|
Terengganu ikat skuad Jang
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12
Seremban : Misi Negeri Sembilan meraih kemenangan pertama tidak kesampaian selepas sekadar seri 0-0 dengan Terengganu pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.
Selepas tewas kepada Selangor pada perlawanan pertama, tuan rumah masih gagal menemui sentuhan gol apabila mempamerkan aksi hambar selepas tiada percubaan berbahaya ke gawang lawan.
Mereka yang mengharapkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri bermula garang apabila melakukan beberapa percubaan ke gawang Terengganu menerusi gandingan Eddy Helmi Manan, Shahurain Abu Samah, Mohd Nazrin Mohd Nawi dan penyerang tunggal, Emanuel De Porras.
Bagaimanapun beberapa hantaran kurang tepat menggagalkan usaha mereka, tambahan pula kekebalan benteng Terengganu yang dikawal kemas pemain import Vincent Faizal.
Peluang tuan rumah menembusi benteng Terengganu hampir tercapai pada minit ke-31 namun hantaran lintang yang cuba dilakukan Eddy Helmi di depan pintu gol dihalang pertahanan lawan.
Gerakan yang dicuba dilakukan anak buah pengendali dari Portugal, Divaldo Alves mudah dibaca pemain lawan hingga menyebabkan setiap usaha menembusi benteng Terengganu tidak kesampaian.
Begitupun bekas penyerang skuad Hoben Jang Hoben, Jean-Emmanuel Effa Owona tetap mencuri tumpuan apabila berjaya mengucar-kacirkan pertahanan tuan rumah yang diawasi William Paul Modibo, Mohd Fauzi Nan, Azmeer Yusof dan Tengku Qayyum Ubaidillah.
Tidak kurang empat percubaan berbahaya dilakukan penyerang berasal dari Cameroon itu ke gawang tuan rumah, namun penjaga gol, Hamsani Ahmad berjaya menghalang setiap percubaan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu itu.
Usaha kedua-dua pasukan mendapatkan gol tidak kesampaian hingga tamat separuh masa pertama.
- Harian Metro -
|
|