|
kat sini pun mendung
berita dr utusan online pasal ribut
10 rumah rosak dipukul ribut
RAWANG 8 Julai - Ribut serta puting beliung yang melanda hanya kira-kira 30 minit petang semalam hampir meranapkan 10 buah kedai di Batu 23, Simpang Kundang, Jalan Batu Arang di sini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 petang itu turut merosakkan beberapa rumah penduduk serta masjid di kawasan perumahan berhampiran iaitu Taman Harmonis, Bandar Country Homes dan Bandar Tasik Puteri.
Selain premis perniagaan dan rumah penduduk, beberapa batang pokok besar, papan tanda dan tiang elektrik di tepi jalan turut tumbang ditiup angin menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya.
Pihak bomba terpaksa dipanggil untuk memotong dan membersihkan pokok yang tumbang serta menghempap jalan namun tiada penduduk dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.
Angin kuat disusuli hujan lebat itu menyebabkan peniaga mengalami kerugian harta benda apabila hujan mencurah masuk ke dalam kedai melalui bumbung yang rosak.
Seorang mangsa, Mohamad Ismail, 58, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM15,000 apabila semua barang dan peralatan memasak dalam kedai makannya rosak terkena air hujan setelah bumbung premisnya diterbangkan angin.
"Semasa kejadian, kedai makan saya sudah lengang kerana semua pelanggan yang datang untuk makan tengah hari sudah beredar.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi angin kuat dari arah Kundang dan terkejut melihat pusaran angin bersama asap putih bergerak pantas menuju ke arah kedai saya.
"Saya yang panik hanya mampu bertakbir sambil menjerit meminta isteri, anak dan menantu perempuan bersama bayinya yang berusia 10 bulan keluar rumah menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Isteri kepada Mohamad, Kamaliah Ismail, 54, berkata, mereka anak beranak yang ketakutan menyelamatkan diri dengan berlindung di belakang rumah tanpa sempat membawa apa-apa.
Seorang pemilik bengkel mengimpal besi, Azmi Abdul Wahab, 45, berkata, dia bernasib baik kerana tidak berada dalam kedai semasa ribut menerbangkan bumbung premisnya. |
|