|
Dua cedera diserang harimau kumbang
KLUANG:Seekor harimau kumbang menyerang seorang wanita dan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang cuba menangkap haiwan itu yang ditemui berkeliaran di halaman sebuah rumahdi Taman Kerjasama di sini, hari ini.
Abdul Rahman Mintol, 50, cedera di tangan dan perut manakala wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah itu cedera di siku akibat dicakar harimau berkenaan.
Pegawai Hidupan Liar Perhilitan Johor, Mohd Khairul Adha MatAmin, berkata lima pegawai jabatan itu yang ke tempat kejadian terpaksa melepaskan satu das tembakan yang mencederakan harimau terbabit.
"Kakitangan kami dan pembantu rumah itu kini menerima rawatan pesakit luar di Hospital Daerah Kluang, manakala harimau yang cedera itu pula sedang dirawat oleh pakar veterinar Zoo Melaka,"katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd Khairul berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk taman perumahan yang terletak di kawasan bandar itu mengenai kehadiran haiwan buas terbabit pada kira-kira jam 8 pagi.
"Orang ramai yang mengetahui kehadiran haiwan liar itumengerumuni kawasan terbabit menyebabkan harimau kumbang jantan itusemakin agresif dan cuba melarikan diri dari kawasan rumah dua tingkat berkembar itu," katanya.
Berkemungkinan takut dengan kehadiran orang ramai yang mengerumuninya,haiwan itu melompat pagar rumah terbabit dan memasuki kawasan halaman rumah berhampiran, katanya.
Beliau berkata, harimau kumbang yang ketakutan itu terserempak dengan pembantu rumah berkenaan dan bertindak mencakar wanita itu di bahagian sikunya.
Mohd Khairul berkata, pihaknya masih menyiasat dari hutan mana harimau itu datang atau sama ada ia dipelihara secara haram oleh penduduk setempat. - Bernama
kat tempat aku tuh.. |
|