Cukup menghiburkan dan menyentuh emosi semua yang menonton. Lebih dari itu, ia sangat istimewa kerana menampilkan persembahan khas daripada lelaki buat mereka yang bergelar wanita.
Begitulah gambaran menarik mengenai Konsert Suara Hati Daripada Lelaki Untuk Wanita menampilkan penyanyi lelaki hebat seperti Ramli Sarip, Zamani Slam, Azlan The Typewriter dan Hafiz AF.
Konsert yang dirakam di hadapan penonton di Auditorium Perdana, malam kelmarin julung kali diadakan dengan tema sedemikian sebagai kelainan kepada penonton setia mereka. Ia adalah terbitan khas RTM sempena sambutan Ulang Tahun Ke-67 penubuhannya.
Hadir sama, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail turut merasa dihargai pada malam itu.
Begitulah gambaran menarik mengenai Konsert Suara Hati Daripada Lelaki Untuk Wanita.
Barisan penyanyinya memang bukan calang-calang kerana mempunyai tarikan dan keistimewaan tersendiri, malah sudah cukup untuk menarik ramai peminat membanjiri lokasi itu.
Menepati tema, kaum wanita yang mewakili pertubuhan tertentu dilihat mendominasi tempat duduk auditorium berkenaan. Dengan berbaju merah jambu dan dibekalkan belon berwarna ungu, mereka bersorak riang setiap kali artis kegemaran mereka muncul menyampaikan lagu.
Konsert terbitan Khuzaimah Abd Aziz atau Oja dari Unit Hiburan TV ini tambah menarik dengan iringan Orkestra RTM pimpinan Jaafar Abdul Rahman Idris atau Jari yang menggubah semula susunan muzik lagu nyanyian artis terbabit supaya lebih segar.
Gandingan tiga pengacara iaitu Shuib Sepah, Ajak dan Sharol Shiro juga berjaya menggeletek hati penonton meskipun kali pertama digandingkan. Celoteh mereka membuatkan mereka yang hadir tidak kering gusi dengan ketawa.
Diiringi dengan 34 pemuzik Orkestra RTM yang semuanya lelaki, pentas konsert dibuka dengan kemunculan Hafiz menyampaikan lagu Ku Akui dan disusuli dengan Zamani menyampaikan lagu Kembali Merindu.
Suasana sudah mulai panas dan kehangatan ini ditambah dengan kemunculan Azlan menyampaikan lagu popularnya Lagu Untukmu dan Ramli Sarip dengan lagu Teratai.
Selepas itu Azlan kembali semula dan menyampaikan lagu popularnya sekarang Tanda Tanya. Menyedari peminat yang rata-ratanya wanita, dia meneruskan persembahan dengan lagu Jeritan Batinku yang disampaikan dengan penuh bertenaga.
Seterusnya, Azlan menjemput Zamani berduet menyanyikan lagu Malam Bulan Dipagar Bintang yang turut sama dinyanyikan semua penonton. Sikap ‘sporting’ mereka ternyata menceriakan lagi persembahan malam itu.
Dengan vokal tersendiri Zamani mengambil giliran menyampaikan lagu Manisnya Rindu. Sekali lagi peminat terpegun apabila Zamani menyampaikan lagu Jika Kau Rasa Getarnya.
Saat dia menyampaikan lagu berhantunya Gerimis Mengundang, penonton tanpa diajak turut menyanyikan lagu ini bersama Zamani. Lagu Nurkasih menjadi santapan terakhir peminat sebelum dia mengundur diri.
Hafiz yang mewakili artis generasi baru muncul selepas itu dengan lagu Bahagia Mu Deritaku dan Muara Hati. Dia turut memberikan sejambak bunga kepada ibunya yang hadir sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang buat insan yang melahirkan dan menjaganya selama ini.
Selepas itu siapa lagi yang dinantikan kalau bukan Ramli Sarip yang sentiasa tampil dengan cara tersendiri. Papa Rock ini mengalunkan lagu Wonderful Tonight yang ditujukan khas buat semua wanita yang hadir pada malam itu.
Kemudian berbekalkan gitar akustik, dia terus memukau dengan lagu Doa Buat Kekasih dan Istilah Bercinta. Nyanyiannya yang penuh penghayatan serta iringan muzik yang indah dari Orkestra RTM begitu mengasyikkan.
Persembahan penutup menampilkan semua artis menyanyikan lagu Kamelia 2013 seterusnya mengakhiri rakaman selama dua jam setengah yang sangat menghiburkan.
Seperti biasa, peminat tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan dengan artis kesukaan sebaik rakaman selesai.
Zamani yang ditemui selepas itu mengakui pembabitannya dalam konsert ini sebagai satu penghargaan besar. Apatah lagi dia sudah lama tidak beraksi dalam program RTM.
“Apabila diajak saya terus menyatakan persetujuan kerana sudah lama tak muncul bertemu peminat menerusi RTM. Saya sebenarnya masih letih dan kurang sihat kerana baru pulang dari menjayakan persembahan di Sarawak.
“Balik di Kuala Lumpur saya tak sempat berehat dan terus buat latihan sehari sebelum rakaman. Bagaimanapun, saya tetap buat yang terbaik demi peminat,” katanya.
Dia juga menganggap konsep yang ditampilkan begitu menarik kerana julung kali ditujukan khas buat wanita.
“Tanpa ibu yang meninggal dunia pada 1 November 1997, saya masih ada dua kakak yang menjaga dan memberi kasih sayang buat saya. Mereka adalah insan yang paling bermakna buat saya.
“Lebih penting, setiap kejayaan kita pasti ada wanita di sebaliknya. Jadi, kita perlu menghargai jasa dan kewujudan mereka,” katanya.
Penerbit Oja berkata, idea menghasilkan program itu datang menerusi perbincangan dengan pasukan kreatifnya.
“Bersama ketua saya, Yusof Rashid kami berbincang dan akhirnya terhasil program ini. Saya dibantu Alam Wakaka Crew dan Ahmad Zainuddin sebagai penulis skrip bagi menghasilkan sebuah program yang menarik.
“Mulanya saya bercadang nak buat konsep empat generasi (4G) kerana artis-artis ini mewakili empat generasi dan empat genre berbeza. Namun, apabila sampai peringkat akhir, kami setuju untuk meletakkan judul Konsert Suara Hati Daripada Lelaki Untuk Wanita,” katanya yang memberitahu senarai lagu dipilih juga khusus buat wanita.
Menurutnya gandingan dengan Orkestra RTM juga akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan tujuh lagi program membabitkan kerjasama ini akan berlangsung.
Program yang akan bersiaran menerusi TV2 dijangka akan menemui penonton sempena Hari Pekerja pada 1 Mei nanti.
~~~ hmetro.com.my ~~~ Last edited by blackberry90 on 12-4-2013 10:24 AM
Misha Omar @iammishaomar 1h
Skrgni,kalau dgr radio.Selain #AnginSyurga kita suka dgr lagu #BahagiamuDeritaku -Hafiz dan #Biar - FT layannn...best best best!!!
biasanya program hiburan kat cenel RTM ni kol 9 mlm....tapi tak tau kalo dorg tayang waktu siang sbb cuti umum....takpe...kita tggu promo kluar kat TV....