|
RAP : Tak mahu cepat mengalah
Oleh Esme Johari Wahab
[email protected]
PAHIT getir menjadi artis membuatkan Scha AlYahya tidak mahu cepat mengalah dengan tohmahan atau gosip liar. Baginya, sebagai artis baru, fokusnya meningkatkan kualiti dan potensidiri dalam bidang lakonan yang jadi pilihan kariernya. Kegigihan bekas pramugari syarikat penerbangan Air Asia itu dilihat, begitu serius menjiwai setiap peranan diberikan malah pada satu peringkat, takut serta berasa gugup apabila melakukan kesilapan dilokasi rakaman penggambaran.
Bersesuaian dengan falsafah suka berdikari, Scha suka memberi komitmen tinggi terhadap setiap watak dipegang atau peranan dijiwai, sama ada selaku pelakon filem atau drama, pengacara program realiti atau model iklan komersil.
Walaupun baru dua tahun berkecimpung, artis berusia 26 tahun itu tidak lagi kekok dan sedia membawa watak lebih mencabar pada masa depan.
“Saya suka cabar diri sendiri. Saya mahu berdikari. Lakonan adalah satubidang mencabar kerana saya tidak boleh berlakon jika tidak mempunyaiminat mendalam, sambil lewa dan tidak bersedia untuk membawa watak diberikan.
“Saya tidak kesal meninggalkan karier pramugari kerana jiwa saya cenderung kepada kerjaya kreatif dan sudah biasa berinteraksi dengan pelbagai jenis orang sebelum ini,” kata Scha, meminati gaya lakonan Cameron Diaz.
Scha atau nama sebenarnya,Sharifah Norazean Syed Mahadzir Al Yahya, menempa nama selepas bakatnya dicungkil oleh pengarah kreatif, Azizi Chunk Adnan.
Filem pertama anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini adalah arahan beliau iaitu Antoo Fighter sementara membintangi drama sulung, Bella. Schaberlakon dalam Papadom yang dipilih sebagai Filem Terbaik FestivalFilem Malaysia (FFM) ke-22, arahan Afdlin Shauki. Tugasan terbaru Scha sekarang adalah jadi hos Sehati Berdansa bersama, Fahrin Ahmad.
Mengenai gosip bersama Fahrin, Scha berkata, perkara itu sudah diselesaikan dan tidak perlu ditimbulkan lagi.
“Saya tidak boleh marah kerana ia sebahagian daripada pengalaman perlu dilalui dalam bidang lakonan. Ini menjadikan saya lebih matang untuk menanganinya kerana seseorang perlu tahu mengawal keadaan jika elemen seperti itu wujud,” katanya.
Mengenai dorongan kemajuan karier, Scha, berkata: “Saya dapat dorongan dan perangsang daripada pak cik dan mak cik, Syed Sobrie dan Datin Sheril Aida. Saya sentiasa mempunyai inspirasi kerana kata kata mereka penuh harapan. Saya memang serius terhadap perkara diceburi dan tidak tidak mahu hanya hangat hangat tahi ayam.
Pada masa sama, Scha berkata, impian lain adalah memiliki rumah hasil titik peluh sendiri dalam masa tiga tahun lagi.
“Buat masa ini, saya masih tinggal dengan ibu bapa dan selepas ini saya harap dapat mempunyai rumah sendiri berkonsep moden dan kontemporari. Konsep Inggeris atau Perancis terlalu berat bagi saya ketika ini.
“Selain itu, saya mahu kata, dua orang paling mahu temui adalah Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Ungku Aziz dan kerabat diraja Monaco,”katanya.
Taken from : http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Rap/20091102091732/Article/index_html |
|