|
Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`
[Copy link]
|
|
Bercakap dengan jin ~ 92 ~
Bomoh tua bawa bencana
“Nak ke mana tu?”
“Mandi embun.”
“Jangan lama-lama, nanti ada masalah di rumah saya tak tahu nak mengatasinya.”
“Belum matahari keluar kami balik,” jawapan itu amat menyenangkan diri guru silat.
Senyumannya terus terukir di bibir dan dia meneruskan latihan silatnya. Berjalan dalam suasana dingin begini tidak boleh lambat- lambat. Langkah mesti dipercepatkan, biar semua sendi bergerak lancar lalu melahirkan peluh yang boleh menghilangkan rasa sejuk dan dingin. Sedang saya dan datuk asyik menghulurkan jejari pada air embun di hujung daun, kami terdengar bunyi orang memijak sesuatu dari hutan kecil di sebelah kanan. Langkah datuk dan saya segera berhenti.
“Ada binatang buas tuk.”
“Pada hemat aku, itu bukannya bunyi langkah binatang.”
“Kalau bukan binatang langkah apa tuk?” Datuk terus membisu lalu membongkok kepala lutut kanannya ditemukan dengan permukaan bumi.
Manakala lutut kirinya tetap tegak menentang dada langit. Kelima-lima jari kirinya dikembangkan dan terus diletakkan di atas tanah. Hidungnya dihalakan ke arah angin datang. Hidung datuk nampak kembang kempis menghidu sesuatu.
“Manusia Tamar,” mata datuk bersinar merenung ke arah hutan kecil.
Dahinya berkedut tetapi wajahnya tetap tenang serta bersedia menghadapI sebarang kemungkinan. Barangkali, ada orang kampung yang menggunakan hutan kecil itu sebagai jalan pintas untuk pergi ke suatu tempat, fikir saya dalam hati.
“Manusia dari mana tuk?” saya menyoal kembali.
“Entah, pedulikan, mari kita pergi,” datuk segera menarik tangan saya.
Kami meneruskan perjalanan yang terhenti. Tidak beberapa jauh melangkah, datuk berhenti kembali. Macam ada sesuatu yang tidak menyenangkannya. Dan saya sendiri pun merasakan ada sesuatu yang mengikuti segala gerak dan langkah kami. Dalam saat-saat tertentu, benda yang serasa ada itu bagaikan wujud di depan saya dan datuk tetapi, sukar untuk dilihat apatah lagi untuk dirasa dan dipegang.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 92 ~
Bomoh tua bawa bencana
Keadaan yang dihadapi membuat saya resah dan gelisah. Saya segera memujuk datuk supaya pulang ke rumah adik guru silat. Datuk gelengkan kepala sambil tumit kaki kirinya menghentak-hentak tanah beberapa kali. Tanpa diduga, datuk terus membengkokkan badan dan kedua belah tangannya menepuk bumi tiga kali berturut-turut.
“Kerja kamu dah selesai,” saya segera merenung ke kiri.
Saya lihat bomoh tua berdiri di situ. Matanya tidak berkedip merenung ke arah saya. Aneh sekali kenapa dia tidak mahu memandang wajah datuk? Apakah ini cuma satu helah darinya untuk memperdayakan datuk? Bermacam-macam pertanyaan bermain dalam kepala saya.
“Aku hanya menyelesaikan kerja kamu yang belum selesai,” balas datuk sambil membelakanginya.
Saya kira, cara datuk itu amat merbahaya. Kenapa dia memberi belakang pada bomoh tua, kenapa datuk tidak mahu menentang muka bomoh tua?
“Tapi kamu tidak pernah minta izin dari aku,” saya terdengar suara bomoh tua.
Apa yang bermain dalam kepala saya terus hilang.
“Ya, niat saya ikhlas untuk menolong,” suara datuk rendah.
“Cara kamu menyakitkan hati aku.”
“Apa! Kerana aku menolong hamba Allah yang sakit. Boleh membuat kamu marah, aku tak faham dengan cara kamu.”
“Ya, aku nak beri kamu faham sekarang.”
“Terangkan.”
“Kamu sepatutnya jangan campur dalam hal ini. Kerja aku dengan orang yang minta tolong belum selesai.”
“Kamu terima upAh untuk menjahanamkan orang lain.”
“Kerana si sakit itu memang jahat.”
“Kalau kamu dah tahu dia jahat, kenapa kamu ubati dia?”
“Aku mahu mempermainkan orang yang mengupah aku dan orang yang sakit.”
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 92 ~
Bomoh tua bawa bencana
“Kamu memang iblis,” pekik datuk.
Bomoh tua itu hilang dari pandangan saya. Datuk tergamam bila bomoh tua muncul di depannya dan mengajak beradu tenaga.
“Itu bukan cara aku. Dalam hidup aku, menjual dan membeli bukan cara aku. Kita hamba Allah dan umat Nabi Muhammad S.A.W kita disuruh berbaik-baik,” jawab datuk dengan nada suara yang rendah.
“Agaknya kamu takut, ilmu kamu tidak sebanyak mana,” bomoh tua seperti mengejek datuk.
“Tak usahlah kita nak tunjuk handal. Kita lupakan semuanya. Kalau saya tersalah, maafkan saya,” datuk hulurkan tangan pada bomoh tua.
Cepat-cepat bomoh tua menepis huluran tangan datuk sambil membuka langkah untuk menyerang datuk.
“Kalau benar awak handal, jawab pertanyaan saya. Kalau semua jawapan awak betul, saya ikut awak,” datuk memberi cadangan.
“Kamu mempermainkan aku.”
“Aku ikhlas, aku tak mahu bermusuh dengan sesiapa pun.”
“Bohong,” suara bomoh tua meninggi.
Dia terus menyerang datuk dengan sebatang kayu. Datuk tidak bergerak dari tempatnya, menanti serangan bomoh tua dengan tenang. Datuk hanya mengangkat ibu jari kanannya dan kayu di tangan bomoh tua terpelanting dengan sendirinya. Bomoh tua jatuh terlentang macam ada sesuatu yang menolaknya. Bomoh tua cuba bangun dan datuk cepat-cepat memusingkan ibu jari kanannya menunjuk ke bumi, bomoh tua tidak terdaya bangun. Bila datuk menegakkan ibu jarinya, bomoh tua dapat bangun dan berdiri berdepan dengan datuk, bersedia untuk melepaskan penumbuk pada datuk. Lagi sekali datuk meluruskan ibu jarinya ke bawah. Bomoh tua jatuh terlentang terkapar- kapar.
“Cuma itu saja yang ada pada aku, bangunlah,” kata datuk tenang sambil memeluk tubuh.
Bomoh tua tidak mahu bangun. Dia duduk bersila di tanah. Jari kelingkingnya terus menguis-nguis tanah.
“Apa yang mahu kamu tanyakan pada aku?”
“Aku cuma nak menyatakan rasa kesal, kerana kamu seperti orang yang beragama tetapi membuat kerja terkutuk.”
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 92 ~
Bomoh tua bawa bencana
“Sudahlah, cakap perkara apa yang mahu kamu tanyakan padaku.”
“Kamu beragama Islam?” datuk memulakan pertanyaan.
“Ya, aku percayakan Allah, Quran dan hari kiamat serta malaikatnya,” jawab bomoh tua penuh keyakinan.
Matahari mula memunculkan diri di kaki langit. Saya terus menyanDarkan badan pada sebatang pokok yang berdaun lebat.
“Sebagai orang Islam aku cuma nak tanya tiga perkara. Harap kamu dapat memberikan jawapannya.”
“Silakan, apa perkara yang nak kamu tanya sila kemukakan. Fasal agama, adat, ilmu dunia, ilmu akhirat, silakan,” bomoh tua terus ketawa kecil.
Jari kelengkengnya tidak berhenti menguis tanah. Tidak memperlihatkan sebarang rasa kebimbangan. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk raba telinga kemudian terus duduk bertinggung. Muka bomoh tua direnung dengan tepat tanpa berkedip. Kali ini bomoh tua menentang wajah datuk.
“Silakan, aku menanti,” bomoh tua seperti mendesak.
“Sebagai orang Islam, aku mahu tahu dari mana kamu datang?” datuk menyambut cabaran dari bomoh tua.
“Apa, ini saja soalannya?”
“Ini soalan pertama, dua soalan lagi akan menyusul kemudian,” terang datuk dengan tenang.
“Aku mahu kamu terus mengemukakan tiga soalan sekali. Aku tak mahu satu- satu, cara itu melambatkan.”
“Baiklah, kalau itu kemahuan kamu. Soalan pertama aku mahu tahu dari mana kamu datang,” datuk berhenti bercakap dia.
Dia menahan air lir sambil batuk kecil.
“Apa kamu buat dan ke mana kamu nak pergi?” datuk menambah soalannya.
Bomoh tua kerutkan dahi sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya dua tiga kali.
“Dah habis soalan kamu.”
“Dah habis,” jawab datuk tegas.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 92 ~
Bomoh tua bawa bencana
Bomoh tua menggigit kuku di ibu jari kanannya. Matanya merenung ke kiri dan ke kanan. Sesekali dia garu telinga yang tidak gatal. Saya kira bomoh tua masih mencari jawapannya. Saya juga berfikir, apakah jawapan yang tepat pada soalan yang datuk kemukakan. Saya kira, inilah kali pertama datuk mengemukakan soalan yang sedemikian. Agak aneh dan luar biasa sekali pada tanggapan saya.
“Soalan yang mudah, anak cucu aku sendiri boleh jawab. Kamu tahu yang tak pergi sekolah pun dah tahu jawapannya, ha.. ha…,” bomoh tua ketawa berdekah- dekah.
“Jawab sekarang, usah ketawa,” suara datuk meninggi.
“Dari Allah aku datang, aku dilahirkan untuk membuat amalan dan akhirnya aku pergi pada-Nya juga. Apa kau sudah puas hati sekarang.”
“Kurang puas hati.”
“Sebabnya?” bomoh tua beliakkan biji mata.
Cepat- cepat dia berdiri dan terus mencekak pinggang. Misai tebalnya dipulas beberapa kali, macam lanun dalam drama purbakala yang mahu memperkosa gadis jelita dalam bilik tidur.
“Jawapan kamu masih ada kurang. Membayangkan kamu kurang pengetahuan,” suara datuk lembut.
“Kurang ajar. Cakap apa yang kurang, kalau kamu tak cakap buruk padahnya.”
“Baiklah. Jawapan pertama begini: dari setitik mani kedua orang tua, kita dijadikan oleh Allah dan dikeluarkan dari rahim ibu. Tidak kira orang itu keturunan baik-baik atau tidak, sama ada berkulit hitam atau putih semuanya keluar dari lubang yang satu,” datuk berhenti bercakap.
“Jawapan yang kedua pula?” bomoh tua juihkan bibir ke bawah.
Datuk segera gosok pangkal hidung. Perbuatan datuk itu menimbulkan keresahan dalam diri bomoh tua.
“Jawapan kedua apa dia? Cepat cakap. Aku tak ada masa nak dengar temberang kamu.”
“Baiklah sekarang aku…..,” datuk berhenti bersuara.
“Eh, cakaplah. Jangan berdalih lagi.”
Bomoh tua mula marah.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 92 ~
Bomoh tua bawa bencana
“Sekarang kau sudah tahu dari mana asal-usul kita, kau tahu kenapa kita dijadikan? Apa yang patut kita buat,” datuk berhenti lagi.
“Eh, aku mahu jawapan dari soalan kedua,” kali ini suara bomoh tua meninggi.
Matanya mula menahan marah. Datuk masih bertenang.
“Aku baru memulakan jawapan untuk soalan kedua. Sekarang aku sambung kembali. Allah mencipta manusia dan jin semata-mata untuk mengabdikan diri pada- Nya. Jadi kita semua hamba Allah harus ikut perintah-Nya. Tidak boleh membesarkan diri, tak boleh minta disanjung atau dipuja kerana kita ini hamba Allah,” datuk menggaru pangkal pipi sebelah kanannya.
Bomoh tua terus merenung bumi. Sinar matahari mula memancar lembut menjamah bumi dan dedaun.
“Jawapan yang ketiga pula apa dia?”
Desak bomoh tua.
“Kamu sudah tahu asal kita, tahu apa yang mesti kita buat waktu berada di dunia. Dan akhir sekali ke mana kita akan pergi,” datuk senyum panjang.
“Akhirnya kita mati,” mendadak bomoh tua mencelah.
“Jawapan yang kurang tepat,” sanggah datuk.
“Habis,” apa yang tepat?”
“Kita akan kembali pada yang menciptanya. Segala apa yang kita buat di dunia diperhitung. Perbuatan jahat dibalas jahat, perbuatan yang baik menerima yang baik. Masa menghitung segala kebaikan dan kejahatan kita tidak dibeZakan sama ada orang itu keturunan diraja atau hamba, semua duduk bersama. Hanya di dunia saja manusia mencipta perbezaan. Kau faham sekarang.”
“Sudahlah. Kamu nak jual temberang, kamu khianat kerja aku,” cara mengejut bomoh tua naik darah.
Melihat keadaan yang tidak begitu aman, datuk segera menjeling serta melakukan serangan. Belum pun sempat datuk menemui tempat yang dihajati, bomoh tua melepaskan penumbuk sulung ke arah bahu kiri datuk. Nasib datuk dapat mengelak. Bomoh tua terdorong ke depan lalu tersandar di pohon halban liar. Datuk segera mengangkatnya. Rupa- rupanya bomoh tua tidak mahu menjalikan persahabatan dengan datuk. Sebaik saja dia dapat berdiri, tanpa membuang masa dia terus melepaskan satu penumbuk lagi. Datuk tidak terdaya mengelakkannya. Penumbuk yang agak kencang itu terkena pangkal telinga datuk.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 92 ~
Bomoh tua bawa bencana
Saya lihat datuk terhuyung-hayang macam orang mabuk. Bomoh tua menerpa ke arah datuk untuk melepaskan serangan. Kasihan. Atur langkah bomoh tua tersilap. Walaupun datuk terhuyung-hayang tetapi dia tidak kurang tenaga dan akal. Tendangan bomoh tua disambutnya dengan satu tepisan yang kencang. Bomoh tua jatuh terkangkang atas tanah.
“Bunuh saja tuk. Bila dah mati mayatnya kita buangkan ke sungai,” secara tidak disengajakan kata-kata itu terungkap dari mulut saya.
Bomoh tua yang kesakitan renung muka saya.
“Kamu jangan biadab Tamar,” sergah datuk.
“Saya tak sengaja tuk.”
“Jaga mulut, jangan celupar sangat.”
“Maafkan saya tuk.”
“Sudahlah, bukan keturunan kita jadi pembunuh. Sikap kita berbaik dengan semua orang.”
Bomoh tua bangun, hulur tangan pada datuk. Dengan wajah yang tenang dan damai datuk menyambut huluran tangan itu.
“Kita sesama hamba Allah. Buat apa kita bermusuhan,” suara bomoh tua merendah.
“Saya sependapat dengan awak.”
“Kalau awak dah sependapat dengan saya, awak kenalah menghormati saya dan menunaikan permintaan saya.”
“Apakah ini satu syarat?” tanya datuk sambil menatap biji mata bomoh tua.
Saya lihat bomoh tua seperti terkejut mendengar pertanyaan dari datuk. Bomoh tua menggaru hujung kening kanannya.
“Terpulanglah pada kamu sendiri. Kalau kamu memikirkan itu sebagai syarat, dia akan menjadi syarat. Kalau kamu fikirkan itu bukan syarat, dia tidak jadi syarat,” penjelasan dari bomoh tua berbelit-belit dan berteka-teki serta mempunyai maksud yang tertentu.
Datuk kerutkan dahi. Dia perlu berhati-hati membalas kata- kata bomoh tua. Silap jawab diri akan terperangkap.
“Saya tidak menganggap itu syarat tetapi apa yang awak minta pada saya itu juga yang saya minta pada awak,” balas datuk.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 92 ~
Bomoh tua bawa bencana
“Ha, awak bijak.”
“Baiklah, apa yang awak mahu dari saya,” tanya datuk.
“Mudah saja, saya minta awak jangan ganggu saya. Ini cara saya cari makan. Saya tahu, awak bukan sebarang orang. Saya tersilap duga. Saya fikir awak macam orang-orang lain yang pernah saya duga. Lagipun awak tidak memperlihatkan kebolehan atau rasa sombong. Inilah yang membuat saya terperangkap,” bomoh tua seperti merayu.
“Saya tak faham,” datuk berdalih.
“Sebenarnya saya mendamping benda-benda halus yang ada kaitannya dengan angin, tanah. Benda- benda halus inilah yang banyak membantu saya. Jika ada orang datang minta ubat, benda-benda halus ini memberitahu saya apa penyakit yang dihadapi oleh orang itu.”
“Oh begitu, barulah saya tahu. Lepas itu apa yang kamu buat?” soal datuk.
“Saya terus memberitahu pada orang yang datang di mana sakitnya, apa puncanya hingga mereka percaya pada saya. Saya kenakan bayaran yang mahal. Saya juga ambil upah membuat orang, kemudian mengubat orang yang kena buatan itu. Benda- benda halus inilah yang membantu saya,” begitu jujur bomoh tua menerangkan kedudukan yang sebenar.
Saya hanya anggukkan kepala. Datuk lebih banyak termenung setiap kali menerima penjelasan dari bomoh tua.
“Salah seorang yang kamu kenakan, orang yang aku tolong?” tanya datuk.
“Ya.” “Kenapa kamu lakukan perkara tu.”
“Aku sebenarnya dendam padanya dan selalu bertelagah dengan aku tentang hal-hal agama, suka membantah.”
“Aku fikir kerana kamu mahu mencampurkan perkara karut-marut dalam hal agama. Umpamanya suruh orang percaya pada keramat, memuja kubur, membayar niat di keramat. Bukan begitu?
“Ya, memang begitu janji aku dengan makhlus halus.”
“Lagi apa janji kamu dengan makhluk-makhluk halus tu?”
“Berusaha mengurangkan akidah agama pada orang kampung. Makhluk-makhluk halus itu pula berusaha menarik perhatian atau mengabui mata orang kampung supaya memuja dan mengagumi kebolehan aku. Orang-orang di sini kebanyakannya buta agama.”
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 92 ~
Bomoh tua bawa bencana
Saya mula merenung ke arah matahari yang kian meninggi. Rasa benci dan menyampah pada bomoh tua mula bertandang dalam dada saya. Datuk terus meramas sepuluh jari di tangan yang terasa lenguh dan sakit-sakit.
“Macam mana kamu gunakan buatan pada orang yang aku tolong? Datuk bertanya lagi.
Bomoh tua terdiam sejenak. Dia kelihatan keberatan mahu menceritakan kisah sebenar pada datuk.
“Bagaimana kamu membuatnya?” ulang datuk.
“Satu hari ada orang mengadu dirinya sakit. Aku katakan kena buatan orang. Dan orang yang membuatnya adalah orang yang kamu lindungi itu. cara kebetulan mereka pernah bertengkar satu masa dulu. Apalagi, aku jalankan jarum,” bomoh tua menelan air liur.
Keningnya bergerak dua tiga kali menahan sinar matahari yang terik.
“Aku suruh orang itu membalas dendam. Dia setuju aku. Aku pun jalankan tugas. Bila orang yang didendam sakit, aku pergi mengubatinya,” sambung bomoh tua itu lagi.
“Ilmu kamu tak sebanyak mana. Tapi kamu berlagak macam orang pandai kemudian memperdayakan orang kampung. Kamu pengkhianat,” datuk bersuara dengan keras.
Muka bomoh tua ditentangnya. Saya segera mendekati datuk.
“Kita dah bersahabat. Kau tak boleh marah,” tingkah bomoh tua.
“Ya. Aku tak akan melakukan apa-apa pada kamu. Kejahatan kamu adalah urusan kamu dengan Allah. Tetapi selagi aku masih hidup aku akan melindungi orang- orang lain dari kejahatan kamu.”
Suara datuk merendah.
“Jangan khianati aku kawan.”
“Hum”, datuk juihkan bibir.
Kemudian datuk tarik tangan saya. Kami tinggalkan bomoh tua di situ, di bawah sinar matahari yang kian mengembang.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 93 ~
Masih dalam ujian
Hujan turun mencurah-curah. Dentuman petir memekakkan telinga dan mengecutkan tali perut. Tempias hujan terus menerpa ke kamar, lalu jatuh atas halaman akhbar yang tersedai di dada meja. Rasa dingin terasa menggigit kulit tubuh. Tingkap segera saya rapatkan. Bunyi deru hujan amat jelas kedengaran. Dalam saat-saat tertentu saya tersentak oleh bunyi petir, diikuti dengan cahaya kilat yang tajam menyelinap menerangi ruang kamar.
Bagi menghilangkan kebekuan itu saya terus membaca berita yang termuat dalam akhbar. Sejak pulang dari kampung halaman guru silat, saya dan datuk menghabiskan masa ke kebun getah ata pisang, pada sebelah pagi. Pada sebelah petangnya pula, pergi ke sawah. Kalau tidak turun ke sawah kami pergi memburu ayam hutan atau melihat jerat di pinggir belukar.
Satu hal yang membanggakan datuk ialah, kerana saya sudahpun menamatkan ilmu persilatan dengan guru silat. Sudah diadakan ujian dan menutup gelanggang tetapi, datuk tetap mengatakan apa yang saya tuntut itu masih belum cukup. Mesti diperlengkapkan dengan pengalaman dan ujian-ujian yang tidak diduga. Di samping itu, datuk tetap menyuruh saya menambahkan ilmu mempertahankan diri sebanyak yang terdaya oleh saya.
“Kau harus belajar lagi, jangan sampai terpesong dari ajaran Islam. Kau harus mendalami ilmu agama kamu,” secara mendadak sahaja saya teringat cakap datuk.
Saya senyum sendirian. Bunyi deru hujan mula beransur reda. Sudah hampir enam bulan saya meninggalkan kampung halaman guru silat. Tidak ada berita tentang bomoh tua yang disampaikan oleh adik guru silat kepada datuk. Apakah bomoh tua itu sudah bertaubat atau kian mengganas? Apakah adik guru silat tidak pernah menulis surat pada abangnya? Timbul pertanyaan dalam diri saya. Saya membuat keputusan sendiri. Besok atau lusa saya akan menemui guru silat untuk bertanyakan perkara tersebut. Kalau guru silat enggan bercerita, saya sendiri akan menulis surat pada beberapa orang kawan di kampung halaman guru silat.
“Bagaimana kalau aku sendiri pergi ke sana, menyiasat keadaan yang sebenar? Tidak mungkin. Kalau datuk tahu aku pergi sendirian ke sana, teruk aku kena penamparnya,” bisik hati kecil saya.
Saya senyum sendirian teringatkan tingkah laku bomoh tua di hari meninggalkan kampung halaman guru silat. Bomoh tua itu menahan perjalanan kami yang mahu pergi ke perhentian bas. Dia mengingatkan datuk tentang hasratnya untuk bersahabat dengan datuk, ingin belajar sesuatu dari datuk. Ternyata hati datuk tidak dapat dilembutkannya. Datuk menyuruh dia bertaubat dulu serta kembali ke jalan yang betul.
Pada mulanya, saya begitu menyesali sikap datuk yang tidak mahu bertolak ansur itu. saya kesal kerana datuk begitu angkuh dengan orang yang mahu menjalinkan persahabatan dengannya. Rasa kesal saya itu berakhir bila saya menerima penjelasan dari guru silat.
“Tuk kamu tak angkuh Tamar. Dia tahu bomoh tua tu tak ikhlas, bomoh tu mahu memperdayakan dirinya,” satu penjelasan dari guru silat.
Tapi, saya kurang yakin dengan penjelasan itu. guru silat segera melanjutkannya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 93 ~
Masih dalam ujian
“Kau sendiri tahu, datuk kau bersikap lembut. Dia suruh bomoh tua itu bertaubat. Bila bomoh itu mengetahui dan bersedia mahu bertaubat tentu dia mahu bersahabat. Datuk kau terlalu berhati- hati,” sambung guru silat ketika berada dalam bas, waktu kami pulang dulu.
Akhirnya saya percaya dengan apa yang diluahkan guru silat tersebut. Sebabnya bukan apa-apa. Saya mahu mendapat keterangan yang tepat dari datuk. Kata datuk, dia memang menghargai hasrat bomoh tua itu. tetapi, dia tidak yakin apa yang dikatanya itu ikhlas dan jujur. Buktinya, waktu kamu mahu naik bas, bomoh tua itu cuba menggunakan ilmu hitamnya dengan memasukkan segenggam pasir ke dalam beg kain yang saya galas. Pasir tersebut bila berada dalam beg dalam jangka waktu lebih kurang tiga jam akan bertukar menjadi habuk yang cukup halus macam habuk rokok. Melekat pada pakaian.
Bila pakaian itu dipakai, seluruh tubuh menjadi bengkak dan gatal. Bila terlalu kerap digaru, kulit akan tercalar lalu berair. Dan air itu akan mengeluarkan bau yang busuk. Tidak ada ubat yang boleh menghilangkan penyakit tersebut kecuali dengan cara tradisional iaitu menggunakan pasir yang sudah digoreng dengan hampas tebu. Hanya orang- orang yang tahu sahaja yang boleh melakukannya. Bukan senang mencari orang yang tahu cara perubatan tradisional itu. kalau tidak menemui orang yang tahu, alamat si sakit akan menderita sampai mati. Mujurlah datuk sempat bertindak. Kalau lambat bertindak, padahnya akan ditanggung sampai mati.
Cara datuk mengesan perbuatan bomoh tua itu juga amat menarik. Bila datuk terpandangkan bomoh tua menaruh pasir ke dalam beg yang saya galas, datuk segera mengoyakkan bahagian bucu beg. Semua pasir di dalamnya terus jatuh di permukaan jalan raya, menjadi debu. Melihat tindakan datuk itu, bomoh tua berasa malu lalu meninggalkan kami tanpa mengucapkan sesuatu. Walaupun begitu datuk masih yakin bomoh tua itu akan membalas dendam. Bila masanya bomoh tua mahu bertindak tidak ada sesiapa pun yang tahu. Walaupun begitu, datuk tetap berjaga- jaga dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk serahkan segala- galanya pada Allah yang maha kuasa.
“Assalamualaikum.”
Saya tersentak dari lamunan.
“Waalaikumsalam, naiklah.” terdengar suara datuk menjawab.
Perasaan saya bagaikan digaru-garu mahu mengetahui suara siapakah yang memberi salam. Rasa- rasanya saya pernah mendengar suara itu. Di mana dan bila, saya kurang pasti. Saya terus mengamati dengan teliti suara orang yang bercakap dengan datuk itu.
“Ah, dia datang.”
Saya melonjak kegembiraan dan terus bangun. Buku jendela, titik hujan sudah berhenti luruh dari dada langit. Saya keluar dari kamar lalu menuju ke ruang tengah. Senyum tetap terukir di bibir dan hati terus dikocak kegembiraan.
“Kamu dari mana Tamar?” tanya guru silat.
“Apa lagi, buat tahi mata lebih-lebih lagi waktu hujang begini,” tingkah datuk.
Saya terus duduk dekat guru silat.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 93 ~
Masih dalam ujian
“Saya tak tidur… tuk!”
“Kalau kau tak tidur, kau buat apa dalam bilik?”
“Saya membaca tuk.”
“Kau baca apa?”
“Baca suratkhabar.”
“Hummmmm aku ingatkan baca kitab,” datuk juihkan bibir sambil menarik nafas panjang.
Guru silat terus senyum. Belakang saya ditepuknya dua tiga kali berturut-turut. Saya merenung ke arah jam dinding. Sudah petang. Secara mendadak saya teringat hari itu adalah hari Khamis. Bila matahari terbenam di kaki langit, saya akan berada dalam suasana malam Jumaat.
Ada beberapa aturan yang mesti saya patuhi. Peraturan itu amat membosankan tetapi apakan daya saya terpaksa mematuhinya. Biasanya setelah menunaikan fardhu Maghrib, datuk berwirid panjang. Lepas itu membaca surah al-Waqiah atau surah al-Mulk atau surah at-Taubat. Jika tidak membaca salah satu surah itu, dia akan membaca surah Yaasin. Pokoknya, dari waktu Maghrib hingga sampai waktu Isyak mesti diisi dengan kegiatan yang mendatangkan faedah. Kegiatan itu ditamatkan setelah menunaikan sembahyang Isyak. Memang menjadi kebiasaan saya, setelah selesai menunaikan fardhu isyak saya menyusur tepi dinding perlahan-lahan kemudian menyelinap masuk ke kamar lalu mematikan diri. Saya tidak mahu melibatkan diri dengan datuk untuk membaca Quran.
“Eh, apa yang kamu menungkan, Tamar?” nenek sergah saya.
Cepat- cepat saya renung ke arAh datuk dan guru silat. Mereka juga saya lihat mengelamun tetapi anehnya kenapa nenek tidak menegur mereka.
“Jangan fikir apa-apa. Minum kopi panas ni,” tambah nenek lalu meletakkan cawan kopi di depan saya, di depan datuk dan guru silat.
Asap nipis merayap di permukaan cawan.
“Kopi bujang aje ke?” usik datuk.
“Ada kawannya. Tunggulah dulu.”
Nenek terus menuju ke dapur. Datang kembali bersama mangkuk bubur kacang. Bau daun pandan yang ditaruh dalam mangkuk bubur membuat selesa saya terbuka luas.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 93 ~
Masih dalam ujian
“Memang bagus ni,” kata guru silat.
“Silakan,” pelawa datuk.
“Ya, sila. Jangan malu,” tingkah nenek.
“Jangan bimbang, fasal makan saya memang tak tolak punya,” guru silat berjenaka disambut dengan ketawa.
Nenek kembali ke ruang dapur. Saya memang mengharapkan kedatangan guru silat pada petang itu akan membawa cerita yang baru dan segar untuk saya. Kopi dalam cawan sudah habis, bubur dalam mangkuk juga sudah selesai. Cerita yang saya harapkan dari guru silat tidak juga muncul. Dia dan datuk asyIk bercerita tentang harga getah, asyik bercerita tentang babi hutan dan monyet yang menyerang tanaman di kebun. Cerita yang membosankan. Tetapi, saya masih bertahan di ruang tamu. Masih mengharapkan cerita dari guru silat.
Dalam cita-cita yang meluap- luap itu tiba-tiba semangat jadi luntur untuk duduk berdepan dengan guru silat dan datuk. Tidak ada gunanya menjadi kucing yang menunggu ikan dipanggang. Saya segera angkat punggung. Meraut bilah buluh di pelantar untuk membuat bubu lebih baik dari duduk di depan wajah manusia ini, bentak batin saya. Saya segera mencari pisau raut dan mengeluarkan bilah buluh dari tempatnya. Sebaik sahaja saya bersila di pelantar, saya terdengar suara datuk mengajukan pertanyaan pada guru silat.
“Apa kau tak dapat berita dari adik kamu?”
“Ada, pagi tadi saya terima surat darinya.”
“Apa cerita? Soal datuk lagi.
Guru silat saya lihat menarik nafas dalam-dalam. Dia termenung sejenak. Saya terus memasang telinga. Dan mengharapkan kata-kata yang terhambur dari guru silat akan mengembirakan hati saya. Cepatlah, aku nak dengar cerita dari kampung halaman kamu guru silat, suara batin saya melonjak-lonjak. Saya jeling ke arah guru silat dan datuk. Mereka kelihatan tenang dan bersahaja. Mungkin tidak ada sesuatu cerita yang menarik, sebab itulah agaknya guru silat tak mahu cerita apa-apa pada datuk, saya cuba mendamaikan perasaan yang bergelora dalam dada.
“Saya bersyukur pada Allah.”
“Sebabnya?” datuk menyoal.
“Bomoh tua tu…,” gosok batang hidungnya dua tiga kali.
Saya keresahan menanti kata selanjutnya dari guru silat.
“Kenapa dengan bomoh tua tu? Dia dah bertaubat?” suara datuk agak keras, mungkin tanda protes kerana guru silat lambat sangat menyambung kata-kata yang terputus.
“Bukan bertaubat.”
“Kalau bukan bertaubat, dia dah mati agaknya,” datuk buat ramalan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 93 ~
Masih dalam ujian
“Dia tak mati.”
“Habis dia buat apa?”
“Pindah ke tempat lain,” guru silat telan air liur.
“Ke mana?” datuk tidak sabar lagi.
“Ke Langkawi.”
“Langkawi,” mulut datuk separuh terbuka.
Guru silat tunduk menatapi permukaan lantai. Batang tubuh bomoh tua segera terpamer dalam tempurung kepala saya. Ketika itu juga saya bagaikan terdengar-dengar suaranya di gegendang telinga saya.
“Biarlah dia dengan halnya. Tapi, adik ipar kamu macam mana? Aku lebih suka mendengar cerita tentang dirinya dari mendengar cerita bomoh tua tu,” datuk memperkemaskan silanya.
Kali ini saya cuba melintasi di depan datuk. Berdiri dekatnya sebentar. Tiada teguran dari datuk, ini menandakan datuk tidak akan marah kalau saya duduk di sisinya untuk mendengar perbualan selanjutnya antara dia dengan guru silat. Dengan batuknya yang dibuat-buat, saya pun bersila tidak jauh dari guru silat.
“Menurut suratnya pada saya, dia dah boleh turun ke bendang, sudah boleh membuat kerja-kerja berat,” jelas guru silat.
“Syukurlah. Aku harapkan apa yang dialaminya akan mendatangkan keinsafan pada dirinya. Kemudian aku harap dia akan mengikut perintah Allah. Tidak lagi macam dulu, suka membuat kerja yang sia-sia,” datuk menarik nafas dalam-dalam.
Saya terus melunjurkan sepasang kaki. Perbuatan saya segera ditegur oleh datuk. Perbuatan saya itu, tidak senonoh dan biadab. Teguran dari datuk segera saya patuhi. Guru silat nampak resah. Sesekali ekor matanya merenung ke arah saya.
“Saya juga harap macam tu,” guru silat bersuara lembut.
“Dari apa yang aku tahu, adik ipar kamu tu buas juga orangnya. Suka berjudi, suka menipu orang,” celah datuk.
“Macam mana awak tahu semuanya ini,” mata guru silat terbeliak.
“Dari orang-orang kampung kamu dulu.”
“Ha, siapa yang cerita?” guru silat kerutkan kening.
“Beberapa orang yang aku jumpa di kedai kopi dulu yang menceritakan pada aku.”
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 93 ~
Masih dalam ujian
“Tapi, saya tak nampak awak bercakap dengan sesiapa pun masa di kedai tu dulu.”
“Masa aku bercakap dengan mereka kau belum datang lagi ke kedai tu. Bila aku dah selesai bercakap, baru kamu datang.”
“Hum. Kalau macam tu, tak hairanlah kalau kamu tahu perangainya,” guru silat ketawa kecil.
Perlahan-lahan dia menepuk pangkal paha datuk.
“Aku harap kedua-duanya bertaubat,” ujar datuk.
“Saya harap juga macam tu. Kedua-duanya lebih kurang saja perangainya,” guru silat menambah.
Senyum terus berbunga di kelopak bibirnya.
“Kau,” guru silat renung ke arah saya.
“Selalulah datang ke tempat aku untuk mendalami ilmu yang ada,” sambung guru silat.
“Betul nasihat kamu tu, ilmu yang ada belum cukup lagi.”
“Bukan apa-apa. Saya cuma mengingatkan, ramai anak murid saya yang sudah tamat tak tamu datang lagi ke tempat saya untuk bertanya itu dan ini,” keluh guru silat.
Di wajahnya terbayang kehampaan yang amat sangat.
“Ada masa saya tetap ke sana. Saya tahu apa yang ada pada saya ni masih belum cukup. Banyak perkara lagi yang mesti saya pelajari,” itulah janji saya pada guru silat. Ternyata janji itu menghadiahkan kegembiraan yang amat sangat untuknya.
“Dah pukul berapa sekarang Tamar?”
“Ha,” saya segera meraba pergelangan tangan kiri.
Hari ini saya terlupa memakai jam. Saya segera bangun tetapi terpaksa duduk kembali. Guru silat memegang pergelangan tangan kanan saya.
“Kamu nak ke mana Tamar?”
“Nak tengok jam.”
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 93 ~
Masih dalam ujian
“Jam tangan kamu yang aku hadiahkan minggu lalu mana dia?”
“Saya lupa pakai pak guru.”
“Tak tahu menghargai pemberian orang. Cuai dan pelupa,” datuk memberi teguran pahit dalam suasana yang tidak menyenangkan.
“Kamu tak payah tengok jam. Aku tahu, sekarang pukul lima lebih. Kau tengok jam gantung di dinding,” guru silat mengarahkan jari telunjuknya ke dinding.
Saya segera merenung ke arah yang ditunjuknya. Kenapa ketika pertanyaan itu diajukan, saya tidak teringat atau memandang ke arah jam dinding? Apakah ini menandakan daya ingatan saya terlalu lemah? Timbul pertanyaan dalam hati saya.
Lebih memalukan bila guru silat berkata: “Orang muda mesti mempunyai ingatan yang kuat. Mesti ingat apa yang ada dalam rumah.”
“Semuanya itu memerlukan latihan,” datuk turut campur. “
Selain itu mesti ada rasa cinta atau perhatian pada keadaan sekeliling kita, saudara-mara kita, keadaan rumah kita sama ada dari luar atau dari dalamnya. Semuanya ini memerlukan ketelitian,” guru silat memulakan syarahan pendek.
“Saya cuba belajar semuanya itu.”
“Bagus,” guru silat tepuk bahu saya.
Ternyata usaha saya untuk membersihkan mereka dari memperkatakan kelemahan diri saya beroleh kejayaan. Kini tajuk perbualan sudah berubah pada perkara menanam pokok dan memelihara binatang. Memang saya mengharapkan perbualan itu akan berjalan terus. Semoga salah seorang daripada mereka tidak akan mengungkit-ungkit hal saya.
“Biarlah saya balik dulu,” guru silat minta diri.
“Tunggulah sampai maghrib baru balik,” datuk menahan.
“Hajat saya mhu menyampaikan berita sudah tertunai. Saya juga meinta maaf kerana terpaksa balik. Bukan tak sudi dengan pelawaan awak, tapi saya ada hal.”
“Kalau ada hal pun tak akan sampai tak boleh ditangguhkan,” datuk berusaha agar guru silat memenuhi permintaannya.
Sikap datuk itu membuat guru silat berada dalam keadaan serba salah.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 93 ~
Masih dalam ujian
“Saya minta maaf, balik lepas waktu maghrib merbahaya.”
“Merbahaya?”
“Ya, sekarang musim harimau mengganas,” wajah guru silat cemas.
“Oh. Kalau begitu, saya mula faham. Eloklah kamu balik, musuh jangan dicari.”
“Saya pun berpendapat macam tu.”
Datuk dan guru silat berjabat tangan. Datuk dan saya hantar guru silat hingga ke basikal tuanya yang tersandar di pangkal pohon manggis. Sebelum lompat atas basikal lagi sekali datuk dan guru silat bersalaman. Guru silat terus kayuh basikal keluar dari kawasan rumah. Saya dan datuk mendoakan agar perjalanan guru silat diberkati oleh Allah, terhindar dari segala bencana.
“Cuba kamu pergi tengok jerat aku di kaki bukit.”
“Bila tuk? Esok ke atau petang ni.”
“Petang ni, dah suntuk tuk,” saya mula berdalih.
“Tak suntuk. Baru pukul lima. Setengah jam berhalan sampailah ke tempat tu. Cuma ada enam jerat saja. Manalah tahu, kalau dapat ayam hutam. Biasa lepas hujan ayam hutan selalu keluar.”
“Tapi tuk?”
“Tak ada tapi, pergi sekarang. Bawa parang dan kayu panjang untuk memudahkan kamu berjalan.”
“Saya takut tuk.”
“Eh budak ni, belajar silat dah tamat. Sebanyak sedikit petua dah tahu. Apa kamu tak berani pergi ke kaki bukit. Eh Tamar, orang lelaki mesti berani tau.”
“Saya tau tuk, tapi…”
“Pergiiiii…,” jerkah datuk.
Saya terkejut dan dalam sekelip mata saya seperti memperolehi kekuatan yang amat sangat. Tanpa berkata apa-apa pada datuk saya meluru ke dalam rumah. Pakai baju dan seluar. Dengan parang di tangan saya melangkah.
“Kau tak bawa kayu panjang.”
“Tak payah,” jawab saya tegas.
Langkah saya diatur. Saya tidak tahu apa kata datuk tentang sikap yang saya tunjuk itu. satu hal yang pasti ketika saya berada agak jauh dari kawasan rumah saya terdengar sayup-sayup suara batuk datuk memanjang. Saya yakin benar bahawa batuk itu sengaja dibuat-buat oleh datuk. Mungkin dia cuba menarik perhatian supaya menoleh ke arahnya. Saya keras hati tidak mahu menoleh.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 93 ~
Masih dalam ujian
Kali ini saya mahu buktikan pada datuk yang saya bukanlah seorang cucu yang penakut atau pengecut. Saya mampu pergi ke mana-mana sendirian. Mampu melakukan apa sahaja seperti apa yang dilakukan oleh anak-anak muda yang seusia dengan saya. Langkah pun saya percepatkan. Berjalan di celah pepohon kecil selepas hujan memanglah amat menyulitkan. Kesan air hujan di daunan bila kena baju atau seluar membuat pakaian terasa lembap. Bila kena kulit, tubuh terasa sejuk. Semuanya terpaksa saya hadapi. Sesekali saya dongak ke langit. Matahari tidak mahu bersinat lagi. Dalam waktu tertentu, saya gunakan parang untuk memotong reranting yang menghalang perjalanan saya.
Dalam keadaan yang dingin itu, badan saya berpeluh. Nafas tercungap-cungap terasa amat penat sekali. Siapa pun akan merasai penat bila berjalan dalam keadaan yang agak mendaki. Cuaca tidak begitu menggalakkan. Sejak hujan berhenti, matahari terasa amat malas untuk bersinar. Pada hal kalau cuaca baik, saya tidak mengalami keadaan seperti ini. Hati kecil saya terus merungut dan merasakan tindakan datuk memang tidak patut. Saya jadi marah dengan tiba-tiba. Rasa marah itu terus membara dan tidak boleh dikawal lagi.
Bagi melepaskan rasa marah itu, saya patahkan ranting kayu yang menghalang perjalanan saya. Perbuatan itu tidak mendatangkan kepuasan.
Saya ambil parang lalu ranting yang sudah patah itu saya tetak beberapa kali hingga menjadi potongan kayu yang amat kecil. Tidak memadai dengan itu, ranting kayu yang sudah potong itu saya pijak-pihak hingga terbenam dalam bumi. Semuanya tidak mendatangkan kepuasan dalam diri. Rasa marah terus menjadi-jadi. Pertama kali saya mengutuk datuk dengan semahu-mahunya. Saya tuduk datuk manusia kejam, suka memerintah dan timbul sebuah azam dalam hati untuk memusuhi datuk, tidak mahu menghormatinya lagi. Saya tikam bumi dengan parang, terpacak di sutu. Ulu parang yang dibuat dari gading itu saya urut beberapa kali.
“Yahooooooo, kamu kejam.”
“Begitulah saya memkik dengan sekuat hati, bergema ke seluruh kawasan di kaki bukit. Saya kira mengejutkan monyet dan lotong di dahan. Mengganggu perjalanan beburung dan haiwan. Tidak memadai dengan itu, saya tendang apa yang ada di kiri kanan saya. Sesungguhnya saya luahkan perasaan marah saya pada apa sahaja yang ada di sekeliling saya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 94 ~
Penjaga ayam hutan
Saya terus menyandarkan tubuh pada sebatang pokok. Saya pejamkan sepasang mata hingga rasa marah hilang dari sanubari. Kemudian perlahan- lahan kelopak mata saya buka lebar-lebar. Ketika itu perasaan saya sungguh aman dan tenteram. Dada saya terasa lapang. Saya meneruskan perjalanan.
Jerat pertama saya tengok, tak mengena apa-apa tetapi kesan laluan ayam hutan memang terdapat di situ. Agaknya ayam hutan tahu, di sana ada jerat untuknya. Saya terfikir dan kemudian tersenyum panjang. Jarak jerat antara satu sama lain tidak menentu. Ada yang jaraknya sepuluh kaki, ada yang dua puluh kaki. Sebab jaraknya tidak sama kerana mengikut laluan binatang yang dihajati. Waktu saya pergi ke jerat yang ketiga, letaknya tidak jauh dari kolam kecil. Saya terlihat laluan pelanduk, saya amati sekelilingnya, memang tidak salah lagi. Di situ terdapat kesan tapak kakinya. Mungkin pelanduk tersebut pergi ke kolam kecil untuk minum. Saya ikut kesan tapak kaki itu hingga sampai ke jerat.
Aneh, saya dapati jerat itu bingkas dan ada bekas tapak kaki pelanduk di situ. Ini mesti pelanduk yang kena jerat ni diambil orang. Siapa yang melakukan semuanya ini? Pasti orang yang sudah lama mengintip gerak-geri datuk. Manusia suka membuat kerja mudah, rungut hati saya. Jerat yang sudah bingkas itu saya pasang kembali. Saya berdiri di situ mengingati sesuatu. Kata datuk jerat yang dipasangnya berjumlah lima jerat semuanya. Ertinya masih ada dua jerat lagi yang mesti saya lihat. Kedudukan kedua-dua jerat ini agak jauh ke dalam bahagian kaki bukit. Pesan datuk, saya mesti melihat kelima-lima jerat itu. Kalau tak mahu kelima-limanya sekali, mesti lihat tiga. Pokoknya saya mesti membuat kerja yang ganjil. Saya tidak boleh melihat dua atau empat jerat kerana itu perbuatan genap, saya mesti meninggalkan jumlah ganjil.
Tiba-tiba saya merasakan, memang wajar melihat semua jerat itu. Siapa tahu, jerat empat dan lima sudah mengena. Bila sudah mengena, saya tidak pulang dengan tangan kosong. Saya kira datuk dan nenek tentu gembira melihat saya pulang ke rumah dengan ayam di tangan. Selain dari itu, saya mahu menerima pujian dari datuk tentang ketabahan hati saya. Biar dia kagum dengan apa yang saya lakukan.
“Ya, aku mesti tengok semua jerat.”
Itulah keputusan muktamad yang saya ambil dalam masa sekelip mata sahaja. Apa yang terjadi, keputusan yang diambil mesti dilaksanakan. Saya pun melangkah perlahan menuju ke jerat yang keempat. Letaknya di bawah pokok yang rendang. Datuk sengaja memilih tempat tersebut untuk menahan jerat. Mungkin tempat tersebut dipilih kerana kedudukan kawasan tanahnya yang agak cerah, tidak ditumbuhi rerumput yang tebal. Ada dahan sebesar paha manusia melintang arah ke parit kecil. Pada hemat saya, di ranting besar itu jadi tumpuan ayam hutan berdiri sambil mengepakkan badan terutama ayam jantan. Amat suka berkokok di tempat yang agak tinggi.
“Memang pandai datuk memilih tempat.”
Saya memuji datuk dalam hati. Saya terus melangkah. Hari sudah beransur agak gelap. Tetapi langit masih kelihatan cerah walaupun matahari tidak bersinar. Saya sampai ke jerat yang keempat. Kali ini saya melihat kawasan di situ cukup bersih seperti baru lepas disapu. Tanah di situ kelihatan seperti baru sahaja dikais-kais oleh ayam. Saya garu kepala dua tiga kali, terasa suasana seperti itu amat ganjil sekali. Rasanya tidak mungkin ayam hutan mampu mengubah dedaun dan reranting yang terdapat di situ. Lebih menakjubkan jerat yang tidak mengena atau bingkas tetap macam biasa. Batang jerat kelihatan bergerak macam baru disentuh oleh tangan manusia. Hati saya mula berdebar. Saya renung kiri dan kanan. Bersedia untuk memulakan langkah seribu. Bulu roma terus tegak berdiri. Mesti ada sesuatu yang tidak kena terjadi di sini. Mungkin harimau, mungkin beruang, mungkin kucing hutan berguling-guling di sini. Macam-macam yang timbul dalam hati saya bersama rasa takut yang amat sangat. Tiba-tiba saya lihat pepohon kecil di kanan bergerak, macam dilanggar sesuatu. Dedaun kering bergerak seperti dipijak sesuatu. Beberapa ekor cengkerik dan katak keluar dari bawah dedaun kering macam ada sesuatu yang memburunya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 94 ~
Penjaga ayam hutan
Dalam keadaan yang serba membingungkan itu, saya terlihat seekor ayam hutan jantan menerpa ke arah jerat dan terus sarungkan kakinya ke dalam jerat. Dalam beberapa detik sahaja jerat tersebut bingkas. Dan ayam jantan hutan tergantung di udara menggelepar sambil berbunyi. Melihat ayam kena jerat, rasa takut hilang dari hati saya. Semua perkara yang saya kira ganjil dan aneh hilang dari ingatan saya. Hati saya bersorak kegembiraan melihat ayam hutan di depan mata. Saya mendekati jerat lalu membongkok untuk merendahkan kayu jerat. Bila tali jerat berada dalam tangan, kepala ayam jantan itu saya urut berkalI-kali. Ayam itu tetap menggelepar sambil berbunyi nyaring. Simpul jerat di kaki ayam berhasil saya buka. Kali ini kaki ayam tersebut saya ikat dengan tali guni, lalu saya masukkan ke dalam karung yang dibuat dari mengkuang. Di bucu karung ditebuk lubang kecil untuk udara, memudahkan ayam bernafas. Hujung karung saya ikat dengan tali lalu saya sandangkan ke bahu.
Saya memulakan langkah untuk pergi ke jerat yang kelima. Kedudukannya, betul-betul berada di lereng bukit tidak jauh dari pohon bertam. Memang saya mengharapkan jerat yang kelima akan mengena. Kalau tak dapat ayam hutan dapat napuh atau pelanduk pun sudah memadai, sebuah harapan berbunga dalam hati saya. Langkah kian rancak, cuaca yang sudah beransur samar- samar tidak menjadi masalah. Kalau cuaca terus jadi gelap saya tidak sudah hati. Kawasan sekitar kaki bukit itu sudah sebati dengan diri saya. Tidak dinafikan saya boleh mengingati kedudukan pelbagai jenis pohon besar di situ. Saya juga tahu di mana letaknya parit atau danau kecil. Kalau saya dicampakkan ke kawasan tersebut pukul dua pagi, saya masih dapat mencari jalan pulang.
“Hai, apa khabar? Seorang aje.”
Saya menoleh ke kanan. Mulut saya bagaikan terkunci untuk menjawab.
“Banyak jerat awak yang mengena, berapa ekor awak dapat ayam?”
Saya menjadi bertambah menggelabah.
“Kenapa tak jawab apa yang saya tanya, awak takut?”
Saya tarik nafas panjang. Renung ke langit, renung kiri kanan. Dada saya terus berdebar. Sesungguhnya, saya tidak tahu dari mana perempuan muda itu muncul. Saya amati wajahnya yang sedang senyum. Orangnya memang menarik. Tetapi, sayang saya tidak kenal dengannya. Ternyata perempuan ini bukannya anak watan kampung saya.
Sebagai orang muda, dalam rasa takut dan darah gemuruh itu, keinginan untuk memikat hati perempuan muda di depan mula bercambah dalam diri. Saya amati dirinya. Baru memasuki usia dua puluhan. Berkulit putih merah. Hidung mancung. Saya terpikat dengan sepasang matanya yang lembut tetapi kelihatan sayu. Mukanya bujur sirih. Aduh! Senyumannya tidak berhenti menari di bibir nipisnya.
“Kenapa tak sembelih ayam tu di sini? Awak tak bawa pisau?”
Perempuan yang berambut ikal berbulu kening tebal merapati saya. Darah gemuruh saya terhenti dari bergerak dalam urat saraf. Keinginan mengenali perempuan itu lebih dekat terus berkocak dalam rongga dada.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|