Pada 9 Februari tahun lalu, KJ mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal. Tawaran Hot FM kepada KJ dibuat menerusi surat terbuka dalam Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, antara jam 6 pagi hingga 10 pagi. Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh yang membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia. ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/09/1301941/enggan-letak-harapan-kj-serahkan-kemenangan-kepada-pengundi-abpbh
|