Edited by Ipo at 21-6-2015 06:34 PM
DUNGGG!!! Saiful terkejut.Sekali lagi bunyi kuat seperti benda jatuh terjadi. Dia amati sekali lagi bunyi itu kalau-kalau ia berbunyi sekali lagi. Senyap. Dia pandang jam di atas meja belajar. Hampir pukul satu pagi. Perlahan dia menapak ke bilik Ajid di sebelah biliknya. Pintu bilik Ajid diketuk berkali-kali.
“Ajid! Buka pintu ni!” Saiful mengetuk semakin kuat. Dia menjerit memanggil nama Ajid.
“Kau nak apa malam-malam buta ni?” Ajid membuka pintu sambil menguap. Kain pelekat yang dipakai ditarik sehingga ke bahu menampakkan seluar boxing bercorak kotak-kotak paras lutut.
“Kau dengar tak tadi?” Saiful tanya Ajid yang masih mamai.
“Dengar apa?”Ajid masih menguap.
Saiful diam.Nyata hanya dia seorang yang dengar bunyi kuat tadi. Dia ajak Ajid ke bilik Azhar pula. Diketuk berkali-kali pintu bilik Azhar. Senyap. Saiful cuba pulas tombol pintu bilik Azhar. Tidak berkunci. Dia mula masuk dan melangkah perlahan ke katil. Azhar tidak ada di situ.
“Mana Har?”Saiful pandang Ajid.
“Bilik air kut..”Ajid pegang tangan Saiful. Dia mula tidak sedap hati bila terdengar bunyi air pancut laju dari bilik air.
Mereka berdua mula melangkah perlahan ke arah bilik air Azhar. Saiful panggil pula Azhar.Tiada jawapan. Dia cuba pulas tombol pintu bilik air perlahan-lahan. Azhar juga tiada di situ. Malah bunyi air pancut yang jelas di telinga tadi sudah tidak lagi kedengaran. Saiful dan Ajid saling berpandangan.
“Pul…aku dengar dengan jelas paip air pancut tu terbuka tadi…” Ajid semakin takut.
Saiful turut bingung. Dia juga dengar dengan jelas air mengalir dari pancut air di bilik airAzhar tadi. Ajid ajak Saiful ke arah almari pakaian. Mana tahu Azhar menyorokdi situ.
“Ish! Kau ni..biar logik la sikit! TakkanAzhar nak sembunyi dalam almari malam-malam buta ni!” Saiful luku kepala Ajidyang mengusulkan kepadanya tadi untuk mencari Azhar di situ.
Ajid sengih tapi mereka berdua tetap juga melangkah ke arah almari. Pintu almari dibuka perlahan.Tiada sesiapa di situ. Hanya pakaian saja yang ada di dalam almari.
“Pul..aku rasa Azhar tidur kat ruang tamu kut..” Ajid pandang Saiful yang masih bingung.
Mereka mula keluar dari bilik Azhar dan mula menapak ke ruang tamu. Terhendap-hendap mencari kelibat Azhar di sofa. Masih tidak ada. Mata Saiful tertancap pula pada pasu bunga yang kerap beralih tempat. Kali ini pasu bunga itu berada di atas meja sofa semula.
“Pul..tu pasu bunga tadi kan? Tadi kan ada kat meja tepi tangga tu. Macam mana pula ada kat sini? Kau ubah eh?” Ajid pandang Saiful lagi.
“Mana ada!”
Mereka berjalan perlahan ke arah dapur. Suis lampu dapur dibuka. Saiful dan Ajid melangkah perlahan ke arah meja makan. Tudung saji masih berada di atas meja. Perlahan Saiful membuka tudung saji. Lima biji karipap berada di bawah saji!
“Pul..kan karipap tu Azhar dah makan habis?” Ajid mula pucat.
Saiful angguk.Dia juga melihat sendiri Azhar menghabiskan karipap yang diberi oleh makcik tadi. Berkali-kali dia menelan liur. Dia jeling Ajid yang juga turut memandang ke arah karipap tadi. Memang elok je karipap lima biji di dalam pinggan.
Guuungg!!
Serentak Saiful dan Ajid berpaling ke arah kiri bila mendengar bunyi kuat dari arah bilik kecil. Mereka berjalan pula ke arah bilik kecil sambil mata memandang sekitar rumah. Kelibat Azhar masih tidak jumpa.
“Pul..tadi bunyi tu datang dari bilik kecil ke..bilik air bawah ni?” Ajid mula keliru. Bilik ai rdan bilik kecil hanya bersebelahan saja.
“Err..entah..aku rasa dari bilik kecil ni..” Saiful mengatur langkah perlahan.
“Astaghfirullahal’azim!!!” Saiful mengurut dada bila tiba-tiba Azhar muncul dari bilik air dengan muka berkerut.
“Kenapa kau guna bilik air ni?” Ajid pula bertanya.
“Bilik air aku rosak la..” Azhar masih berkerut. Agaknya menahan sakit perut.
“Err..kau dengar bunyi kuat tadi tak?” Saiful mula bertanya Azhar.
“Hihihi..aku jatuh tadi! Licin!” Azhar gosok buntutnya yang terasa sakit. Dia jatuh terjelepok atas lantai yang licin.Habis bersepah baldi dan gayung terpelanting ke dinding.
“Ohhh…” Saiful sedikit lega.
Mereka bertiga mula melangkah ke bilik masing-masing. Baru beberapa tapak melangkah sekalilagi bunyi kuat terjadi. Kali ini jelas bunyi itu datang dari arah bilik kecil.Serentak mereka bertiga berpaling. Tepat memandang bilik kecil yang sentiasa berkunci.
“Pul…kau dengar tak tadi?” Ajid mula pasang telinga. Mana tahu bunyi itu berlaku lagi sekali.
Saiful dan Azhar angguk serentak sambil memandang ke arah bilik kecil. Seketika kemudian bunyi seperti orang ketawa datang dari bilik itu. Azhar terlebih dulu mengangkat kaki berlari ke tingkat atas meninggalkan Saiful dan Ajid yang masih tercegat di depan pintu bilik kecil.
Ajid pandang Saiful. “Pul! Suara siapa tu?”
Saiful angkat bahu. Setahunya bilik itu berkunci sejak hari pertama dia dan Ajid masuk ke rumah itu. Mustahil ada penghuni di situ. Perasaannya mula gelisah. Hatinya mula berdebar. Dia pandang Ajid yang juga tercengang mendengar suara tadi. Cepat-cepat mereka berdua melangkah ke tingkat atas.
“Pul, aku tidur bilik kau boleh?” Ajid mengikut saiful hingga ke muka pintu bilik Saiful.
“Kenapa? Kau takut?” Saiful sengih.
Ajid senyum sumbing. Saiful faham senyuman Ajid. Dia segera pulas tombol pintu. Ajid pula hanya mengekori Saiful masuk ke dalam bilik.
“Eh, Pul, apa tu?” Ajid tuding ke arah katil Saiful yang sudah berbonggol.
Saiful berkerut kening. Apa benda pula kat atas katil aku tu? Dia menapak perlahan mendekati katilnya.
Ajid pula masih mengikut Saiful dari belakang. Sebaik berada di tepi katil, Saiful cuba sentuh benda berbonggol di atas katilnya. Berselimut lingkup.
Ajid hanya memerhati dari belakang Saiful. “Pul..apa benda tu?”
Sekali lagi Saiful sentuh bonggol yang berselimut lingkup atas katilnya. “Hoi! Kau Azharkan?”
Teka Saiful. Dia menelan liur berkali-kali melihat bonggol di dalam selimut itu mula bergerak-gerak.Mukanya sudah pucat. Kalau Azhar yang tidur di situ, tentu dia sudah menyahut semasa dia memanggil nama Azhar tadi. Dia berpaling ke arah Ajid di belakangnya.
“Ajid...kau rasa Azhar ke..siapa?” Saiful masih memandang Ajid yang juga sudah pucat mukanya. Ajid hanya mengangkat bahu.
Sekali lagi Saiful beranikan diri menyentuh bonggol itu yang masih bergerak-gerak. Kali ini dia menggoncang dengan kuat. Dia pernah mengalaminya dulu semasa mengejutkan Ajid dari tidur.
“Har...Har...kau ke tu?” Suara Saiful terketar-ketar. Masih diam. Saiful sudah geram. Dia tarik selimut itu dengan kuat dan mencampakkannya ke lantai.
“Weh! Kenapa kau tak jawab?” Saiful semakin geram. Azhar dilihat sudah berdengkur di situ mengadap ke arah dinding. Tubuh Azhar digoncang kuat.
Ajid turut menggoncang tubuh Azhar.
“Pul! Pul! Buka pintu ni! Cepat buka pintu ni!!”
Saiful dan Ajid serentak berpaling ke arah pintu bilik. Mereka saling berpandangan. Perlahan mata mereka menala semula ke arah katil tadi. Azhar masih tidur di situ.
“Pul..siapa yang panggil kau kat luar tu?” Ajid pandang Saiful. Matanya beralih pula ke arah katil Saiful.
Saiful sudah pucat. Dia berpaling semula ke arah pintu bilik. Suara Azhar dari luar pintu jelas di telinganya. Perlahan dia melangkah ke arah pintu. Ajid yang dari tadiasyik berada di belakang Saiful juga turut sama melangkah. Pintu dikuak perlahan. Sebaik pintu terkuak, Azhar cepat-cepat masuk ke dalam bilik Saiful.
“Pul, aku nak guna bilik air kau boleh?” laju saja Azhar berlari ke arah bilik air.
Saiful dan Ajid masih terpinga-pinga. Azhar tadi sudah tidak tahan agaknya. Meluru sahaja masuk bilik air. Mereka berdua saling berpandangan. Seketika kemudian mereka sama-sama melihat ke arah katil Saiful.
“Pul...kau rasa yang mana satu Azhar ni? Yang masuk bilik air ke...atau yang sedang tidur atas katil kau tu?” Suara Ajid sudah tersekat-sekat. Dia muncungkan mulutnya ke arah katil Saiful.
Saiful masih diam. Ajid juga turut diam. Mata masih menala ke arah katil Saiful. Jelas susuk tubuh Azhar sedang tidur lena mengadap ke dinding.
“Aku pelik..Azhar tak perasan ke masa dia masuk tadi?” Saiful garu kepala.
Ajid hanya menjongket bahu. Dia berpaling ke arah bilik air. Bunyi air paip dibuka jelasdi telinga. Kemudian bunyi tandas dipam juga jelas di cuping telinga. Dia jeling Saiful yang masih melihat Azhar yang nyenyak tidur di atas katil.Seketika kemudian, bunyi pintu bilik air dibuka. Azhar sudah menapak keluar dengan wajah lega.
“Err..kau Azharkan?” Ajid mula bertanya.
Azhar berkerut kening. Apa hal Ajid ni tanya aku macam tu? Aku ni macam hantu ke apa?
“Kenapa kau tanya macam tu?” Azhar mendekati Ajid dan Saiful yang masih berdiri di tepi pintu bilik.
“Jadi tu siapa?”Serentak Saiful dan Ajid menuding ke arah susuk tubuh yang sedang baring di atas katil Saiful tadi.
Azhar segera berpaling. “Mana?”
Tercengang saiful dan Ajid memandang Azhar yang sudah menggaru kepala. Riak Azhar seperti orang kebingungan.
“Tu!” Sekali lagi seerntak Saiful dan Ajid menuding ke arah susuk tubuh tadi.
Azhar masih bingung. Apa yang dia nampak hanyalah sehelai selimut dan dua biji bantal atas katil itu. Tiada apa yang pelik. Dia berpaling pula ke arah Saiful dan Ajidyang sudah pucat muka keduanya. Apa yang dia orang ni nampak? Ada yang tak kena ke? Pucat semacam sahaja muka mereka ni.
“Weh, korang nampak apa?” Azhar mula bertanya.
“Betul kau tak nampak?” saiful pandang Azhar tidak berkelip. Pelik melihat Azhar yang sudah terpinga-pinga dari tadi.
Azhar geleng.
Saiful dan Ajid masih tercegat di muka pintu bilik. Susuk tubuh itu masih baring di atas katil saiful. Pakaian yang membaluti tubuh susuk tubuh itu sebiji macam pakaian yang Azhar pakai sekarang. Kain pelekat dengan baju kemeja T lengan pendek warna putih. Rambut ala askar yang dipotong pendek juga sama. Sekali lagi Saiful dan Ajid berpaling ke arah Azhar yang sudah berdiri di sebelah mereka.
“Sure kau tak nampak apa-apa?” Sekali lagi Saiful bertanya.
Azhar menggeleng sekali lagi.
“Kau tahu apa yang kami nampak?” Ajid pula mencelah.
“Apa?” Azhar masih bingung.
“Kami nampak..”
Saiful cepat-cepat tutup mulut Ajid. “Hihihi...kami nampak selimut je ..tadi angin bertiup kuat dari tingkap yang terbuka tu. Kami ingatkan apa la tadi sebab selimut tu dah berbonggol bila ditiup angin. Tak ada apalah..”
Ajid mencerlung melihat Saiful yang cuba sorokkan kejadian itu dari Azhar.
“Laa..angin pun korang nak takut?” Azhar ketawa mengekek. Dia kemudian minta diri ke biliknya semula.
Saiful dan Ajid juga turut keluar dari bilik itu dan tidur di bilik Ajid.
|