|

Gerrard bukti sedia beraksi semula
BRIGHTON - Steven Gerrard membuktikan dia sudah bersedia untuk kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris selepas enam bulan akibat kecederaan apabila diturunkan pada pusingan ketiga Piala Liga yang menyaksikan Liverpool melakar kemenangan ke atas Brighton 2-1, semalam.
Gerrard diketepikan kerana kecederaan pangkal paha sejak kali terakhir bermain menentang Manchester United pada Mac lalu.
Pemain tengah England itu membuat penampilan pertama setelah lama berehat pada 17 minit terakhir perlawanan di Stadium Amex.
Kemenangan tersebut melayakkan Reds ke pusingan keempat.
Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish menegaskan selepas beraksi pada perlawanan tersebut, Gerrard tidak perlu tergesa-gesa untuk kembali bermain.
Begitupun, ketua pasukan di Anfield itu bertindak balas sebaliknya, apabila tidak sabar untuk membantu pasukan pada pertemuan liga menentang Wolves.
"Terpulang kepada pengurus. Saya tidak bermain selama enam bulan, jadi semuanya bergantung kepada sesi latihan. Saya amat berharap akan terpilih menentang Wolves," katanya.
Dalglish amat berhati-hati dalam tindakannya untuk menurunkan Gerrard, tetapi jurulatih kelahiran Scotland itu mengakui kembalinya pemain tengah England tersebut bakal mengukuhkan skuadnya.
"Ia amat hebat untuk semua orang dalam kelab ini apabila menyaksikan Steven kembali, kehadiran Steven amat penting berbanding perkara-perkara lain.
"Ada beberapa perkara yang mengecewakan dia sepanjang tempoh pemulihan, jadi dapat bermain 20 minit, sedikit sebanyak menyuntik semangatnya.
"Kami berjaya mengatasi situasi ini dengan baik. Kami perlu lebih berhati-hati dan tidak terbawa-bawa dengan emosi," katanya |
|