Ubat generik selamat, berkesan - KKM
[size=14.399999618530273px]Foto hiasan
[size=14.399999618530273px]
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan penggunaan ubat-ubatan generik adalah selamat dan berkesan kepada pesakit. KKM dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya membidas dakwaan dikeluarkan sebuah persatuan bahawa penggunaan ubat generik memudaratkan pesakit. Katanya, ubat generik memberikan natijah terbaik berdasarkan penilaian teliti oleh pengamal perubatan yang bertauliah mengenai keperluan klinikal pesakit. "KKM tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal kualiti, keselamatan dan kesihatan pesakit semata-mata untuk mengurangkan kos rawatan termasuk untuk ubat-ubatan," kata kenyataan itu. Tambahnya, semua ubat termasuk ubat generik perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia. Tegasnya, ujian kesetaraan-bio adalah salah satu syarat bagi tujuan pendaftaran ubat generik yang dijalankan bagi membuktikan ia mempunyai jumlah bahan aktif, kadar peresapan dalam badan dan tahap kandungan dalam darah mengikut tempoh sama seperti ubat innovator dengan pengambilan dos yang sama. "Mekanisme ini adalah penting bagi memastikan kesan terapeutik ubat generik itu adalah sama dengan ubat innovator, seterusnya membuktikan bahawa ubat generik yang diluluskan oleh PBKD mempunyai tahap keselamatan dan keberkesanan yang setara. "Semua ubat yang diluluskan juga tertakluk kepada aktiviti pemantauan ubat di pasaran secara berterusan seperti menerusi aduan kualiti produk dan laporan kesan advers ubat," katanya. Tambahnya, Dasar Ubat Nasional (DUNas) yang dibangunkan pada 2006 adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan semua rakyat Malaysia sentiasa mendapat akses kepada ubat-ubatan penting. Katanya, salah satu strategi utama di bawah dasar itu adalah Dasar Ubat Generik yang menggalakkan penggunaan ubat-ubatan generik dalam sektor kesihatan awam dan swasta. "Ini antara lainnya bertujuan untuk memperkukuh akses kepada ubat-ubatan pada harga berpatutan dan mampu dimiliki dengan mengekalkan kualiti, keselamatan dan keberkesanannya," katanya. Menurut kenyataan itu lagi, KKM turut memberi keutamaan kepada penggunaan ubat-ubatan yang memberikan hasil terbaik pada kos yang paling berpatutan. Katanya, penggunaan ubat generik adalah antara kaedah 'pintar dalam menangani kesihatan', dengan menekankan ubat generik boleh menjadi pilihan yang hemat belanja dan berkualiti tinggi. "Ubat generik biasanya lebih murah daripada ubat innovator kerana tidak memerlukan kos penyelidikan dan pembangunan peringkat awal, kos pemasaran dan kos promosi seperti ubat innovator, walaupun terdapat kos bagi pelaksanaan ujian kesetaraan-bio. "Selain itu, sekiranya ubat generik yang sama dibekalkan oleh pelbagai sumber dalam pasaran, persaingan yang sihat juga boleh menyumbang kepada harga yang lebih kompetitif," katanya. Tambahnya, KKM memandang serius kenyataan tidak berasas segelintir pihak yang membangkitkan kegusaran pesakit, sama ada di fasiliti KKM ataupun swasta supaya menolak sesuatu regimen rawatan atas kebimbangan mereka terhadap penggunaan ubat generik. "Dalam perkara ini, KKM tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas termasuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1321372/ubat-generik-selamat-berkesan-kkm
|