Update:
PETALING JAYA – Perbuatan menghantar sihir atau menyantau Perdana Menteri Israel adalah haram di sisi agama kerana ia sudah melampaui batas malah tidak mempunyai keperluan ketika berlakunya peperangan.
Pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam satu ceramahnya berkata, perbuatan sedemikian adalah haram bagi umat Islam ketika berdepan peperangan.
“Dalam peperangan tidak boleh melampaui batas, tidak boleh melakukan perkara yang haram. Sebagai contoh, menelanjangkan musuh tidak boleh walaupun dia membunuh kita. Menelanjangkan musuh tidak boleh kerana aurat yang mana ia bukan keperluan.
“Jika tindakan menembak, bom ketika peperangan boleh, itu diperlukan dalam peperangan. Maka, asalnya dalam peperangan haram bunuh orang awam. Oleh kerana Israel buat maka kita dibolehkan buat.
“Dalil Allah berkata, barangsiapa yang melampaui batas terhadap kamu maka kamu boleh melampaui batas sama seperti yang dibuat ke atas kamu,” jelasnya dalam ceramah berkenaan.
Tambahnya lagi, hukum menghantar sihir mahupun santau mereka yang menzalimi umat Islam di Palestin tetap haram meskipun dengan niat ingin memudaratkan pihak musuh.
“Dalam bab sihir, santau tidak boleh. Jika orang menyihir kita, kita pula membalas dengan sihir maka ia tidak boleh.
“Untuk balas sihir boleh, yang mana kita melakukan solat hajat, kita guna doa agar sihir kembali kepada diri dia sendiri. Penggunaan sihir itu diharamkan syarak,”katanya.
|