|
Pelajar universiti mengaku diperdaya
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
SUNGAI GOLOK 16 Julai - Seorang pelajar sebuah universiti di tanah air yang ditahan di Narathiwat, selatan Thailand awal bulan ini, mengaku diperdaya oleh seorang ustaz untuk menyertai gerakan militan atas tujuan jihad di wilayah bergolak itu.
Bercakap kepada pemberita Malaysia di Balai Polis Sungai Golok di sini hari ini, pelajar yang enggan namanya dikenali itu mendakwa, pembabitannya bermula apabila diajak oleh seorang rakan di universitinya yang hanya dikenali sebagai Umar dipercayai warga Afghanistan untuk mengikuti sebuah kumpulan agama di wilayah itu.
Pelajar berusia 23 tahun itu berkata, kumpulan agama terbabit dipimpin oleh seorang lelaki yang dikenali 'Ustaz Mohamad' berumur awal 30-an di Johor Bahru.
Pelajar itu yang mendakwa sebagai pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Industri di sebuah pusat pengajian tinggi di selatan tanah air, memberitahu, perkenalannya dengan ustaz itu di Johor Bahru menerusi Umar telah membawanya ke wilayah selatan Thailand.
"Ustaz ini pandai 'basuh' otak kita, daripada tidak terfikir hendak buat, jadi semangat pula hendak buat. Saya terpengaruh dengan kata-kata dia, sebab dia selalu macam pandang rendah dengan kita, dan kerana geram dicabar, jadi saya sahut cabarannya.
"Dia (Ustaz Mohamad) cakap kita orang Islam sering tertindas, jadi kita kena bangkit melawan dan menyuruh saya membuat persiapan untuk ke medan jihad,'' katanya.
Pertemuan di antara media Malaysia dengan pelajar terbabit telah diatur oleh polis Thailand bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai kegiatan kumpulan yang disertainya itu.
Sebelum itu, pada 2 Julai lalu, pelajar terbabit ditahan bersama seorang lagi ahli kumpulan berkenaan yang berumur 17 tahun di pekan Sungai Golok ketika cuba mencuri sebuah motosikal.
Pelajar itu kini ditahan di balai polis tersebut dan sedang menunggu proses perbicaraan pada masa terdekat.
Ditanya lebih lanjut mengenai pembabitannya itu, pelajar kelahiran Melaka itu berkata, selepas mengikuti beberapa kelas agama bersama ustaz tersebut di Johor Bahru, dia bersama Umar telah diarahkan pergi ke Puchong, Selangor.
"Ketika itu awal tahun 2008, tiap-tiap minggu ada sekali perjumpaan iaitu setiap malam Selasa, selalunya hanya saya dengan Umar dan ustaz itu sahaja.
"Selepas itu, kami diarahkan ke Puchong dan menyewa sebuah bilik. Semasa berada di situ, kami menjalani latihan fizikal dan mental serta cara menggunakan senjata seperti pisau dan parang.
"Hampir sebulan berada di Puchong, saya diarahkan pula ke Kota Bharu dengan ditemani seorang remaja berusia 17 tahun. Kami kemudian menyusup masuk ke Thailand dan menyewa sebuah rumah di pekan Sungai Golok,'' katanya.
Katanya lagi, mereka berdua tiba terlebih dahulu di Sungai Golok dan diikuti dua hari kemudian oleh Ustaz Mohamad dan Umar.
Ujarnya, mereka berempat tinggal bersama di Sungai Golok selama sebulan.
Bagaimanapun, menurutnya, dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, namun gagal untuk melepaskan diri daripada Ustaz Mohamad.
"Akhirnya, saya dan remaja itu ditangkap ketika mencuri sebuah motosikal di pekan ini selepas di arahkan oleh Ustaz Mohamad. Saya menyesal dan tidak tahu kenapa boleh terlibat dengan kegiatan bodoh ini,'' ujarnya sedih.
Pada 3 Julai, Bernama melaporkan dua pemuda warga Malaysia ditahan termasuk seorang pelajar tahun akhir kursus Kejuruteraan Mekanikal sebuah universiti tanah air, di Narathiwat kerana disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti militan.
sumber : utusan online |
|