|
BUKIT SETAKI
Bukit Setaki adalah salah satu bukit utama yang ada di bumi Pagoh ini. Antara bukit-bukit yang berada di Pagoh adalah Bukit Keramat (terletaknya makam Sultan Alauddin Riayat Syah I), Bukit Panjang, Bukit Kalumpang, Bukit Sebabi, Bukit Pulau,Bukit Mentualang (terletaknya SMK Sultan Alauddin Riayat Syah I), Bukit Sekepal dan Bukit Setaki. Setiap bukit ini menyimpan kisahnya yang tersendiri dan tersimpan 1001 sejarah.
Bukit Setaki ini terletak di satu lokasi strategik iaitu berhadapan dengan Sungai Muar dan bertentangan dengan Kuala Sungai Pagoh. Menariknya, nama ‘Setaki’ ini bukanlah nama asal bagi bukit ini tetapi menurut sumber lisan penduduk tempatan, nama asal bukit ini adalah Bukit Melini. Hal ini kerana, Kawasan bukit ini termasuk dalam kawasan Kota Melini. Justeru, bagaimana agaknya ‘Setaki’ ini mendapat namanya?
Menurut Allahyarham Dato’ Abdul Shukor Ismail dalam bukunya Sejarah Ringkas Muar, pada permulaan abad ke – 20, Ladang Getah Lanadron dibuka di Panchor dan salah seorang pengurus lading disitu bernama S Tacky (tetapi jika ikut rekod ialah F.C Harrison). Beliau telah membina banglo diatas Bukit Melini ini. Ketika itu tenaga buruh disitu terdiri daripada orang Jawa dan Cina (1573 buruh), mereka memanggil S. Tacky sebagai Setaki. Akhirnya, bukit yang terletaknya banglo pengurus tersebut sebagai Bukit Setaki. Pada 2 Mac 1968, Almarhum Sultan Sir Ismail ibni Almarhum Sultan Sir Ibrahim telah merasmikan satu loji rawatan air di Bukit Setaki ini. Sehingga kini, penduduk di sekitar Bukit Pasir, Pagoh dan sebahagian Bandar Maharani menerima bekalan daripada loji ini. Loji ini masih lagi berfungsi dengan baik.
Bukit Setaki menjadi saksi dalam pertempuran antara Portugis dan angkatan Melayu yang berundur dari Melaka ke Pagoh. Dalam buku ‘Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajah Abad 15-19’ tulisan Buyong Adil, dipercayai bukit inilah Portugis menjadikannya sebagai bentang pertahanan sementara secara senyap setelah mendarat di Sungai Muar. Angkatan Portugis melihat bukit ini sesuai untuknya menyerang angkatan Melayu dari arah belakang. Ketika itu, angkatan Melayu beranggapan angkatan Portugis akan menyerang melalui Sungai Muar, justeru mereka bersiap sedia menjaga banteng pertahanan menghala Sungai Muar. Sebaliknya, percaturan mereka tersilap dan angkatan Portugis telah menyerang melalui belakang. Jika benar peristiwa ini, maka ianya sepadan dengan peristiwa pertempuran paling sengit di Pagoh pada tahun 1520 dimana angkatan Portugis ketika itu diketuai oleh Antonio Correa dengan kekuatan 500 askar campuran (150 Portugis). Pertempuran 1520 telah menyebabkan angkatan Melayu kalah dan kematian yang ramai kedua-dua pihak.
Perihal Bukit Setaki ini akan dimasukkan dalam buku 'Terungkai Sudah Sejarah Pagoh' tulisan Cikgu Azman Ab Rahim Ibrahim yang insyaallah akan dilancarkan pada hujung tahun ini khas buat anak-anak Pagoh dan juga khusus untuk warga Muar.
Terima kasih Ah Chem dan Tok Pagoh teman kesini ????. Jika sesiapa ada sebarang info tambahan bolehlah berkongsi kepada saya.
Sejarah Muar
Anak Jati Pagoh
Sumber:
Sejarah Ringkas Muar, Abdul Shukor Ismail
Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19, Buyong Adil
Catatan Sepanjang Sungai Muar, Aris Haji Tahir |
|