Pemain JDT tidak fikir faktor penat
JOHOR BAHRU: Faktor kepenatan yang melanda Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak menjejaskan rentak permainan pasukan itu untuk mempamer aksi bertenaga selepas membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 6-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. Ianya didedahkan pengendali JDT, Hector Bidoglio yang menegaskan penerbangan selama lima jam dari Shanghai ke Johor Bahru selepas mengharungi kempen Liga Juara-Juara Asia Elit di China, Rabu lalu langsung tidak menganggu konsentrasi barisan pemain yang mudah `meratah' skuad kendalian Park Jae-hong. "Perjalanan jauh selama lima jam sememangnya memenatkan tapi saya tidak nampak pemain kepenatan dalam perlawanan itu walaupun kami perlu tunggu sehingga minit ke-42 untuk menjaringkan gol, sebaliknya mereka begitu komited dalam perlawanan itu dan berada dalam keadaan yang baik sepanjang 90 minit permainan. "Apa yang saya lihat agak sukar untuk merungkai jaringan apabila pasukan lawan bermain secara kompak di benteng pertahanan dan pemain saya perlu mengubah umpanan bola bagi mencari ruang untuk melakukan serangan ke kawasan lawan.
"Masalah yang dihadapi adalah umpanan terakhir kerap tersekat dan ada juga gerakan yang kami lakukan sukar untuk menembusi benteng lawan yang tampak berdisiplin malah gaya mereka beraksi dengan kawalan pemain JDT juga begitu berkesan dan pemain kita sukar mencari ruang," katanya. Bidoglio menambah aksi babak kedua lebih tersusun dengan kawalan bola yang berkesan malah pemain juga kerap gerakkan bola di posisi sayap kiri dan kanan yang jelas memberi tekanan terhadap benteng lawan sehingga mereka mudah dibolosi dengan empat gol. Mengenai prestasi Arif Aiman Hanapi yang kembali menemui sentuhan penyudah, pengendali kelahiran Argentina menyifatkan kelibat Pemain Paling Bernilai (MVP) itu kerap memainkan peranan dalam kesebelasan utama JDT.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2024/09/1301916/pemain-jdt-tidak-fikir-faktor-penat
|