Banduan Penjara Sungai Buloh maut selepas tidak sedarkan diri
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh dekat sini, disahkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri, Ahad lalu Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata polis menerima laporan berhubung perkara itu daripada seorang warden penjara pada jam 10.43 malam. Katanya, pengadu memaklumkan dia membawa seorang banduan berusia 37 tahun ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selepas tidak sedarkan diri ketika berada di klinik penjara. "Namun pada jam 10.55 malam, petugas Hospital Sungai Buloh mengesahkan banduan terbabit meninggal dunia.
"Hasil bedah siasat dijalankan pada jam 6 petang, semalam menunjukkan tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini. Berikutan itu, katanya kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Bagaimanapun, katanya pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat unsur jenayah yang dilaporkan. Dalam pada itu, Shahrulnizam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan polis. Mereka boleh tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mejar Zolkepli Hashim menerusi talian 012-6645242.
https://www.bharian.com.my/berit ... tidak-sedarkan-diri
|