Bagaimana kisah FashionValet terjadi. Kronologi di sini
Kronologi isu kerugian pelaburan Khazanah dan PNB terhadap FashionValet KUALA LUMPUR: FashionValet Sdn Bhd bukanlah syarikat asing kepada ramai rakyat Malaysia terutama susulan penampilan pengasasnya Vivy Yusof seperti selebriti yang ramai pengikut di media sosial. Ditubuhkan pada tahun 2010 oleh Vivy Yusof dan suaminya, Fadzarudin Anuar, FashionValet bermula sebagai antara platform e-dagang pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada fesyen sederhana dan pereka tempatan. Bulan lalu, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjual pegangan mereka dalam Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet) dengan harga RM3.1 juta, selepas pelaburan gabungan sebanyak RM47 juta yang dibuat pada tahun 2018. Kementerian Kewangan mengesahkan penjualan tersebut dalam jawapan bertulis kepada Parlimen pada 29 Oktober, sebagai respons kepada soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai jumlah pelaburan oleh Khazanah dan PNB dalam FashionValet, termasuk kerugian akibat penurunan nilai dan pelupusan saham.
Kerugian lebih daripada RM43 juta ini telah mencetuskan kritikan awam dan gesaan untuk penyiasatan yang lebih mendalam, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah untuk menjalankan audit dalaman.
- 29 Oktober: Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, memaklumkan Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023, berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
- 31 Oktober: Jurucakap kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil, keluar kenyataan Khazanah, PNB dan FashionValet perlu beri penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.
- 1 November: Khazanah dan PNB membuat kenyataan berasingan perjelas pelaburan FashionValet.
- 1 November: Vivy dan Fadzaruddin memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah, memaklumkan akan melepaskan jawatan mereka.
- 2 November: Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan isu kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh PNB dan Khazanah dalam FashionValet, berada dalam radar siasatan mereka.
- 2 November: Datuk Seri Anwar Ibrahim arah Khazanah melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet.
- 3 November: Seorang Ahli Lembaga Pengarah FashionValet menafikan dakwaan mengenai kes berkenaan yang kini dalam siasatan SPRM.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1321206/bagaimana-kisah-fashionvalet-terjadi-kronologi-di-sini
|