Suami isteri antara 4 ditahan polis, rampas dadah lebih RM220,000
KOTA BHARU: Polis menahan empat individu termasuk pasangan suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM220,000 dalam tiga serbuan berasingan di Rantau Panjang pada 25 dan 26 September lalu. Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata serbuan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang itu menahan suami isteri berusia 21 dan 20 tahun di tepi jalan Taman Wahyu Gual Nering, Rantau Panjang pada jam 5.20 petang 25 September lalu. Katanya, pemeriksaan polis menemukan satu bungkusan plastik berwarna biru dipegang lelaki terbabit yang berisi tumbuhan kering mampat disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 882.09 gram (g) bernilai RM1,850. "Dengan dipandu arah lelaki itu, polis berjaya merampas dua bungkusan plastik mengandungi tumbuhan kering mampat disyaki ganja anggaran berat 13.54 kilogram dianggarkan bernilai RM41,850.
"Sebuah kereta Proton Iswara bernilai RM3,500 dan sebuah motosikal Honda EX5 bernilai RM2,000 turut disita untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) (PelucuthakanHarta) 1988 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan kenderaan dianggarkan RM49,200," katanya dalam kenyataan hari ini. Mohd Ali berkata, turut ditahan seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah rumah di Jalan Power STN Rantau Panjang bagi membantu siasatan kes itu. Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati seorang daripadanya positif dadah dan mempunyai satu rekod berkaitan kes dadah. Katanya, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula 26 September hingga esok. "Pada serbuan berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 18 tahun di tepi jalan di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang dan merampas 20,000 biji pil disyaki dadah jenis yaba seberat 2.4 kilogram dianggarkan bernilai RM180,000 pada jam 4.15 petang, 26 September lalu. "Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati positif dadah dan dia direman tujuh hari bermula 27 September hingga Khamis ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya. Sementara itu, Mohd Ali berkata, menerusi Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan dalam tempoh sebulan sehingga semalam, seramai 2,525 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan mengikut ADB 1952, ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952. Katanya, mereka yang ditangkap berusia di antara 15 hingga 64 tahun membabitkan 2,462 lelaki dan 63 wanita termasuk empat penjawat awam. "Dalam operasi ini juga, pelbagai jenis dadah berjaya dirampas dianggarkan bernilai lebih RM1.9 juta. Jumlah dadah dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh 164,218 penagih. "Pelbagai harta turut disita membabitkan kenderaan dan wang tunai dianggarkan lebih RM138,000. Rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan bernilai lebih RM2.1 juta," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1305359/suami-isteri-antara-4-ditahan-polis-rampas-dadah-lebih-rm220000
|