PASIR MAS – Polis akan memburu individu tidak bertangungjawab yang membuat sebanyak 114 panggilan palsu untuk memohon bantuan semasa banjir buruk berlaku di daerah ini pada minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyukarkan tindakan dan gerak kerja polis untuk menyelamatkan mangsa yang benar-benar terjejas.
Menurutnya, bagaimanapun, segala tindakan dan kertas siasatan berhubung kes itu akan dibuka selepas situasi banjir di Kelantan pulih sepenuhnya.
“Setakat ini, kita menerima sebanyak 1,987 panggilan palsu di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 114 panggilan palsu dikesan di Pasir Mas semasa musim banjir.
“Kesemua panggilan palsu (di Pasir Mas) ini akan diambil tindakan kemudian. Buat masa ini, kita fokus kepada banjir. Selepas ini, kita akan cari mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas Taklimat Banjir Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Bagi Daerah Pasir Mas di Balai Polis Repek di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan memberitahu, pemanggil yang membuat panggilan palsu akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara setahun jika sabit kesalahan.
Menurutnya, tindakan dan amaran bukan sahaja untuk mangsa banjir di Kelantan, sebaliknya ia turut melibatkan individu di negeri lain.
“Amaran ini sebagai pengajaean kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan membuat panggilan palsu.
“Polis sepatutnya boleh fokus kepada mangsa banjir yang terlibat, tetapi terganggu apabila perlu pergi ke tempat kejadian melibatkan panggilan palsu. Apabila tiba di sana, rumah dan mangsa pun tiada,” ujarnya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, polis menerima sebanyak 107 panggilan palsu daripada individu tidak bertanggungjawab yang memohon bantuan banjir di daerah ini pada 29 November lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perbuatan dilihat banyak membuang masa dan tenaga anggota penyelamat untuk turun ke lokasi terjejas banjir.
Menurutnya, panggilan palsu itu diketahui selepas anggota pasukan penyelamat bergegas ke lokasi tersebut sebelum mendapati tiada mangsa di situ. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/12/08/pemanggil-palsu-rayu-bantuan-banjir-di-pasir-mas-diburu-polis/