Sabtu ni kan...
Kuala Lumpur: Empat penyanyi profesional iaitu Aina Abdul, Indah Ruhaila, Lan Solo dan Tomok bakal dicabar oleh 24 penyanyi amatur dalam program realiti terbaharu TV3, Vokal Mania yang akan disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jam 9 malam, mulai 24 Oktober ini. Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, Vokal Mania menjadi program hiburan pertama yang disiarkan secara langsung sekali gus menjadi antara program hiburan terbaik di TV3.
"Alhamdulillah, kami di TV3 kembali dengan program hiburan siaran langsung seperti dahulu yang dimulakan oleh program Vokal Mania. "Pelbagai kekangan terpaksa kita hadapi ketika inj susulan penularan wabak Covid-19. Namun, TV3 tetap akan menggalas tanggungjawab terbaik dalam menyediakan program hiburan terkini untuk tontonan semua. "Hadirnya Vokal Mania yang mempunyai format baharu, kami harapkan penonton semua dapat berkumpul seisi keluarga di rumah bagi merapatkan hubungan silaturahim sambil berhibur bersama TV3," katanya. Sementara itu, Lan Solo mengakui program Vokal Mania dilihat sebagai satu format yang baharu dan segar, termasuk memberi satu cabaran kepada penyanyi profesional.
"Program ini memberi satu cabaran besar buat penyanyi profesional seperti saya untuk tidak sentiasa tenang duduk di zon selesa. Tak semestinya sudah berada lama dalam industri seni, kita sudah cukup bagus beraksi di atas pentas. "Saya melihat program ini adalah satu medan untuk sama-sama mengasah bakat dan memperbaiki diri dengan lebih baik. Kita juga tidak boleh memandang rendah dengan kebolehan penyanyi amatur atau bakat baru," katanya. Penganjuran Vokal Mania sedikit berbeza dengan program realiti lain kerana 24 orang penyanyi amatur (dikenali Rookie) akan bertanding dengan empat penyanyi profesional (dikenali Idol) yang berpengalaman. Setiap persembahan penyanyi sama ada profesional dan amatur semestinya akan dinilai 100 peratus oleh Misha Omar dan Yusry Abdul Halim selaku juri tetap. Pada masa sama, penonton di rumah boleh mengundi Rookie untuk anugerah 'Rookie Star Award' dalam setiap episod melalui www.xtra.com.my/vokalmania. Peratusan undian Rookie Star Award adalah 70 peratus daripada undian awam dan 30 peratus lagi, juri tetap. Kesemua Rookie ini akan dibahagikan kepada enam episod, yang mana memperlihatkan seramai empat orang Rookie akan membuat persembahan di setiap episod untuk berentap dengan empat Idol dipilih secara solo dan duet bagi mengumpul mata. Sebanyak RM80,000 bakal dipertaruhkan dalam program ini yang dihoskan oleh Datuk AC Mizal selaku hos utama, manakala Azira Shafinaz selaku pengacara bersama.
|