http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2017/10/30/hans-issac-batal-kahwin/
Dengan Berat Hati, Hans Isaac Batal Kahwin! Diterbitkan: Isnin, 30 Oktober 2017 12:02 PM Hans Issac dan Gabrielle Robinson sepatutnya berkahwin pada 29 Julai lalu.
PETALING JAYA: Krisis hubungan antara Datuk Hans Isaac dengan tunangnya Gabrielle Robinson yang menjadi persoalan kebelakangan ini ternokhtah apabila aktor itu membuat keputusan membatalkan perkahwinan mereka.
Hans dan Gabrielle Robinson yang juga seorang model sepatutnya berkahwin pada 29 Julai lalu dan ditunda kepada tarikh yang tidak dimaklumkan.
Hans, 46, menerusi kenyataan ringkas kepada mStar Online pada Isnin memberitahu keputusan dibuatnya setelah berfikir panjang selepas mereka mengikat tali pertunangan pada 29 Februari lalu.
"Dengan berat hati saya umumkan bahawa rancangan saya untuk berkahwin, setelah bertunang pada 29 Februari awal tahun ini, terpaksa dibatalkan.
"Keputusan untuk membatalkan rancangan perkahwinan ini tidak mudah dan dibuat setelah berfikir panjang susulan daripada pertunangan tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Hans memohon maaf kepada semua rakan dan keluarga yang telah memberikan sokongan yang tak terhingga dan mendoakan terbaik buatnya.
Sementara ini menerusi laman Instagram pada Isnin Hans memuat naik status peribahasa dalam Bahasa Inggeris iaitu Never Doubt Your Instinct (tidak meragui naluri anda) bersama kapsyen A leopard will never change HER spots ! Time to move on (Harimau Bintang tidak akan bertukar bintiknya! masa untuk teruskan hidup).
Ia bermakna seseorang itu tidak akan berubah.
Namun tidak pasti ia ditujukan kepada sesiapa namun berdasarkan kepada komen yang dikongsi oleh pengikutnya, ia seolah-olah menggambarkan mengenai status hubungannya itu.
Pada Ogos lalu, Hans menolak khabar angin pertunangannya dengan Gabrielle sudah berakhir selepas kedua-dua mereka menghapuskan gambar-gambar bersama di Instagram.
|